Peguam dan aktivis Siti Kasim mendakwa kerajaan cuba mengawal akses Orang Asli kepada maklumat dengan mengawal pintu masuk ke kampung mereka di Semenanjung.
Dia mengecam Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kerana mengeluarkan notis kepada komuniti itu, yang mengarahkan mereka tidak menerima sebarang pelawat tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada agensi tersebut.
Menurut hantaran di akaun Facebook Jakoa, jabatan itu pada 12 Mei menafikan ada memberi sebarang kebenaran kepada Tok Batin dan ahli komuniti Orang Asli untuk menghadiri program anjuran mana-mana NGO.
Jakoa turut mengingatkan Orang Asli bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu pejabat jabatan itu untuk mengadakan sebarang aktiviti di kampung mereka.
Dakwaan diugut
Siti mendakwa komuniti itu turut diugut dengan tindakan keras jika gagal mematuhi arahan berkenaan, termasuk kemungkinan kehilangan bantuan.
“Sebab dia kita sudah dengar ya daripada orang-orang kampung yang mana mereka sudah mendapat tekanan dan juga ugutan.
"Bahawa bantuan tidak akan diberi kepada mereka sekiranya mereka mendengar suara-suara daripada selain daripada orang-orang yang berkepentingan ini.
"Jadi saya sudah bagi tahu Orang Asli berkenaan mereka tidak ada hak untuk menyekat sebarang bantuan ya. Bantuan yang sepatutnya sampai kepada Orang Asli. Dia tidak boleh ya suka hati nak kata, oh saya akan bagi atau saya tidak akan bagi,” katanya.
Peguam itu berhujah Akta Orang Asli hanya memberikan kuasa kepada ketua pengarah Jakoa bagi pentadbiran am hal ehwal dan kebajikan Orang Asli.
Ia tidak memberikan pegawai itu kuasa mutlak untuk mengehadkan siapa yang boleh ditemui Orang Asli, tambah Siti.
Dia berkata sebarang keputusan untuk membenarkan atau melarang pelawat memasuki kampung Orang Asli sepatutnya terletak di tangan komuniti dan pemimpin mereka.
Malaysiakini telah menghubungi Jakoa untuk mendapatkan ulasan.
Disekat masuk kampung Orang Asli
Siti turut mendakwa pihak berkuasa menyalahgunakan Jabatan Perhutanan untuk menghalangnya memasuki sebuah kampung Orang Asli di Lipis, Pahang, pada 15 Mei.
Menurut Siti, dia bersama sekumpulan aktivis Orang Asli ketika itu menuju ke kampung berkenaan untuk memaklumkan perkembangan kepada penduduk berhubung perkara undang-undang berkaitan komuniti mereka.
Bagaimanapun, kumpulan itu ditahan oleh beberapa pegawai Jabatan Perhutanan negeri kira-kira jam 8 malam, yang berkata mereka tidak mempunyai permit untuk memasuki hutan simpan.
Insiden itu membawa kepada pertengkaran hangat dan menyaksikan beberapa Orang Asli, termasuk mereka yang dikatakan dari kampung tersebut, berdepan dengan pegawai berkenaan.
Pemimpin Orang Asli suku Jakun, Jaidi Musa yang turut berada dalam konvoi itu berkongsi pengalamannya.
“Bagi saya selaku Timbalan Pengerusi Persatuan Suku Jakun Pahang dan Bendahari Jaringan Kampung Orang Asli Pahang,ini merupakan satu tindakan tidak adil yg dikenakan kepada kami.Kerana kami yang hadir juga merupakan orang asli.
"Kami masuk ke kampung Orang Asli yang memang berada di dalam kawasan hutan simpan. Kami bukan masuk ke kampung berkenaan untk ambil apa-apa hasil di sana. Kami masuk atas jemputan komuniti kampung itu sendiri melalui jemputan Yang Beradat Tok Batin,” kata Jaidi.
Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit barulah pegawai itu membenarkan kumpulan mereka memasuki kampung tersebut.
Walaupun Siti percaya tindakan pegawai itu bertujuan menghalang peguam dan aktivis daripada bercakap dengan Orang Asli, Jabatan Perhutanan Pahang menafikan wujud arahan sedemikian.
Pengarahnya, Zainuddin Jamaluddin berkata pegawai berkenaan hanya menjalankan tugas mereka untuk menguatkuasakan undang-undang.
“Dalam undang-undang kami, sesiapa yang mahu memasuki hutan simpan mesti mendapatkan permit. Tetapi kumpulan ini mereka memaklumkan jabatan, mereka terus masuk begitu sahaja.
“Tetapi demi menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli, kami telah membenarkan mereka masuk namun di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan,” katanya.
[Baca berita asal]





