29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Perbezaan pandangan bukan alasan saling membenci

    Shopee Sale

    Semangat hubbul watan (cintakan negara) perlu diterjemahkan melalui prinsip ta'ayush (kehidupan bersama secara harmoni) dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

    Katanya Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam supaya memelihara hubungan sesama manusia atas dasar ukhuwah insaniah, manakala sesama umat Islam pula terikat dengan ikatan ukhuwah Islamiah yang kukuh.

    "Oleh itu, perbezaan pandangan politik, keragaman warna kulit dan latar belakang sosial tidak seharusnya menjadi alasan untuk saling membenci, menghina atau menghasut.

    "Dalam masyarakat majmuk, setiap warga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian, menolak ucapan kebencian dan provokasi yang boleh merosakkan hubungan antara masyarakat," katanya semasa berucap pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Serdang, Selangor, hari ini.

    Turut hadir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sirajuddin Suhaimee.

    Zulkifli berkata kecintaan kepada Rasulullah seharusnya melahirkan umat yang menjadi sumber keamanan, pendamai dan jambatan yang menghubungkan masyarakat, bukan punca permusuhan, penghasut atau tembok yang memisahkan.

    MENARIK:  Bekas ketua komunikasi korporat lepas, bebas tuduhan rasuah lebih RM5,000

    Tambahnya perubahan yang dibawa dalam pentadbiran Rasulullah bukanlah perubahan biasa, bahkan merupakan satu anjakan paradigma yang luar biasa.

    "Baginda tidak sekadar memimpin, malah baginda menyuntik nafas baru dalam memasyarakatkan warga Madinah.

    "Baginda berjaya menterjemahkan konsep 'kepelbagaian' itu sebagai satu kekuatan, merapatkan tautan ukhuwah sesama Islam, membina jambatan persaudaraan kemanusiaan dengan yang bukan Islam, lalu membentuk satu masyarakat Madinah yang padu," katanya.

    Zulkifli berkata penghayatan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Madani Dihayati, Ummah Diberkati, turut membawa makna mendalam kepada umat Nabi Muhammad.

    Katanya menghayati aspirasi Madani bukan sekadar usaha memahami satu dasar kerajaan, tetapi satu proses menterjemahkan nilai-nilai murni Islam ke dalam sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

    "Kita percaya, jika kita terus merapatkan saf, mengeratkan perpaduan sesama kita, berpadu tenaga ke arah usaha memakmurkan negara, natijahnya akan menghasilkan keberkatan buat negara dan umat seluruhnya," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah