27.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ayob Khan pertahan Sosma, tak mahu ISA dikembalikan

    Shopee Sale

    Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma dengan berkata undang-undang khusus diperlukan bagi menangani keganasan dan jenayah terancang secara berkesan.

    Dia yang pernah mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dari 2016 hingga 2020 berkata prosedur reman biasa di bawah undang-undang jenayah am tidak memadai untuk operasi berskala besar yang melibatkan ramai suspek serta bahan bukti yang banyak.

    “Saya bukan tangkap seorang sahaja ketika berada dalam bahagian antikeganasan. Dalam tempoh 24 jam, saya tangkap 40 suspek,” katanya seperti dipetik dalam wawancara dengan Free Malaysia Today.

    Ayob Khan yang menghabiskan masa selama 35 tahun berkhidmat dalam pasukan polis memberitahu, penyiasat memerlukan masa yang mencukupi untuk meneliti barangan yang dirampas, menganalisis telefon bimbit dan komputer riba serta melengkapkan siasatan membabitkan puluhan suspek.

    Tugas itu, katanya, sukar dilakukan jika mahkamah hanya memberikan tempoh reman yang singkat.

    Sosma membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari bagi tujuan siasatan sebelum ditentukan sama ada mereka didakwa atau dibebaskan.

    Undang-undang itu berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi dan pemimpin politik, dengan gesaan berulang supaya ia dimansuhkan atau dipinda.

    Merujuk insiden di Kampung Medan di Selangor dan Kampung Rawa di Pulau Pinang bertahun-tahun lalu, Ayob Khan berkata, undang-undang keselamatan yang tegas diperlukan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bagi mengelakkan ketegangan antara kaum daripada terus memuncak.

    “Struktur sosial kita berbeza. Kita tidak boleh mengambil model yang digunakan negara-negara Barat begitu sahaja,” katanya.

    Tingkat langkah keselamatan

    Dia turut memberi amaran kepada ahli politik supaya tidak mengutamakan keuntungan politik jangka pendek berbanding keselamatan negara untuk jangka panjang.

    MENARIK:  'PAS hanya tunggang isu addendum, tak layak jadi teladan perjuangan Islam'

    Sementara itu, Ayob Khan turut mengenang kembali bagaimana anggota yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, Negara Islam (IS), turut memantau pergerakan pegawai kanan polis, termasuk dirinya dan ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar.

    “Mereka menjejaki pergerakan pegawai tertentu, termasuk ketua polis negara ketika itu. Mereka tahu saya akan berjoging di Taman Tasik Perdana dan KPN ketika itu (Khalid) akan menyertai konvoi motosikal pada hari Sabtu.

    “Saya menerima maklumat ini kerana kami juga berada dalam kumpulan (yang memantau mereka) itu,” katanya seperti dipetik.

    Ancaman itu mendorong Ayob Khan mengambil langkah keselamatan tambahan, termasuk menggunakan kenderaan kalis peluru, menukar laluan perjalanan serta sentiasa berwaspada terhadap keadaan di sekelilingnya.

    Tambahnya, dia juga akan duduk menghadap ke luar ketika makan di restoran supaya dapat memantau orang di sekelilingnya.

    Menurutnya, amalan sedemikian berakar daripada teknik keselamatan yang dibangunkan ketika pihak berkuasa memerangi Parti Komunis Malaya dari 1950-an hingga 1980-an.

    Bagaimanapun, Ayob Khan menegaskan pendiriannya mempertahankan Sosma tidak harus ditafsirkan sebagai sokongan untuk menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara untuk tempoh tidak ditentukan sebelum dimansuhkan pada 2012.

    Antara kes paling berprofil tinggi ketika Ayob Khan mengetuai unit antikeganasan ialah serangan bom tangan di kelab malam Movida di Puchong pada Jun 2016, yang disifatkan polis sebagai serangan pertama di Malaysia yang berjaya dikaitkan dengan IS.

    Seramai lapan orang cedera dalam letupan itu.

    Dua lelaki, Imam Wahyudin Karjono, dan Jonius Ondie @ Jahali, kemudian dijatuhi hukuman penjara 25 tahun selepas mengaku bersalah melakukan tindakan keganasan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah