Kumpulan anak muda Mandiri mengemukakan surat tuntutan guaman (LOD) kepada Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Abdul Munim berhubung dakwaan mereka menerima dana asing RM1.5 juta daripada sebuah pertubuhan haluan kiri Amerika Syarikat.
LOD itu disampaikan melalui Tetuan Daim & Gamany.
Perkara itu didedahkan Kamil – yang “tiada halangan dan berbesar hati” – menyelesaikan pertikaian itu di mahkamah, walaupun berpendapat tiada keperluan berbuat demikian.
“Saya percaya perkara ini sebenarnya boleh sahaja diperjelaskan melalui penjelasan balas kepada dakwaan yang berlegar.
“Namun jika tindakan mahkamah menjadi pilihan untuk menyelesaikannya, maka saya tiada halangan dan berbesar hati untuk menuruti proses ini dengan sewajarnya,” katanya.
Tanggungjawab dapatkan penjelasan
Menulis di media sosial, Kamil mempertahankan kenyataannya bukan tekanan politik atau serangan terhadap kumpulan masyarakat sivil.
“Apa yang dibangkitkan adalah tanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan terhadap dakwaan khusus berkaitan penyelewengan yang telah tersebar kepada umum,” katanya.
Katanya, walaupun kerajaan sering digambarkan seolah-olah rejim yang zalim serta menindas, hakikatnya ruang untuk Mandiri dan pelbagai organisasi mengkritik pemimpin mahupun institusi tetap terbuka.
Bahkan, katanya, ruang diberikan jauh lebih baik daripada rejim pemerintah sebelum ini.





