30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Agenda parti Bersama populis, kabur mekanisme pelaksanaan

    Shopee Sale

    ULASAN | Pengumuman 12 agenda Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dikaitkan dengan pengambilalihan parti itu oleh Rafizi Ramli di Petaling Jaya Ahad lalu cuba dipersembahkan sebagai satu tawaran politik baru kepada rakyat Malaysia.

    Dilihat sepintas lalu, agenda tersebut kelihatan menarik kerana menyentuh isu-isu besar seperti perlindungan sosial, pekerja asing, pendidikan awal, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendidikan tinggi, kesihatan, pendidikan antarabangsa, reformasi institusi, pertumbuhan ekonomi, tenaga hijau, pertanian moden dan perumahan generasi baru.

    Walaupun begitu, apabila dianalisis secara kritikal, 12 agenda ini lebih menyerupai senarai slogan dasar yang populis berbanding pelan pentadbiran yang lengkap. Ia menyebut matlamat besar, tetapi tidak menjelaskan mekanisme pelaksanaan, garis masa terperinci, anggaran kos, sumber pembiayaan, implikasi fiskal, keperluan perundangan, kapasiti institusi dan strategi politik untuk merealisasikannya.

    Sesuatu manifesto tidak ada nilai dengan hanya sekadar berbunyi ideal tetapi ia mesti boleh dibiayai, boleh dilaksanakan dan boleh dipertahankan secara pentadbiran.

    Agenda pertama mengenai Sistem Perlindungan Sosial Nasional, misalnya, kedengaran menarik apabila menjanjikan bantuan bulanan automatik kepada rakyat yang layak dan penggabungan semua agensi bantuan di bawah satu Kementerian Perlindungan Sosial.

    Malangnya persoalan asas langsung tidak dijawab. Berapakah jumlah bantuan bulanan? Siapakah kategori penerima? Berapa juta isi rumah akan diliputi? Berapa anggaran kos tahunan? Jika sebuah kementerian baru akan diwujudkan, apakah implikasi kos birokrasi, perjawatan dan penyusunan semula agensi sedia ada? Tanpa jawapan ini, agenda tersebut hanya menjadi janji muluk yang sukar dinilai dari sudut kemampuan fiskal negara.

    Agenda kedua mengenai had pekerja asing kepada lima peratus daripada tenaga kerja juga sangat populis dan terlalu simplistik. Malaysia mempunyai sektor tertentu seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan penjagaan domestik yang masih bergantung kepada buruh asing.

    Jika had lima peratus dilaksanakan secara mengejut atau terlalu ketat, apakah kesannya kepada kos operasi industri, harga barang, daya saing eksport dan kelangsungan projek pembangunan?

    Agenda ini tidak menjelaskan sama ada sasaran tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, mengikut sektor, mengikut negeri atau mengikut tahap automasi. Lebih penting, ia tidak menyatakan bagaimana pekerja tempatan akan benar-benar mengisi kekosongan tersebut jika faktor gaji, kemahiran, mobiliti dan minat pekerjaan tidak ditangani secara menyeluruh.

    Sekadar aspirasi umum

    Agenda ketiga mengenai Pendidikan Awal Universal pula menjanjikan pendidikan prasekolah percuma untuk semua kanak-kanak berumur 4 hingga 5 tahun. Dari sudut prinsip, cadangan ini baik kerana pendidikan awal penting untuk pembangunan kognitif dan kesaksamaan peluang.

    Malangnya, agenda ini juga tiada anggaran kos. Berapa banyak prasekolah baharu perlu dibina? Berapa ramai guru perlu dilatih? Apakah standard kurikulum? Adakah ia melibatkan tadika kerajaan, swasta, komuniti atau semua sekali? Bagaimana pula dengan kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Orang Asli?

    Jika mahu dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, apakah sasaran tahunan dan bajet pembangunan setiap fasa? Tanpa butiran ini, ia hanya satu aspirasi umum.

    Agenda keempat mengenai penghapusan rent-seeking dan pengangkatan PKS sebagai tunjang ekonomi pula kelihatan sangat besar tetapi kabur. Penggubalan Akta Anti-Ali Baba mungkin kedengaran tegas, namun persoalannya ialah bagaimana ia akan dikuatkuasakan tanpa menjejaskan usahawan kecil, kontraktor Bumiputera dan syarikat yang benar-benar sah tetapi beroperasi melalui kerjasama komersial?

    Sasaran PKS menyumbang 50% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 60% tenaga kerja dan 30% eksport juga memerlukan reformasi besar-besaran dalam pembiayaan, teknologi, produktiviti, pendigitalan, akses pasaran dan rantaian bekalan. Tetapi agenda MUP tidak menjelaskan instrumen dasar yang konkrit untuk mencapainya.

    Agenda kelima mengenai Pendidikan Tinggi Dwi-Aliran turut menimbulkan persoalan besar. Aliran berasaskan pengalaman kerja untuk masuk ke peringkat diploma dan universiti selepas beberapa tahun bekerja mungkin kelihatan progresif, tetapi apakah piawaian penilaian pengalaman kerja?

    Siapa yang mengiktirafnya? Bagaimana mahu mengelakkan penurunan standard akademik? Apakah perananan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), universiti awam dan badan profesional? Cadangan autonomi penuh universiti awam juga sangat besar implikasinya kerana ia menyentuh isu yuran, kawalan kerajaan, tadbir urus, kebebasan akademik dan kesaksamaan akses. Namun semua ini tidak diperincikan.

    Agenda keenam, iaitu sasaran satu doktor kepada 300 penduduk menjelang 2030, juga memerlukan penilaian serius. Menambah bilangan doktor bukan sekadar soal melatih lebih ramai graduan perubatan. Ia melibatkan kapasiti hospital, latihan siswazah, jawatan tetap, pakar, kemudahan klinikal, pembiayaan kesihatan dan peranancangan sumber manusia.

    Negara sudah pun berdepan isu doktor kontrak, beban kerja hospital dan ketidakseimbangan penempatan doktor antara bandar dan luar bandar. Jika MUP mahu mencapai nisbah 1:300 menjelang 2030, berapa ramai doktor baharu diperlukan setiap tahun? Berapa kos latihan dan penyerapan jawatan? Agenda ini tidak menjawab persoalan tersebut.

    Sekadar janji ekonomi

    Agenda ketujuh mengenai sasaran berada dalam kuartil teratas penilaian pendidikan antarabangsa PISA juga merupakan sasaran yang mudah disebut tetapi sukar dicapai. Pencapaian PISA bukan boleh dinaikkan hanya dengan slogan pelaburan radikal. Ia memerlukan reformasi kurikulum, latihan guru, budaya membaca, penguasaan matematik dan sains, kecekapan bahasa, autonomi sekolah, pengurangan beban pentadbiran guru dan perubahan pedagogi.

    Agenda ini tidak menjelaskan sama ada Bersama mahu merombak kurikulum kebangsaan, sistem peperiksaan, latihan guru atau struktur sekolah. Tanpa perincian ini, sasaran PISA hanya menjadi angka kosmetik.

    Agenda kelapan mengenai kebebasan institusi utama negara dengan mengelakkan pemusatan kuasa pula sebenarnya selari dengan tuntutan reformasi sedia ada. Namun begitu, persoalan paling besar ialah mengapa perkara ini tidak diperjuangkan secara lebih agresif ketika tokoh-tokoh yang membawa agenda MUP berada dalam kerajaan dan memegang jawatan menteri.

    Jika benar kuasa pelantikan, kawal selia dan akauntabiliti perlu dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada Parlimen, apakah rang undang-undang yang akan dibawa? Institusi mana yang terlibat? SPRM, SPR, Peguam Negara, badan kehakiman, PDRM atau GLC? Agenda ini terlalu umum dan tidak menyatakan model reformasi institusi yang mahu dilaksanakan.

    Agenda kesembilan mengenai pertumbuhan ekonomi tahunan melebihi 5% disertai kenaikan pampasan pekerja melebihi 5% selepas inflasi juga sangat idealistik. Semua parti politik boleh menyebut sasaran pertumbuhan tinggi dan gaji lebih baik.

    MENARIK:  AS dakwa lancar serangan 'pertahanan diri' terhadap Iran

    Soalnya, bagaimana? Apakah sektor pemacu? Apakah strategi produktiviti? Bagaimana mahu memastikan kenaikan gaji tidak membebankan PKS? Apakah bentuk reformasi pasaran buruh? Adakah melalui gaji progresif, automasi, latihan semula, kesatuan sekerja atau insentif cukai? Tanpa mekanisme ini, agenda tersebut kelihatan seperti janji ekonomi yang sedap didengar tetapi belum terbukti boleh dilaksanakan.

    Agenda kesepuluh mengenai Malaysia sebagai “bateri Asia Tenggara” melalui tenaga hijau dan solar bumbung rumah juga memerlukan butiran yang lebih serius. Tenaga boleh baharu memerlukan pelaburan grid, penyimpanan tenaga, tarif, insentif, teknologi, keupayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), peraturan eksport tenaga dan penerimaan pengguna.

    Jika mahu solar bumbung rumah menjadi fokus utama, siapakah yang menanggung kos pemasangan awal? Adakah kerajaan memberi subsidi? Berapakah bajetnya? Bagaimana dengan rumah kos rendah, rumah sewa, pangsapuri dan kawasan luar bandar? Tanpa jawapan ini, ia hanya mengulang aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) tanpa strategi tambahan yang jelas.

    Agenda kesebelas mengenai pertanian moden sebagai aktiviti perkilangan utama pula kedengaran menarik, khususnya untuk negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak. Namun pertanian moden memerlukan tanah, teknologi, air, tenaga, modal, logistik sejuk beku, akses pasaran, tenaga kerja mahir dan jaminan harga.

    Jika mahu membina rumah hijau di seluruh negara, berapa kos setiap hektar? Siapa pelaburnya? Apakah model pemilikan? Adakah petani kecil mampu menyertainya atau hanya syarikat besar? Agenda ini tidak menjelaskan bagaimana pertanian moden akan benar-benar mengangkat pendapatan luar bandar tanpa mencipta bentuk baharu monopoli agribisnes.

    Tiada perincian pelaksanaan

    Agenda kedua belas mengenai Perumahan Generasi Baru juga amat populis kerana menyentuh keresahan sebenar rakyat muda. Sasaran harga rumah tidak melebihi empat kali ganda gaji isi rumah tahunan memang baik dari sudut teori kemampuan milik.

    Meskipun begitu, persoalan dasar sangat besar. Bagaimana harga tanah dikawal? Bagaimana kos bahan binaan diturunkan? Apakah perananan kerajaan negeri yang mengawal tanah? Adakah subsidi akan diberi kepada pemaju? Bagaimana kaedah Industrialised Building System (IBS) secara besar-besaran akan mengubah harga akhir rumah? Apakah model sewaan kreatif yang dimaksudkan? Tanpa butiran ini, agenda perumahan tersebut hanya menyatakan hasil yang diingini tanpa menunjukkan jalan untuk mencapainya.

    Kelemahan terbesar 12 agenda parti Bersama ialah hampir semuanya bersifat “apa yang mahu dicapai” tetapi bukan “bagaimana ia mahu dicapai”. Ia penuh dengan matlamat besar tetapi tiada perincian pelaksanaan. Tiada jadual fiskal. Tiada unjuran bajet. Tiada penjelasan sumber hasil. Tiada susunan keutamaan. Tiada analisis risiko. Tiada kerangka perundangan. Tiada strategi hubungan Persekutuan-negeri. Tiada penjelasan kapasiti kementerian. Ini menjadikan agenda tersebut lebih berupa retorik politik semata-mata berbanding pelan pentadbiran negara.

    Lebih penting, timbul persoalan asas, iaitu mengapa agenda-agenda ini tidak disuarakan dan cuba dilaksanakan secara lebih bersungguh-sungguh ketika tokoh-tokoh utama di sebalik MUP berada dalam kerajaan dan memegang jawatan menteri?

    Jika idea-idea ini begitu penting, mengapa ia tidak dijadikan dasar utama ketika mereka mempunyai akses kepada Kabinet, kementerian, pegawai kanan kerajaan dan proses penyediaan bajet? Adakah agenda ini baru ditemui selepas keluar daripada arus kuasa?

    Satu lagi masalah besar ialah semua agenda ini hanya boleh dilaksanakan jika MUP menang dalam PRU16 dan membentuk kerajaan. Dalam sistem politik Malaysia, hampir mustahil sebuah parti baharu yang bergerak secara solo akan terus mampu membentuk kerajaan Persekutuan. Untuk mentadbir negara, Bersama perlu menang cukup kerusi atau bekerjasama dengan parti lain.

    Namun pengumuman bahawa mereka akan bergerak solo menimbulkan peracanggahan strategi. Jika bergerak solo, bagaimana mahu mencapai kuasa? Jika perlu bergabung selepas pilihan raya, dengan siapa mereka akan bergabung? Jika bergabung, adakah semua idealisme ini masih boleh dilaksanakan?

    Elak isu sensitif

    Di sinilah muncul persoalan realpolitik yang tidak dijawab oleh MUP. Agenda mereka mengandaikan seolah-olah mereka akan mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanakan semua perkara. Tetapi politik Malaysia ialah politik gabungan.

    Dasar besar seperti perlindungan sosial nasional, had pekerja asing, reformasi institusi, autonomi universiti, pendidikan prasekolah percuma dan perumahan mampu milik memerlukan persetujuan Kabinet, Parlimen, kerajaan negeri dan rakan gabungan.

    Jika Bersama akhirnya perlu membentuk kerajaan campuran, agenda manakah yang akan dikorbankan? Agenda manakah yang boleh dirunding? Agenda manakah yang tidak boleh dikompromi?

    Lebih pelik, 12 agenda parti Bersama hampir sepenuhnya mengelak isu-isu sensitif 3R, khususnya agama, bangsa dan institusi diraja, sedangkan inilah antara medan politik paling penting di Malaysia.

    Jika MUP mendakwa mahu menawarkan “Malaysia untuk semua”, mengapa tiada pendirian jelas mengenai isu pendidikan vernakular, pengiktirafan UEC, kedudukan Bahasa Melayu, hak Bumiputera, kuota pendidikan, hubungan Persekutuan-negeri, syariah, kebebasan beragama dan perpaduan nasional?

    Mengelak isu-isu ini mungkin strategi untuk kelihatan selamat, tetapi ia juga menunjukkan agenda tersebut belum cukup berani untuk berdepan dengan realiti politik Malaysia.

    Parti yang mahu menjadi sebuah parti nasional tidak boleh hanya bercakap tentang ekonomi, pendidikan dan perumahan secara teknokratik tetapi mengelak isu identiti nasional yang menjadi sumber pertikaian utama dalam politik Malaysia.

    Kesimpulannya, 12 Agenda MUP mungkin berjaya menarik perhatian sesetengah golongan khasnya anak-anak muda kerana bahasanya mudah, sasarannya besar dan nadanya idealistik.

    Namun ia terlalu populis, terlalu umum dan terlalu kurang perincian untuk dianggap sebagai pelan pentadbiran yang serius. Ia tidak menjawab persoalan kos, mekanisme, keutamaan, pelaksanaan, kapasiti institusi dan realiti politik gabungan.

    Lebih penting, dalam keadaan MUP mengumumkan mahu bergerak solo, satu persoalan paling besar kekal tidak terjawab, iaitu bagaimana semua idealisme ini mahu dilaksanakan dalam sistem politik Malaysia yang menuntut kerjasama, kompromi dan kerajaan gabungan?


    MASHITAH MOHD UDIN ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah