Pengarah filem, Ghaz Abu Bakar, 51, berkata penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam filem Konspirasi hanya melibatkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan produksi bagi melengkapkan beberapa babak tertentu.
Menurutnya, penggunaan teknologi itu dibuat selepas berlaku insiden kemalangan ketika penggambaran di Melaka yang melibatkan seorang pelagak ngeri.
“Penggunaan AI berlaku disebabkan satu kemalangan ketika penggambaran di Melaka apabila pelagak ngeri yang sepatutnya melakonkan adegan itu telah dilanggar oleh Adi Putra.

“Akibat kemalangan itu, pelagak ngeri itu dimasukkan ke hospital dan mengalami patah rahang. Kos rawatannya pula mencecah sekitar RM60,000,” katanya pada sidang media tayangan perdana Konspirasi di GSC IOI City Mall, Putrajaya, Isnin lalu.
Ghaz berkata, disebabkan kekangan jadual penggambaran yang ketat, kos rawatan yang perlu ditanggung serta faktor cuaca, pihak produksi mengambil keputusan menggunakan AI dengan mengimbas wajah pelagak ngeri tersebut bagi menyempurnakan babak yang tertangguh.

Filem Konspirasi mengisahkan agensi antirasuah menerima maklumat mengenai sebuah hamba rahsia yang menyimpan data ahli politik korup dan transaksi kewangan luar negara. Ia kemudian membawa kepada operasi pasukan elit diketuai Tuan Adli (Adi Putra) untuk merampas data berkenaan.
Namun, operasi itu bertukar krisis apabila maklumat tersebut bocor kepada media dan laman gelap sehingga mencetuskan tekanan politik serta desas-desus pengkhianatan dalam organisasi.
Dalam usaha memburu dalang sebenar, pasukan itu terperanangkap dalam konspirasi membabitkan kuasa politik, serangan siber dan ancaman asing terhadap negara.

Sementara itu Ghaz berpandangan penggunaan AI boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti babak tertentu, namun tidak wajar menggantikan keseluruhan proses kreatif dalam industri perfileman.
“Sebagai pembikin filem, kita perlu bijak menggunakan teknologi dan pada masa sama memikirkan nasib rakan-rakan dalam industri seperti pelakon, kru produksi dan tenaga kerja lain.
"Sebab itu saya rasa penggunaan AI perlu dikawal dan tidak digunakan secara berlebihan,” katanya.
Ghaz percaya AI akan menjadi elemen penting dalam industri perfileman pada masa depan, namun perlu digabungkan dengan kesan khas serta sentuhan manusia.
Sebelum ini, filem Duyung: Legenda Aurora (2025) arahan Abdul Razak Mohaideen turut menggunakan AI, namun hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja. Filem itu bagaimanapun menerima kritikan hebat daripada masyarakat berhubung penggunaan AI.
Filem terbitan bersama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films ini menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Alicia Amin, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal, Sarimah Ibrahim dan Amir Nafis, dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini.





