Maulid atau hari keputeraan junjungan Nabi Muhammad saw adalah kesempatan bagi kita merenung dalam akan gagasan kemanusiaan yang dibawa oleh Baginda, seiringan menyampaikan syariat Islam.
Jelas bagi yang benar-benar mencintai Rasulullah harus bukan saja meneledani pesan hikmah Baginda tetapi juga sama berdiri menolak apa yang tidak berkenan di pihak Baginda seperti kezaliman, kekerasan, keangkuhan, penindasan, rasuah, salah pimpin, pengabaian dan banyak lagi kejahatan dan kecurangan.
Yang terpenting keunggulan dan kesempurnaan yang ada pada sifat Nabi Besar kita harus menjadi teladan dan ikutan utama umatnya.
Inilah inti dari buku Kemanusiaan Muhammad karya Khalid Muhammad Khalid (1920-1996) seorang ilmuan asal Mesir yang banyak menulis tentang tokoh-tokoh dan sejarah Islam.
Buku ini adalah terjemahan dari buku bahasa Arab yang berjudul Insanniyah Muhammad. Versi Melayu ini terbit pada 1994 oleh Pustaka Syuhadah. Ia diterjemahkan oleh Abu Syauqi Baya’sud dan Ibrahim Mansur.
Buku ini mengandungi lima bab utama dengan masing-masing berupa isi yang padat membicarakan perbuatan Nabi yang sangat mulia, yang akur akan hak dan martabat kemanusiaan. Disaringkan isinya seperti berikut:
Jiwa yang penuh rahmat
Nabi Muhammad SAW ialah kekasih Tuhan yang dianugerah dengan sifat akhlakul karimah. Inilah juga yang membuat baginda digelar al-Amin.
Baginda memiliki jiwa yang menyentuh, memberi rahmah, pedoman dan ketenangan kepada mereka yang di sekeliling Baginda.
Prihatin kepada kesenangan umat menjadi keutamaan baginda. Pernah dalam suatu solat jemaah, terdengar tangisan anak kecil, yang pastinya dibawa ibunya yang berjemaah sama. Baginda membaca surah pendek, agar solat itu menjadi lebih ringan dan cepat selesai. Ini saja sudah memperlihat kepedulian dan keihsanan baginda yang mendalam.

Banyak seruan dan amalan nabi memerlihatkan jiwa besar. Manusia yang berusaha mencari kebaikan bukan untuk mendapat pahalanya sendiri tetapi membawa rahmah atau kebaikan kepada yang lain. Itulah anjuran baginda.
Betapa seseorang itu tidak pernah berbuat amalan dalam hidupnya, tetapi sebelum ia mati dapat ia melakukan suatu kebaikan. Ini bererti orang itu sudah melakukan amalan besar sehingga dijamin masuk syurga. Contoh-contoh seperti ini ingin menegaskan kemuliaan manusia yang disentuh kerahmatan untuk berbuat kebaikan. Baginda berpesan “Bila engkau menjenguk saudaramu yang sakit sama halnya engkau memberi makan seorang yang lapa, maka seolah-seolah kamu memberi bakti kepada Tuhan.”
Namun bila membuat kebaikan usah pula berlebih-lebih sampai terlupa tanggungjawab ke atas diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Membuat kebaikan mesti membangunkan kedamaian. Kebaikan bukan lahir dari rasa ketakutan. Orang yang beriman wajar takut kepada Tuhan, tetapi jangan sampai takut kepada kuasa lain sehingga membuatnya rasa kerdil, rasa tidak aman dan dirundung keresahan.
Nabi Junungan malah menekankan sifat Tuhan yang mengampun dan maha melindung.

Khalid mengingatkan: “Rahmat menurut Muhammad SAW adalah bekerja dengan niat jujur dan hati besar. Hati manusia mesti dilembutkan, ketakutan dan keangkuhan dihilangkan.
Sikap berbagi mesti terus diamalkan. Paling dekat adalah kepada keluarga diikuti dengan jiran tetangga. Anjuran baginda disebutkan begini:
“Bila tetanggamu minta tolong, tolonglah. Bila meminjam, pinjamilah. Bila memerlukan sesuatu, penuhilah. Bila sakit, jenguklah. Bila memperoleh kesenangan, berilah ucapan selamat. Bila mendapat musibah, ringankan deritanya. Bila meninggal dunia, ikutilah menghantar jenazahnya. Bila engkau meninggikan bangunan rumahmu, jangan sampai engkau menghalangi masuknya angin dan menutup cahaya matahari yang masuk ke dalam rumahnya. Jangan engkau menggangu dengan bau sedapnya masakan-masakamu, kecuali bila engkau memberi juga kepadanya. Bila engkau membeli buah-buahan, kirimlah.”
Sentuhan rahmat nabi besar kita bukan saja kepada umat manusia, tetapi juga kepada haiwan atau makhluk yang hidupnya.
Baginda melarang menyeksa dan menghapus haiwan tanpa sebab. Malah di saat perlu dibunuh haiwan yang bahaya sengatan, jangan sampai ia dibunuh sehingga menyebabkan kesakitan yang berlebih kepada haiwan itu.
Menegakkan keadilan
Berlaku adil adalah tuntutan dalam Al-Quran dan Nabi Muhammad memberi teladan yang paling unggul. Untuk menegakkan keadilan, semua manusia mesti dianggap sama. Semua ada hak, dan semua martabatnya wajib dihormati.
Banyak peristiwa yang baginda memberi contoh mulia. Dalam perjalanan bersama para sahabat, mereka berhenti untuk istirehat. Masing-masing membuat persiapan. Baginda juga bangun untuk mencari kayu api. Ditegah para sahabat. Baginda menjawab: “Aku tahu kalian hendak menghormatiku, namun aku tidak mahu dibeza-bezakan.”
Sifat ini datang dari kerendahan hati, insaf bahawa semua manusia punya hak dan tanggungjawab masing-masing.

Diserukan Baginda agar umatnya memegang amanah, jujur tutur kata, luhur budinya, memakan yang bersih dari sumber yang halal.
Kezaliman dan penganiayaan ditolak baginda. Betapa lagi kezaliman penguasa, yang bukan saja zalim tetapi memakan harta rakyat. Itulah rasuah terkeji. Banyak peristiwa nabi menegah penyalahgunaan wang rakyat. Perasuah diingatkan akan perkiraan di hari pengadilan.
Lisan manusia mesti juga adil juga agar orang lain tidak pula terasa dianiya. Janganlah sampai menyakiti hati orang lain. Khalid menyimpulkan pendirian nabi tentang hal ini:
“Sampai-sampai perasaan permusuhan yang ada pada sisi setiap insan…itulah kezaliman dan dapat menggolongkan insan yang demikian sebagai pelaku kezaliman kerana dari perasaan permusuhan tercermin cabang-cabang perasaan dengki, buruk sangka, menjatuhkan lawan dihadapan khalayak dan penghinaan yang menusuk hati.”
Kasih sayang fitrah manusia
Nabi besar kita adalah adi teladan yang kasih-sayangnya melimpahi rahmat. Baginda tidak membezakan asal-usul seseorang apabila menumpahkan kasih sayangnya. Semua manusia sama di mata baginda.
Kebencian kepada orang yang memusuhi kita tidak boleh selamanya. Apabila kebencian itu hilang, maka kita tidak boleh memperpanjangkannya. Harus pula kita menunjukkan kasih sayang, walaupun kepada mereka yang telah membenci kita.
Baginda melafazkan: “Tidaklah kalian beriman, kecuali saling berkasih sayang terhadap sesamanya.”

Cinta kasih haruslah dipupuk dan diberikan makna dan aksi oleh umat yang beriman. Cinta kasih tidak boleh dipaksakan, ia bukan barang dagangan, dan ia mesti dilafazkan seganding dengan keadilan, keprihatinan dan kepedulian.
Berbudi dan Mengerti
Junjungan nabi banyak menunjukkan kelakuan yang santun, adil, saksama, tenang, dan suka membahagiakan orang di sekelilingnya.
Hayat nabi menunjukkan bahawa kita wajar berpandukan “kasih sayang bukannya atas dasar kekerasan, saling percaya bukan saling curiga, berdasarkan ketenteraman bukannya kecemasan.”
Budi pekerti baginda yang tinggi dapat dilihat dalam pelbagai peristiwa. Pernah seorang itu dituduh mencuri. Tetapi baginda melarang orang yang dituduh itu dengan kekata yang keras, agar aib tidak dirasakan oleh si tertuduh. Yang salah tetap salah, tetapi usahlah sampai kita menghina dan mengaib orang yang salah itu.
Satu lagi peristiwa sewaktu sekumpulan orang masuk ke masjid setelah selesai dari acara perkahwinan. Kemudian bau busuk kerana ada dalam jemaah itu yang membuang angin. Solat jemaah akan dimulakan, namun belum nampak seseorang yang akan bangun mengambil wudhu.

Rasulullah kemudian mengatakan: “Sesiapa yang barusan makan daging unta, haruslah berwudhu”. Ramailah yang menyahut, dan bergerak keluar mengambil wudhu. Ertinya orang yang buang angin tadi ikut sama, dan pastinya dia tidak akan terasa malu. Begitulah akhlak nabi sehingga menjaga hati orang agar jangan sampai ia malu atau tersisih.
Berbakti membahagiakan umat
Khalid menulis bahawa Rasulullah menganggap berbakti kepada masyarakat adalah suatu kurnia Allah yang dianugerahkan kepada mereka yang telah mendapat petunjuk.
Malah disimpulkan: “Insan yang sebenar-benarnya adalah yang menjadi penolong dan pembela atas sesamanya.”
Saling berbagi antara satu lain dianjurkan Nabi seperti memberikan hadiah. Namun diingatkan hadiah itu juga boleh berubah menjadi rasuah. Bila menolong orang dengan niat mendapat imbalan, itulah sejenis rasuah yang dikutuk.
Kebaktian itu pula mesti dilakukan dengan ikhlas dna jujur. Nabi Muhammad SAW meletakkan tanggungjawab atas penguasa atau pemimpin dalam memastikan kebajikan rakyat dilaksanakan.
Khalid memetik: “Siapa di antara umatku yang memegang jabatan dalam masyarakat maka ia tidak melaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan tidak memelihara kepentingan mereka sebagaimana memelihara dan memperhatikan urusanya sendiri, nescaya ia tidak akan dapat mencium harumnya syurga.”
Yang berkhidmat harus lurus, telus dan tulus.
Bagi yang berpunya harus menjadi dermawan. Perangai yang kikir harus dilawan. Apabila menolong jangan sampai mengaibkan orang yang ditolong.
Kekikiran harus dilawan. Kedermawan harus digalakkan. Kesengsaraan orang harus diringankan. Penderitaan mereka harus dapat kita rasakan bersama. Itulah yang pernah ditunjukkan oleh baginda nabi.

Terhimpun dalam buku ini banyak hikmah dan seruan Nabi Junjungan yang sekaligus menerangkan cahaya Islam sebagai rahmat lil alamin.
Dalam suasana kemekaran semangat beragama yang menguat, tetapi orientasi dominannya bersifat eksklusif dan terkadang keras dan ketat, kesejukan dan kelembutan yang dibawakan oleh Junjungan baginda, amat sangat diperlukan.
Di satu pihak lain, gerombolan yang sering menuding Islam sebagai pembawa keganasan dan ketertutupan, membilang kemanusiaan yang dibawakan nabi, semakin sangat penting untuk disebar-laungkan.
Sesungguhnya kemanusiaan Nabi Muhammad adalah puncak lafaz kesempurnaan unggul. Sepertimana disimpulkan Khalid:
“Peribadi Muhammad saw adalah tokoh kemanusiaan yang amat peka terhadap perasaan yang ada pada setiap peribadi, dan Baginda tidak dapat menerima penghinaan walau dengan dalih apapun terhadap sesama manusia…”
Begitulah yang bergaung dari kelopak puisi KH Mustafo Bisri yang menguntum sebuah kerinduan:
“Aku merindukanmu, o, Muhammadku
Sepanjang jalan kulihat wajah-wajah yang kalah
Menatap mataku yang tak berdaya
Sementara tangan-tangan perkasa
Terus mempermainkan kelemahan
Airmataku pun mengalir mengikuti panjang jalan
Mencari-cari tangan
Lembut-wibawamu
Dari dada-dada tipis papan
Terus kudengar suara serutan
Derita mengiris berkepanjangan
Dan kepongahan tingkah-meningkah
Telingaku pun kutelengkan
Berharap sesekali mendengar
Merdu-menghibur suaramu.”
Itulah suara kemanusiaan junjungan nabi kita, yang kita rindui, pasti juga kita contohi dan mengilhami. Bungakanlah insanniyah ini.
AZHAR IBRAHIM Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





