34.1 C
Kuala Lumpur
Monday, August 24, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Lebih 8 dekad Kedai Kopi Hai Peng terus satukan pelbagai kaum

    Shopee Sale

    Sebuah kedai kopi berusia lebih lapan dekad di bandar Chukai bukan sekadar tempat penduduk setempat menikmati secawan kopi, malah menjadi saksi perjalanan sejarah serta lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan sehingga kini.

    Kedai Kopi Hai Peng yang mula beroperasi pada 1940 itu diasaskan oleh Wong Sang Hai, dan sejak dibuka ia menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai kaum, sekali gus menjadikannya antara lokasi pertemuan masyarakat di bandar Chukai.

    Pemiliknya Richard Wong Tien Loong, 38, berkata kedai kopi berkenaan menjadi tempat masyarakat Melayu, Cina dan India duduk semeja sambil menikmati kopi dan roti bakar.

    Beliau berkata suasana unik di kedai kopi itu masih kekal, meriah dengan kehadiran pelanggan daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

    “Saya gembira kerana kedai kopi yang diasaskan oleh datuk saya 86 tahun lepas kekal menjadi tempat pertemuan dan penyatuan masyarakat daripada pelbagai kaum di bandar ini," katanya ketika ditemui Bernama di Kedai Kopi Hai Peng di Chukai.

    Wong mengambil alih pengurusan kedai kopi itu daripada ibu saudaranya pada 2014, dan perniagaan berkenaan semakin berkembang maju serta kekal menjadi pilihan pelanggan dari dalam dan luar daerah ini.

    "Kesinambungan pengurusan merentas beberapa generasi itu membolehkan kedai kopi ini terus beroperasi sehingga kini, sekali gus mengekalkan identitinya sebagai antara kedai kopi paling lama bertahan di bandar Chukai," katanya.

    Nama Hai Peng membawa maksud ‘"seaside" atau pesisir pantai dalam bahasa Cina, yang mempunyai kaitan dengan identiti bandar Chukai yang terletak di pesisir pantai.

    Kedai kopi itu bermula daripada sebuah struktur kayu yang sederhana sebelum diubah suai lebih 30 tahun lepas, namun identiti dan lokasinya masih dikekalkan.

    "Selain minuman kopi Hainan menjadi identiti kedai berkenaan, pelanggan turut boleh menikmati hidangan sarapan seperti roti bakar kaya, telur separuh masak, nasi lemak dan beberapa jenis kuih-muih tradisional," katanya yang mempunyai 14 pekerja dan kesemuanya berketurunan Melayu.

    Sementara itu, seorang pelanggan Mohamed Rahim Hussin, 67, berkata beliau yang menjadi pelanggan kedai kopi itu sejak 1979 berasa teruja dan gembira melihat premis berkenaan terus dikunjungi pelanggan daripada pelbagai kaum.

    Beliau berkata pada awalnya memilih kedai kopi berkenaan sebagai lokasi bersarapan kerana tidak mempunyai banyak pilihan kedai makan di bandar ini ketika itu, namun keselesaan, suasana serta keunikan premis berkenaan membuatkannya terus menjadi pelanggan setia sehingga kini.

    MENARIK:  Malaysia perlu manfaatkan potensi besar industri nadir bumi - Anwar

    "Setiap kali datang ke sini, saya dapat melihat pelanggan daripada pelbagai kaum duduk semeja sambil menikmati hidangan bersama. Malah, saya juga sering mengajak rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang bertemu di premis ini sambil berbincang mengenai pelbagai isu semasa," kata ahli perniagaan itu.

    Mohamed Rahim berkata beliau berharap kedai kopi yang menyimpan banyak kenangan, dan menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan di bandar Chukai itu terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang supaya kisah, tradisi dan keunikannya yang terbina sejak lebih lapan dekad lepas tidak hilang ditelan zaman.

    Seorang lagi pelanggan Peter Lau, 64, berkata bapanya sering membawanya bersarapan di premis berkenaan sejak beliau berusia lima tahun kerana kediaman mereka terletak tidak jauh dari kedai kopi berkenaan.

    Beliau yang mengusahakan perniagaan kedai perkakasan berkata, pada ketika itu bapanya berkunjung ke kedai kopi berkenaan untuk menikmati kopi sambil bertemu rakan-rakannya yang terdiri daripada masyarakat Melayu dan India.

    "Saya gembira melihat suasana mesra itu kekal sehingga sekarang apabila pelanggan saling bertegur sapa dan bersalaman tanpa mengira bangsa apabila berjumpa di kedai kopi ini," katanya.

    Beliau berkata bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026), semangat muhibah yang ditunjukkan oleh masyarakat pelbagai kaum di kedai kopi berkenaan mampu menyemarakkan patriotisme serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

    “Suasana ini juga mencerminkan keharmonian dan semangat saling menghormati yang menjadi asas kepada kekuatan serta keutuhan masyarakat dalam mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi,” katanya.

    Bagi A Thevanthiran, 51, dari Kuantan, Pahang, dia sering membawa keluarganya bersarapan di kedai kopi berkenaan walaupun perlu menempuh perjalanan agak jauh.

    "Ahli keluarga saya selesa menikmati makanan dan minuman di kedai kopi berkenaan, selain tertarik melihat premis ini sentiasa dipenuhi pelanggan daripada pelbagai kaum," katanya.

    Beliau turut menjadikan interaksi antara pelanggan pelbagai kaum di kedai kopi berkenaan sebagai contoh kepada anak-anaknya mengenai keharmonian masyarakat, khususnya bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah