Pemuda PAS menzahirkan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan akan melanggarkan lagi syarat kemasukan lepasan Sijil Perperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ia berdasarkan kenyataan Anwar seperti dilaporkan portal berita yang menyatakan kesediaannya bahawa laluan UEC ke IPTA tidak hanya kepada kursus bahasa sahaja.
Naib Ketua Pemuda PAS Hanif Jamaluddin mendakwa tindakan kerajaan membenarkan lepasan UEC mengikuti pelbagai kursus bersesuaian—bukan lagi terhad kepada kursus bahasa—merupakan petanda awal prinsip asal negara mula dikompromi secara berperingkat.
"Kenyataan ini dilihat sebagai tindak balas terhadap desakan Dong Zong yang sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan yang hanya membuka laluan kepada beberapa bidang tertentu.
"Inilah yang dibimbangkan sejak awal. Sedikit demi sedikit ruang dibuka, sehingga akhirnya prinsip asal negara mula dikompromi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanif mengulas laporan media memetik kenyataan Anwar bahawa lepasan UEC boleh mengikuti beberapa kursus universiti yang sesuai. Tidak terbatas kepada kursus-kursus bahasa sahaja.
Penentuan bidang pula katanya akan diserahkan kepada senat universiti dan badan profesional berkaitan.
Pada 16 Mei lalu Anwar menegaskan kemasukan pelajar lulusan UEC ke PTA tetap tertakluk kepada syarat ketat sama seperti lulusan sekolah di luar sistem pendidikan kebangsaan yang lain.
Dia berkata antara syarat utama bagi melayakkan mereka mendapat tempat di universiti awam ialah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
"Dasar yang diluluskan oleh jemaah menteri jelas kita izinkan daripada sekolah Arab sekolah tahfiz sekolah antarabangsa sekolah Cina dengan syarat bahasa (Melayu) dan Sejarah
"Kemudian ambil beberapa kursus universiti yang sesuai, tak terbatas kepada kursus-kursus bahasa sahaja, dia juga boleh dalam bidang akauntan dan lain-lain Itu akan diputuskan oleh senat universiti dan badan akauntunan," katanya ketika berucap pada majlis sambutan hari guru peringkat kebangsaan.
Sementara itu Hanif mempersoalkan keutamaan kerajaan yang memberikan perhatian "luar biasa" kepada tuntutan kelompok minoriti, ketika majoriti rakyat masih bergelut dengan pelbagai isu sosio-ekonomi yang lebih mendesak.
"Secara logiknya, tiada keperluan mendesak untuk kerajaan bersungguh-sungguh mengangkat isu UEC ini sebagai kepentingan nasional.
"Melainkan wujud tekanan daripada 'abang besar' di belakang tabir yang sentiasa bersedia mengaum setiap kali tuntutan mereka tidak dipenuhi," tambahnya.
Mengulas lanjut, Hanif menarik perhatian kepada data yang menunjukkan majoriti pelajar kaum Cina masih memilih untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding UEC.
Tegasnya, mengekalkan SPM sebagai satu-satunya sijil utama untuk kemasukan ke IPTA bukanlah satu tindakan yang menindas, memandangkan hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada sijil UEC.
Dalam pada itu, dia turut membidas sikap diam pemimpin Umno dalam kerajaan yang didakwanya gagal bersuara dalam mempertahankan isu tersebut.
"Suara Umno dalam kerajaan terus tenggelam dan terbungkam dek tekanan tersebut. Masih tidak sedarkah kita akan kelicikan mereka?" soalnya





