31 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PN gesa Kementerian Pengangkutan perjelas gangguan KLIA

    Shopee Sale

    PN menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi penjelasan mengapa agensi di bawahnya didakwa gagal menjalankan fungsi dengan baik susulan kerosakan sistem pengendalian bagasi di KLIA Terminal 1 pada Sabtu.

    Insiden itu menyebabkan kelewatan antara dua hingga empat jam kepada sejumlah besar penumpang yang tiba, dan mendorong kementerian mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memulakan siasatan.

    Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata kerosakan tersebut merupakan yang terbaru dalam siri masalah teknikal yang menjejaskan penumpang merentasi pelbagai jenis pengangkutan awam sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

    "Apabila gangguan berlaku merentasi pelbagai mod pengangkutan, sama ada di lapangan terbang, sistem rel bandar mahupun operasi pengakutan berkaitan, menunjukkan wujudnya cabaran lebih besar berkaitan pengurusan operasi, standard penyelenggaraan, daya tahan sistem serta keberkesanan pelan kontingensi.

    "Kejadian-kejadian ini tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kelemahan sistemik yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta pendekatan menyeluruh," katanya pada satu kenyataan.

    Takiyuddin berkata insiden di KLIA 1 menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebolehpercayaan dan kualiti pengurusan infrastruktur pengangkutan awam kritikal negara.

    Sebagai aset kritikal negara, katanya, infrastruktur itu sepatutnya beroperasi secara cekap dan konsisten, khususnya apabila melibatkan pintu masuk utama seperti KLIA.

    "Justeru, PN menggesa Kementerian Pengangkutan agar memberi penjelasan yang telus dan menyeluruh berhubung masalah yang berlaku melibatkan agensi-agensi di bawahnya.

    "MOT perlu mendedahkan punca sebenar kegagalan-kegagalan ini, termasuk sama ada rejim penyelenggaraan pencegahan mencukupi, kerja naik taraf sistem berjalan lancar atau pelan kontingensi sedia ada benar-benar berkesan dalam menangani gangguan operasi," kata Takiyuddin.

    MENARIK:  Skandal Sabah: Ada cukup bahan untuk hasilkan siri Netflix, kata PSM

    Menurut kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam (19 April), gangguan di KLIA Terminal 1 berlaku pada petang Sabtu dan menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam.

    Walaupun sistem pengendalian bagasi dipulihkan pada malam yang sama, Loke menegaskan pemulihan teknikal itu tidak menamatkan isu tersebut dan mengarahkan CAAM menjalankan siasatan.

    Loke turut mengarahkan pengawal selia penerbangan itu meneliti sama ada tindakan hukuman perlu dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) "berhubung kegagalan dalam penyampaian perkhidmatan ini."

    Selain itu, Loke berkata ketua setiausaha MOT diarahkan mengadakan mesyuarat tergempar dengan agensi berkaitan hari ini (Isnin).

    “Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

    CAAM pada kenyataan berasingan semalam mengesahkan operasi di terminal utama telah stabil dan kembali normal.

    CAAM menjelaskan telah melaksanakan pemantauan ketat terhadap proses pemulihan dan terus berinteraksi dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat penerbangan bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi semua piawaian keselamatan dan perkhidmatan yang ditetapkan.

    CAAM berkata MAHB diwajibkan mematuhi piawaian Kualiti Perkhidmatan (QoS) yang ditetapkan, termasuk pengendalian bagasi penumpang secara tepat masa dan efisien.

    Sehubungan itu, CAAM berkata pihaknya akan menguatkuasakan pematuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

    Tambahnya, MAHB juga diarahkan melaksanakan langkah pembetulan dan pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah