Lama menghilang dari radar seni, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, berkongsi mengenai perkembangan terkininya selepas melalui beberapa ujian hidup.
Artikel Berkaitan: Aliff Aziz Kongsi Video Nyanyi Dalam Bilik Air Tak Berbaju, Netizen Puji – ‘Suara Sedap, Badan Sado & Handsome’
Tak hilang, refleks diri

Aliff, 34, berkata, biarpun tidak terlalu kerap muncul di kaca televisyen, dia sebenarnya masih aktif menerima tawaran persembahan dan nyanyian termasuk di majlis-majlis koperat.
Saya ulang-alik antara Malaysia dan Singapura. Alhamdulillah, setakat ini masih ada lagi tawaran untuk nyanyian, acara korporat, majlis perkahwinan dan sebagainya. Jadi, saya bersyukur sangat.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Havoc Trio Festival 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra (WTC), Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayang Sayang menafikan dakwaan dia sengaja ‘menghilangkan diri’, sebaliknya memilih menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan menyerahkan perjalanan rezekinya kepada Allah.
Saya tidaklah menghilangkan diri. Cuma sekarang saya lebih percaya pada rezeki dan apa yang Allah dah susun untuk saya. Apa yang sudah berlaku dan akan berlaku.
Daripada terlalu stres fikir masa depan atau rezeki di mana, lebih baik saya teruskan hidup dengan tenang. Yang penting, setiap hari kita melangkah ke depan, satu kaki di hadapan kaki yang lain. One foot forward, insya-Allah.
Tambah Aliff, selepas melalui episod getir dalam kehidupan termasuk kontroversi penceraian, dia kini banyak meluangkan masa bersama keluarga di Singapura untuk musahabah semula dirinya.
Saya banyak luangkan masa dengan keluarga, refleksi diri dan fikir tentang kehidupan. Tapi saya tak mahu ulas panjang fasal perkara lepas.
Sekarang fokus utama saya adalah untuk terus maju ke depan. Kita dah hampir masuk tahun 2026, insya-Allah. Saya lebih fokus pada langkah-langkah yang sedang dirancang dan apa yang saya nak capai tahun depan.
Tegas juara GegarVaganza musim ke-9 itu, dia enggan lagi menoleh ke belakang dan mahu menjadikan setiap hari sebagai peluang baharu untuk memperbaiki diri serta karier.
Saya tak pandang ke belakang lagi. Bagi saya, tak sihat dan tak perlu pun nak ulang-ulang kenangan lama. Apa yang dah berlaku, biarlah berlalu.
Semua orang pun sedang melangkah ke depan, bersiap untuk tahun baru, fokus saya sekarang cuma satu iaitu teruskan kehidupan dan lihat ke depan, insya-Allah.
Ditanya mengenai hubungan dengan anak-anak, abang kepada Aisyah Aziz itu enggan mengulas kerana risau jika kenyataannya akan disalah tafsir.
Imbas kembali, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024. Mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Hasil perkongsian hidup, Aliff dan Bella dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
The post Aliff Aziz Tak Menghilang Tapi Banyak Muhasabah Diri, Enggan Ulas Hubungan Dengan Anak first appeared on OHBULAN!.





