Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghayatan Maulidur Rasul tidak seharusnya terhenti pada sambutan atau perarakan sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penghayatan kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia.
Beliau berkata sambutan Maulidur Rasul perlu menjadi wadah untuk menyuntik semangat, kesedaran dan pencerahan dalam kalangan umat Islam.
“Dalam konteks kefahaman Islam, cabarannya adalah penghayatannya, bagaimana kita memandangnya sebagaimana bulan kemerdekaan, bukan sambutannya, bukan pestanya, bukan perarakannya, tetapi yang diutamakan ialah apa yang digesa dalam firman Allah SWT.
“Bagi saya, sambutan begini adalah untuk menyuntik semangat baharu, bukan untuk mengekalkan kealpaan lama, dan obor Islam itu sentiasa obor yang dinamik, yang hidup. Setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan,” katanya semasa berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di Serdang hari ini.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Perdana Menteri berkata cabaran umat Islam ketika ini adalah untuk menghayati nilai Islam sehingga menjadi contoh terbaik, bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia keseluruhannya.
Beliau berkata konsep rahmatan lil ‘alamin perlu diterjemahkan melalui pembentukan masyarakat yang berteraskan nilai, prinsip dan idealisme selain mempunyai dorongan untuk mencapai kecemerlangan.
Anwar berkata masyarakat dibina berdasarkan prinsip diajarkan Rasulullah SAW perlu mempunyai nilai yang jelas, termasuk menyenangi kebaikan, menghormati orang lain dan menjunjung keadilan, selain menolak kemungkaran, kebejatan sosial, keangkuhan, perkauman sempit, penindasan, rasuah dan penyelewengan.
“Bagaimana kita boleh hidupkan masyarakat Melayu, masyarakat Islam di Malaysia ini, masyarakat yang boleh dibina atas prinsip diterapkan Nabi Muhammad SAW menjadi masyarakat istimewa, yang farid, bersifat menyeluruh, tetapi ada kelainannya, ada ciri luar biasa, yang bergerak mendorong ke arah kecemerlangan.
“Ini ujian dan cabaran tatkala kita menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW. Hari besar bagi kita, tetapi kita bezakan, bukan pesta, bukan perarakan, bukan sambutan biasa, tetapi mendorong ke arah penghayatan lebih bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pendekatan dakwah masa kini perlu diberi perhatian kerana terdapat keadaan apabila masyarakat bukan sahaja tidak mudah menerima Islam, malah berasa cemas dengan nada yang digunakan dalam menyampaikan mesej agama.
“Bayangkan dakwah kita dan pergerakan kita sekarang, orang lebih takut dan tidak tertarik dengan Islam, berbeza dengan apa yang kita sebut tadi. Kita sebut Rasulullah SAW itu contoh terbaik.
“Ini teguran kepada kita masing-masing. Bagaimana boleh kita perbaiki?,” katanya.





