30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Bagaimana persepsi kejatuhan kerajaan dibina

    Shopee Sale

    ULASAN | Dalam politik pasca normal, kejatuhan sesebuah kerajaan jarang bermula dengan kekalahan di Parlimen atau pilihan raya. Ia biasanya bermula lebih awal — di ruang persepsi.

    Sebelum sesuatu kerajaan benar-benar tumbang sering kali terbina terlebih dahulu satu naratif bahawa kerajaan tersebut sudah lemah, kehilangan kawalan dan berada di ambang kejatuhan.

    Fenomena ini bukan sesuatu yang unik di Malaysia tetapi dalam ekosistem politik digital hari ini di mana proses tersebut menjadi jauh lebih cepat dan lebih agresif.

    Media sosial telah mengubah cara kuasa ditafsir dan dipertikaikan. Naratif yang berulang-ulang boleh membentuk gambaran realiti yang akhirnya mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan.

    Dalam konteks Malaysia hari ini, persepsi seperti ini mula muncul terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Walaupun kerajaan masih berfungsi dan dasar-dasar masih dilaksanakan, banyak pelaburann masuk, bantuan diteruskan dan semakin dipertingkatkan namun ruang digital semakin dipenuhi dengan naratif bahawa kepimpinan beliau semakin lemah dan kerajaan semakin tidak stabil. Seolah-olah ada kepelikan di sini?

    Persoalannya ialah: bagaimana persepsi kejatuhan ini dibina?

    Salah satu strategi paling berkesan dalam politik ialah membina naratif krisis sebagai strategi politik pembangkang dan anti-Anwar. Naratif ini menekankan bahawa keadaan negara semakin buruk, kerajaan hilang arah dan kepimpinan tidak lagi mampu mengawal keadaan.

    Dalam politik Malaysia naratif krisis biasanya dibina melalui beberapa isu utama: kos sara hidup, konflik politik dalam kerajaan, pertikaian antara parti dan kontroversi dasar kerajaan.

    Setiap isu ini kemudian digabungkan menjadi satu gambaran besar bahawa kerajaan sedang menghadapi kegagalan menyeluruh.

    Pengulangan mesej di media sosial

    Menariknya, naratif krisis tidak memerlukan semua fakta yang lengkap. Ia hanya memerlukan beberapa episod yang boleh diulang dan diperbesar sehingga membentuk persepsi bahawa masalah tersebut mewakili keseluruhan keadaan negara.

    Dalam teori komunikasi, pengulangan memainkan perananan penting dalam membentuk persepsi awam. Apabila sesuatu naratif diulang secara konsisten sama ada melalui kenyataan politik, video pendek, meme atau perbualan dalam talian ia perlahan-lahan diterima sebagai realiti.

    Proses ini menjadi lebih pantas dalam era media sosial. Satu klip ucapan yang dipotong pendek, satu kenyataan kontroversi atau satu konflik politik boleh beredar ribuan kali dalam masa yang singkat.

    Apabila mesej yang sama terus muncul di pelbagai platform digital, ramai pengguna mula merasakan bahawa naratif tersebut mewakili keadaan sebenar.

    Dalam ruang media sosial yang bergerak sangat pantas, sebahagian besar pengguna tidak semestinya menilai setiap maklumat secara mendalam.

    Maklumat diterima dalam bentuk potongan video, meme, tangkap layar atau petikan kenyataan yang telah dipilih dan disunting. Dalam keadaan ini, ramai khalayak mungkin tidak sepenuhnya sedar bahawa mereka sedang berhadapan dengan naratif yang telah direka dan disusun secara strategik.

    Apabila sesuatu mesej diulang secara berterusan, ia perlahan-lahan membentuk rasa bahawa mesej tersebut adalah realiti yang sebenar. Sebahagian pengguna akhirnya menyerap maklumat yang mungkin mengandungi unsur manipulasi, separa kebenaran atau tafsiran yang terpesong tanpa menyedarinya.

    Maka reaksi yang muncul dalam ruang digital sering berlaku secara spontan dan emosional tanpa melalui proses penilaian atau refleksi yang mendalam. Perbincangan politik yang sepatutnya menjadi ruang pertukaran hujah akhirnya berubah menjadi medan kecaman, sindiran dan penghinaan yang kadangkala mengabaikan adab serta budaya wacana yang matang.

    Fenomena ini menunjukkan bahawa dalam politik digital hari ini, persepsi awam bukan sahaja dibentuk oleh naratif politik sebaliknya juga oleh emosi kolektif yang digerakkan dalam ruang media sosia

    Ini menjelaskan mengapa dalam politik digital hari ini, persepsi kejatuhan boleh terbentuk lebih awal daripada kejatuhan sebenar.

    Perhimpunan antikerajaan

    Fenomena pembinaan persepsi ini juga boleh dilihat melalui beberapa isu politik yang sering beredar dalam ruang media sosial. Contohnya polemik mengenai perpecahan dalam PKR terutamanya apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sering ditafsirkan sebagai tanda kelemahan kepimpinan walaupun dinamika dalaman parti sebenarnya merupakan perkara biasa dalam mana-mana organisasi politik.

    Ramai pemimpin PKR dahulu seperti Mohamed Azmin Ali dan Ezam Mohd Nor telah meninggalkan parti namun apabila naratif mengenai konflik dalaman ini diulang secara berterusan, ia mudah berubah menjadi simbol bahawa kerajaan sedang kehilangan kestabilan politik.

    Seperkara lagi dalam politik digital konflik jarang digambarkan secara abstrak. Ia sering dipersonalisasikan. Ini bermaksud konflik politik tidak lagi dilihat sebagai perbezaan dasar atau strategi lebih jauh lagi sebagai kegagalan individu pemimpin.

    Dalam kes Malaysia, perdebatan politik sering berpusat kepada imej dan personaliti Anwar sendiri. Kritikan terhadap dasar kerajaan sering kali berubah menjadi serangan terhadap kepimpinan peribadi beliau.

    Apabila proses personalisasi ini berlaku secara berterusan, naratif yang muncul bukan lagi sekadar kritikan terhadap kerajaan, tetapi gambaran bahawa pemimpin itu sendiri telah kehilangan keupayaan memimpin.

    Dalam semiotik politik fenomena ini dikenali sebagai erosion of symbolic authority yang diterjemahkan sebagai penghakisan simbolik terhadap autoriti kepimpinan. Perkataan “simbolik” tidak merujuk kepada simbol secara fizikal bahkan lebih mendalam lagi kepada makna, imej dan persepsi yang melekat pada seseorang pemimpin.

    Fenomena pembinaan persepsi ini juga dapat dilihat melalui kemunculan siri perhimpunan yang dikenali sebagai gerakan “Turun Anwar”. Himpunan tersebut dianjurkan oleh parti-parti pembangkang bagi mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

    MENARIK:  Sosma: Aspek keselamatan, hak asasi individu fokus kerajaan

    Tuntutan yang diketengahkan biasanya berkisar kepada isu kos sara hidup, kenaikan harga barang serta kritikan terhadap beberapa dasar kerajaan. Perhimpunan yang terbaru di Melaka menunjukkan bagaimana isu-isu ekonomi yang dirasai oleh rakyat boleh diterjemahkan ke dalam simbol politik yang lebih besar, iaitu tuntutan perubahan kepimpinan.

    Dalam konteks semiotik politik, himpunan seperti ini bukan sekadar satu acara protes. Ia juga berfungsi sebagai isyarat simbolik yang cuba membina gambaran bahawa kerajaan sedang kehilangan sokongan rakyat.

    Apabila imej perhimpunan, slogan dan video demonstrasi tersebar luas dalam media sosial, ia berpotensi memperkukuh naratif bahawa momentum politik sedang berubah.

    Namun perlu difahami bahawa dalam politik demokratik, perhimpunan seperti ini merupakan sebahagian daripada dinamika persaingan politik yang normal.

    Persekitaran komunikasi yang berat sebelah

    Walaupun ia boleh membentuk persepsi tertentu dalam ruang digital, kekuatan sebenar sesebuah kerajaan masih ditentukan oleh faktor yang lebih luas seperti sokongan dalam Parlimen, kestabilan gabungan politik dan keupayaan melaksanakan dasar.

    Dalam semiotik politik, seorang pemimpin bukan sekadar individu. Dia juga merupakan simbol kuasa, legitimasi dan arah kepimpinan negara.

    Jadi “simbolik” di sini bermaksud lapisan makna yang mewakili kewibawaan seorang pemimpin, seperti: kewibawaan, karisma, keupayaan memimpin, kepercayaan rakyat dan imej kekuatan politik.

    Apabila kita mengatakan berlaku penghakisan simbolik, ia bermaksud makna-makna tersebut mula terhakis dalam persepsi awam walaupun secara institusi pemimpin itu masih memegang jawatan.

    Persepsi atau tanggapan kejatuhan juga dipercepatkan oleh sifat algoritma media sosial. Platform digital cenderung mempromosikan kandungan yang mencetuskan emosi kuat seperti kemarahan, kejutan atau sindiran.

    Oleh itu kandungan yang mempersenda kerajaan atau mengejek pemimpin sering kali mendapat perhatian lebih besar berbanding kandungan yang menjelaskan dasar atau pencapaian pentadbiran.

    Ini mewujudkan satu persekitaran komunikasi yang berat sebelah. Walaupun kerajaan mungkin memperkenalkan pelbagai program ekonomi seperti Sumbangan Tunai Rahmah atau inisiatif subsidi bersasar seperti Budi Madani namun perbincangan digital lebih tertumpu kepada kontroversi dan konflik politik.

    Akhirnya naratif negatif menjadi lebih dominan dalam ruang awam. Apabila persepsi kejatuhan terbentuk secara berterusan maka ia mula memberi kesan kepada legitimasi politik kerajaan. Keyakinan rakyat terhadap kepimpinan boleh merosot walaupun kerajaan masih mempunyai sokongan formal dalam Parlimen.

    Dalam sejarah politik Malaysia, beberapa perubahan kerajaan sebelum ini juga didahului oleh perubahan persepsi awam. Sebelum kejatuhan berlaku secara rasmi, sudah muncul terlebih dahulu gambaran bahawa kerajaan tersebut semakin lemah atau tidak lagi mempunyai sokongan politik yang kukuh.

    Ini menunjukkan bahawa persepsi sering kali mendahului realiti politik. Oleh itu apa yang berlaku dalam politik Malaysia hari ini menggambarkan satu perubahan besar dalam cara kuasa berfungsi.

    Politik tidak lagi hanya bergantung kepada angka di Parlimen atau dasar kerajaan. Ia juga bergantung kepada siapa yang berjaya menguasai cerita tentang keadaan negara.

    Dalam ruang digital, naratif yang lebih ringkas, lebih emosional dan lebih mudah dikongsi sering kali mengatasi penjelasan dasar yang kompleks. Dalam era media sosial, proses ini berlaku begitu pantas sehingga sesebuah kerajaan boleh kelihatan kukuh secara struktur politik, namun tampak lemah dalam imaginasi awam.

    Dalam konteks ini timbul persoalan yang lebih besar: adakah kerajaan mempunyai keupayaan institusi untuk mengurus naratif dalam era digital?

    Jika pembinaan persepsi boleh berlaku dengan pantas melalui media sosial, maka respons kerajaan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kenyataan rasmi atau sidang media berkala. Politik komunikasi hari ini menuntut satu pendekatan yang lebih sistematik.

    Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesebuah kerajaan pasca normal memerlukan suatu bentuk institusi pengurusan naratif sama ada dalam bentuk unit komunikasi strategik atau “jabatan naratif”. Fungsi utamanya bukan untuk mencipta propaganda, tetapi untuk:

    • Mengesan pembentukan naratif digital yang boleh menjejaskan legitimasi kerajaan.

    • Menjelaskan dasar kerajaan dengan cepat dan konsisten sebelum persepsi negatif berakar.

    • Menyelaraskan komunikasi antara kementerian supaya mesej kerajaan tidak bercanggah antara satu sama lain.

    • Menangani manipulasi maklumat dan fitnah politik yang mudah tersebar dalam ekosistem media sosial.

    Tanpa keupayaan sedemikian kerajaan mungkin berdepan keadaan di mana ia kukuh dari segi struktur politik tetapi lemah dari segi persepsi awam.

    Dalam era komunikasi digital, kuasa politik tidak hanya ditentukan oleh bilangan kerusi di Parlimen, tetapi juga oleh siapa yang berjaya menguasai naratif dalam ruang awam. Jika ruang naratif dikuasai sepenuhnya oleh pihak lawan, maka persepsi kejatuhan boleh terbina walaupun realiti politik sebenar tidak semestinya demikian.

    Dalam konteks ini cabaran sebenar bagi kerajaan hari ini bukan sekadar mengurus dasar tetapi juga mengurus makna dan persepsi dalam ruang komunikasi digital.

    Inilah realiti politik abad ke-21: kuasa bukan sahaja ditentukan oleh siapa yang memegang kerajaan, tetapi juga oleh siapa yang menguasai naratif tentang kerajaan tersebut.


    ISMAIL HASHIM YAHAYA merupakan pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa di media dengan menampilkan pendekatan semiotik dan naratif dalam menafsir fenomena sosial, budaya dan perubahan makna dalam masyarakat kontemporari.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah