31 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Konflik dapat diselesaikan melalui kamera badan

    Shopee Sale

    Kita digegarkan dengan insiden seorang peniaga belon dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

    Insiden ini membangkitkan rasa tidak senang ramai pihak. 

    Semua pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan mula mengeluarkan cerita masing-masing terhadap apa sebenarnya yang berlaku. 

    Persoalannya kini, bagaimana kita hendak mengesahkan segala cerita dan tuduhan yang dilemparkan oleh semua pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan? 

    Kemunculan teknologi baru pada masa kini telah banyak memberi ruang dan peluang pada kita semua untuk menggunakannya sebagai bahan bukti ketika berlakunya perkara yang tidak diingini. 

    Antaranya adalah kemunculan video kamera. 

    Penggunaan video kamera seperti Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta dashcam sudah menjadi satu keperluan utama oleh semua pihak pada masa kini bagi membendung kegiatan jenayah serta bagi melindungi diri masing- masing terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas. 

    Kamera badan (BWC) juga adalah sebahagian daripada teknologi ini.

    BWC adalah perananti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital. 

    Sudah sampai masanya penggunaan BCW diwajibkan untuk semua anggota penguatkuasa yang ada dalam Malaysia tanpa mengira unit atau bahagian.

    Ini termasuklah pegawai polis, pegawai kastam, pegawai imigresen, badan penguat kuasa di semua kementerian, pihak penguatkuasa kerajaan tempatan (PBT), dewan bandar raya serta penguatkuasa jabatan agama Islam. 

    Penggunaan kamera badan oleh semua pihak penguat kuasa ini juga diyakini dapat membendung sebarang aktiviti salah laku seperti penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

    Pada masa yang sama juga, penggunaan kamera badan ini juga dapat melindungi pihak penguatkuasa itu sendiri daripada sebarang tuduhan yang dilontarkan kepada mereka daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. 

    Penggunaan video kamera sebagai bahan bukti dalam mahkamah tidak sepatutnya menjadi satu isu atau masalah yang besar kerana ia juga boleh menjadi bukti yang kuat bagi menyokong sesuatu hujah atau pertikaian di dalam proses perbicaraan kes mahkamah sama ada kes sivil ataupun kes jenayah. 

    Maksud bukti

    Menurut Akta Keterangan 1950, akta paling utama yang mengawal selia pemberian bahan bukti dalam mahkamah, maksud bukti atau keterangan dinyatakan dengan jelas bawah Seksyen 3.

    Ia “meliputi”: (a) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya leh saksi – saksi berhubungan dengan perkara – perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan; (b) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah: dokumen – dokumen sedemikian disebut keterangan dokumen.

    Penggunaan ayat “meliputi” menunjukan bahawa penggunaan bahan bukti dalam kes mahkamah tidak hanya terpakai atau terhad terhadap penggunaan bahan bukti yang datang dari saksi ataupun dokumen biasa sahaja. 

    Perkara ini dipersetujui oleh mahkamah sendiri melalui beberapa kes seperti kes Chin Seow Noi v PP [1994] 1 SLR, Dilworth & Ors v Commissioner of Stamps, [1899] AC 99, [1895-99] All ER Rep Ext 1576, Corporation of Portsmouth v Smith & Ors. (1883) 13 QBD 184, Abdul Rashid & Anor v PP [1994] 1 SLR 119, Lee Yuan Kwang & Ors v PP [1995] 2 SLR 349, PP v Rozmaan bin Jusoh & Anor [1999] 2 SLR 181 dan Noliana Sulaiman v PP [2000] 4 MLJ 752.

    MENARIK:  Lagi lobi anti-BlackRock cuba tekan Anwar

    Oleh yang demikian, kita juga boleh menggunakan mana-mana bahan bukti yang sesuai untuk membantu dan menyokong sesebuah proses perbicaraan kes mahkamah dan ini termasuklah video kamera. 

    Video kamera boleh menjadi sebuah bahan bukti yang kuat sekiranya ia memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan undang-undang. 

    Jika dilihat dengan teliti juga, video kamera ini juga boleh dikategorikan sebagai salah sebuah bahan bukti dokumen. 

    Menurut Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 juga, definisi dokumen itu sendiri adalah luas dan ia boleh meliputi juga video kamera. 

    Video kamera boleh diterima sebagai sebuah bukti dokumen sekiranya ia memenuhi syarat pengesahannya mengikut Seksyen 61 sehingga 66 Akta Keterangan 1950.

    Video kamera juga boleh diterima sebagai bukti berbentuk digital atau elektronik. 

    Bukti berbentuk digital atau elektronik juga boleh diterima bawah Akta Keterangan 1950. 

    Bukti digital

    Seksyen 90A, 90B and 90C Akta Keterangan 1950 memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan bukti berbentuk digital atau elektronik yang juga lebih dikenali sebagai bukti yang dihasilkan atau dikeluarkan melalui komputer. 

    Penerimaan bahan bukti berbentuk digital atau elektronik juga telah banyak kali diterima oleh pihak mahkamah seperti kes Gnanasegaran Pararajasingam v PP [1997] 3 MLJ 1, CA, Hanafi Mat Hassan v PP [2006] 4 MLJ 134, CA, Ahmad Najib Aris v PP [2009] 2 MLJ 613, FC, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) v Khoo Nee Kiong [2003] 4 MLJ 216 dan PP v Ong Cheng Heong [1998] 6 MLJ 678.

    Walaupun penggunaan kamera video ini dilihat penting sebagai bahan pembuktian, kita harus memastikan ia tidak disalahgunakan untuk tujuan jenayah atau mengganggu privasi seseorang. 

    Terdapat juga insiden penyalahgunaan kamera video untuk kegiatan hendap atau skodeng seperti yang berlaku pada mangsa dalam tandas dan bilik salinan pakaian di pusat beli belah seperti dalam negara kita tidak beberapa lama dulu. 

    Perlu diketahui, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan perbuatan hendap atau skodeng. 

    Ini berdasarkan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah yang menjadikan tindakan menghendap atau skodeng sebagai kesalahan jenayah.


    MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah