Keadaan diri yang kelainan upaya bukanlah penghalang buat Fazlin Fauzi, 42 tahun dari Kulim, Kedah untuk mengembara ke Sarawak dan Sabah dengan menunggang motosikal kapcai.
Fazlin, anak kedua daripada lima adik-beradik itu sudah pun menjelajah secara solo ke 38 daerah Sarawak.
“Dan kalau kita berfikir kita cacat sampai bila-bila kita tidak boleh buat apa-apa, masing-masing ada kekangan, halangan dan pengalaman masing-masing.
“Jadi jangan tunggu, memanfaatkan setiap kelebihan yang ada, kesihatan, kekuatan dan keberanian yang Allah bagi," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Fazlin, restu ibu dan bapanya terhadap minatnya mengembara menambah keyakinan dan memberi kekuatan emosi dan fizikal kepadanya.
“Izin dan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa saya perlu dicontohi oleh ibu bapa lain yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU).
“Kerana ada dalam kalangan ibu bapa yang risau, menyimpan anak mereka, menjaga mereka sehingga tidak mengizinkan anaknya untuk mencuba sesuatu," kata Fazlin.
Kata Fazlin lagi, tahun ini istimewa bagi dirinya kerana umurnya 42 tahun merupakan keterbalikan angka tahun (20)24.
Singgah ke Brunei
“Saya ingin membuat sesuatu untuk diri saya seperti menghargai diri saya sendiri (self reward),” katanya.
Fazlin memulakan perjalanan pada 12 September 2024 dari Teluk Melano ke Lundu, Bau, Kuching, Samarahan, Asajaya dan Lawas dan dia berjaya melewati ke 38 daerah di Sarawak dalam tempoh 33 hari.
Fazlin juga berkata pada asalnya dia hanya merancang jelajah ke Sarawak dan Sabah sahaja.

Namun dia sempat juga sampai ke Brunei dan singgah di sana selama tiga hari apabila merentasi bahagian Limbang ke Lawas di Sarawak.
“Alhamdulillah ada rezeki dapat masuk ke Temajuk, Indonesia juga,” kata Fazlin turut merancang singgah ke destinasi pelancongan di Sambas, Kalimantan.
Fazlin ketika ditanya kenapa dia suka mengembara bersendirian, berkata dia tidak mahu terlalu berharap kepada orang lain untuk mencapai impiannya itu.
"Apabila kita mengajak seseorang, kita akan mengharapkan mereka untuk menjawab ya tetapi mereka menjawab sebaliknya dan kita akan menjadi kecewa.
Jangan takut, jangan berani sangat
“Daripada kita kecewa orang tolak, baik kita jalan terus. Kalau kita mengembara secara solo, kita boleh berhenti dekat tempat kita suka, kita ada waktu, aktiviti kita sendiri untuk buat apa sahaja,” katanya.
Fazlin berkata perbelanjaan kos mengembara ditanggungnya sendiri hasil duit simpanannya.
Menurutnya, mengembara secara solo memberi pengalaman baru baginya dan dia dapat kenalan baru sepanjang perjalanan.

“Orang-orang dekat sana sangat mengalu-alukan saya dan mereka juga berkongsi sejarah tempat tersebut dan memberi penjelasannya,” katanya.
“Konsep saya semasa mengembara ini kita jangan takut sampai menjadi penakut dan berani jangan berani sangat.
“Kita perlu sentiasa berwaspada di tempat-tempat baru yang kita tidak pernah melancong sebelum ini," kata Fazlin penuh semangat meneruskan perjalanannya ke Negeri Di Bawah Bayu.






