27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KOLUM | Kenapa Perlis cuma ada lapan orang

    Shopee Sale

    ULASAN | Campoq saya, Perlis hari ni ada sembilan orang,” ujar saya berseloroh. Negeri Indera Kayangan ini katanya terlalu kecil untuk menampung lebih daripada lapan orang.

    Tentunya lebih daripada sekadar lapan. Namun kalau ditanya orang tempatan dalam suatu bengkel demografi, pecahannya hampir sahaja begitu.

    Daripada lapan unit itu, ada satu monarki, dua ahli politik, tiga Melayu, satu Cina, dan satu Siam. Pecahan itu tidak terlalu jauh daripada fakta statistik.

    Lebih menarik lagi jika difikirkan bagaimana katanya 80 peratus warga negeri Perlis itu adalah penjawat awam, dengan bakinya bekerja sendiri dalam pelbagai industri termasuklah yang paling utama, pertanian.

    Sambil mencicipi pulut mempelam, saya perlahan-lahan cuba mencerakin situasi ekonomi, politik dan sosial negeri ini. Negeri yang belanjawan tahun 2026-nya sekadar RM359.8 juta, jauh lebih rendah ketimbang belanjawan Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang sebanyak RM512.7 juta untuk tahun sama.

    Sebagai perbandingan, Perlis mempunyai muka bumi seluas 819km persegi. Pulau Pinang, 1,049km persegi. Manakala Singapura, hanya lebih kurang 735km persegi. Tentunya Singapura dan Pulau Pinang mempunyai taburan penduduk yang lebih padat – masing-masing 6.1 juta dan 1.8 juta orang.

    Perlis? Lapan orang. Ok saya melawak. Perlis memiliki populasi sekitar 297,800 orang.

    Dengan anggaran kepadatan penduduk sekitar 357 orang bagi setiap kilometer persegi, tidak hairan kenapa kenderaan di laluan utama negeri Perlis bergerak dengan agak perlahan. ‘Slow living’ bak kata anak muda hari ini.

    Slow living

    Bagi seorang warga negeri Pulau Pinang seperti saya, pergerakan negeri Perlis yang agak perlahan itu sedikit meresahkan. Tapi ya lah, ‘laju-laju nak pi mana’ kata mereka. Namun hakikat ‘slow’ itu bukan sekadar pada kelajuan pemanduan.

    Mata saya melihat potensi pembangunan di demikian banyak tanah terbiar di kiri dan kanan jalan raya utama, yang rata-rata diusahakan sebagai sawah padi. Kami orang Utara sebut bendang.

    Bangunan tinggi hanya ada di Kangar. Manakala kalau masuk jalan kampung dari Jejawi, Santan, Beseri, Chuping sampai ke Padang Melangit apa semua tu, negeri Perlis kelihatan seperti hamparan yang terbentang luas. Antara langit dan bumi hanya ada ruang ‘healing’ yang tiada putus.

    Dan di situlah barangkali muncul kefahaman saya tentang kenapa Perlis cuma ada lapan orang.

    Perbualan bersama warga desa kerap mengungkapkan betapa mereka merasakan sudah cukup apa yang ada di Perlis itu, tak usah ditambah lagi. Sebagai sebuah negeri yang barangkali eksport terbesarnya adalah buah mangga yang dituai setahun sekali, saya mengira sifat qana’ah (cukup dengan apa yang ada) begini sangat luar biasa.

    Apatah lagi kalau menyingkap kerancakan ekonomi pariwisata negeri ini yang kian menjadi-jadi dengan bilangan rumah tumpangan (baca: homestay) yang bercambah di serata ceruk, sebagai transit barangkali sebelum dan selepas para pelancong dari luar menghala ke Selatan Thailand saban hujung minggu.

    Perlis seakan sama sahaja keadaannya dengan Jogjakarta, yang turut sama menjadi tumpuan wisatawan dari sekitar Pulau Jawa pada setiap akhir pekan. Namun Jogja, sepertimana Perlis masih mampu mengekalkan harga rahmah bagi setiap produk yang menjadi sasaran pengunjung. Kecuali mungkin beberapa hal yang terkesan inflasi dalam peratusan kecil.

    Di Jogja, harga sepiring nasi bersama gudeg, krecek, tempe hancur dan satu porsi sate lemak termasuk minuman baru sahaja mencecah RM7 lebih kurang. Mungkin dengan kadar tukaran sekarang malah lebih murah lagi.

    Di Perlis juga tidak kurang meriahnya. Ada warung-warung kampung menawarkan kuliner Thai Satun untuk hidangan tengahari dengan harga terjangkau, meski yang makan itu satu keluarga.

    Ada warung desa tepi bendang menghijau yang menawarkan gorengan, ais kacang, dengan harga desa. Tidak ada caj tambahan untuk suasana dan ‘vibe’ healing yang dikejar warga kota.

    “Ni kalau habaq kat orang, mau merenyut depa mai tiga empat kereta. Kot terbalik kereta KL masuk dalam bendang, lorong larah sini sempit,” kata saya kepada warga lokal. Mereka pun setuju. Kalau ‘orang KL’ tahu tentang lokasi-lokasi rahsia terbabit, harga desa tidak mungkin dapat dikekalkan, berikutan kadar permintaan yang meningkat.

    Harumanis

    Sama halnya dengan produk tempatan yang popular setahun sekali itu. Kita sebut mangga, mereka sebut ‘mempelam’.

    Satu masa dahulu, mempelam harumanis ini tidak ada permintaan. Meski tunas dan benih dibekalkan kepada masyarakat desa untuk diusahakan. Hanya satu dekad kemudian, di pertengahan 90’an barulah Harumanis Perlis diluaskan pasarannya dan dikomersilkan sebagai produk eksklusif yang hari ini mencecah harga RM90 sekilo. Sekilo tu baru dua biji.

    MENARIK:  Pegawai imigresen cedera dirempuh semasa serbu pusat hiburan

    Pun begitu, jualan harumanis masih diusahakan dengan pendekatan kedesaan. Hatta, teman saya Senator Sheikh Omar Bagharib yang mengepalai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia pun tidak pernah merasai keenakan harumanis.

    “Ini macam buah syurga,” kata dia, yang mendakwa tidak pernah mencicipi walau seulas harumanis. Mungkin sudah terlebih makan nanas.

    Saya persalahkan ini kepada sikap orang negeri Perlis yang lebih selesa ‘gatekeeping’ atau menyimpan benda-benda sedap begini kepada orang yang mereka suka sahaja. Sementelahan, kalau dipasarkan dengan lebih meluas, makin meningkatlah harga mempelam terbabit, meski bekalannya tahun ini khabarnya terlalu banyak.

    Di sini pula ada keselarian Perlis dengan daerah Swan Valley, sekitar 25km dari pusat bandar Perth, Australia Barat.

    Swan Valley adalah lembah penghasilan wain yang ternama, selain menempatkan pelbagai tarikan industri desa termasuk kilang coklat, keju, kopi, makanan ringan, malah ada Caversham Wildlife Park, tempat peluk koala dan kangaroo. Kalau di Perlis, ada taman ular.

    Belum ada imaginasi barangkali, di pihak kerajaan negeri Perlis untuk menjadikan keselarian-keselarian ini sebagai kayu ukur bagi mengangkat ekonomi dan kedudukan negeri Perlis selari dengan titah terbaru Tuanku Raja yang membayangkan negeri itu sebagai Dubai Kedua, baru sahaja beberapa minggu sudah.

    Politik adik beradik

    Saiz negeri yang kecil itu juga menjadikan pergulatan politik kerajaan negeri Perlis sangat ‘menarik’. Dengan hanya mempunyai tiga kerusi Parlimen, 15 kerusi DUN, 22 mukim, Perlis cuma ada satu pihak berkuasa tempatan.

    Dalam 15 kerusi DUN itu pun, ‘berkelai tak habih’ kata orang kampung. Sesuai dengan fitrah politik negeri Perlis yang mempertemukan sanak saudara yang saling bersangkutan, namun mempunyai pandangan dan sudut pandang politik yang pelbagai rona.

    Beberapa bulan lalu, kita digemparkan dengan pemecatan menteri besarnya, Cikgu Mohamad Shukri Ramli dari PAS. Ia kemudiannya disambut dengan pertembungan politik di peringkat nasional yang menyaksikan Perikatan Nasional saling bercakaran untuk beberapa ketika, malah PAS sendiri pun sedikit kalut setelah memecat tiga orang Adun di Chuping, Bintong dan Guar Sanji.

    Penyudahnya, Tuanku Raja melantik Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah atau lebih manja disapa Paksu Bakar sebagai Menteri Besar yang baharu.

    Ia bukan kali pertama Perlis bergulat dengan kemelut lantik dan pecat menteri besar. Sebelum ini pun sudah pernah berlaku. Namun ia mencerminkan situasi tidak menentu politik negeri Perlis yang tidak pernah tenteram, sama sekali tidak seperti ‘vibe slow living’ yang tadi kita bicarakan.

    Di tengah-tengah ini, Pakatan Harapan cuma ada Gan Ay Ling di Indera Kayangan.

    Usaha untuk memperkukuh penguasaan tapak sokongan PH di Perlis kelihatan tidak begitu menjanjikan. Hampir tidak ada tokoh pemimpin di Perlis untuk menjadi andalan serta merangka jalan ke hadapan bagi negeri itu, menepati aspirasi dan harapan daripada titah Tuanku Raja.

    Bagi saya, ini sedikit meresahkan.

    Terutamanya melihat kepada trend pengundian yang cenderung menyokong parti kerajaan pusat, meski ada gerakan di peringkat pusat dan negeri-negeri lain untuk tidak menyokong parti kerajaan.

    “2018, satu negara tolak Umno; Perlis kekal undi BN. 2022, Perlis tetap undi PN yang jadi kerajaan pusat,” ujar seorang teman. Betul juga bacaan politiknya.

    Bagi Umno, tentunya ketiadaan tokoh yang menyamai karisma Shahidan Kassim menjadikan parti itu sedikit mandom menuju PRU16. Manakala Perikatan Nasional turut sama sekadar menawarkan calon-calon yang tidak begitu menyelerakan.

    Mungkin saya salah, kerana memandang Perlis dengan kanta orang Pulau Pinang yang hanya tahu melihat potensi yang terbazir di tanah-tanah lapang, lalu lintas trafik yang terlihat lengang, serta menderunya kenderaan ke sempadan Padang Besar setiap kali cuti panjang.

    Namun perlu ada ketokohan dan kepimpinan yang punya wawasan untuk memimpin Perlis ke arah kemajuan, tanpa mengorbankan aspirasi dan harapan rakyat negeri terbabit yang ternyata selesa dengan gaya ‘slow living’ mereka sehari-hari.

    Kerana sebaliknya, bak kata orang Perlis; ‘luppp habih…’ Maka jangan lah ‘slow’ sangat.


    IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah