Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin enggan mendedahkan langkah seterusnya dalam rundingan dengan Iran, namun memberi isyarat bahawa Washington masih mempunyai pilihan untuk meningkatkan tindakan ketenteraan secara besar-besaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump berkata “anda akan tahu” ketika ditanya mengenai langkah selepas pusingan terbaharu rundingan yang sebelum ini disifatkannya sebagai “peluang terakhir” Iran sebelum kemungkinan tindakan ketenteraan.
Ketika ditanya sama ada “peningkatan besar-besaran” masih menjadi pilihan, Trump berkata AS mempunyai keupayaan untuk mengambil langkah sedemikian jika mahu.
“Ya, kami mempunyai keupayaan itu jika kami mahu melakukannya. Anda akan tahu,” kata Trump.
Beliau turut berkata AS akan menuntut pampasan atas kerosakan yang menurutnya dilakukan Iran sepanjang 50 tahun lepas.
“Jika ada kerosakan yang perlu dibayar, saya fikir Iran harus membayarnya,” kata beliau.
Mengenai Selat Hormuz, Trump berkata laluan air strategik itu kini “terbuka” dan mendakwa Tentera Laut AS menguasainya sepenuhnya.
“Sekarang ia terbuka... Satu-satunya pihak yang mengawal Selat Hormuz ketika ini ialah Tentera Laut Amerika Syarikat. Kami mempunyai sekatan yang tidak pernah gagal.
“Ia seperti tembok keluli. Hanya pihak yang kami benarkan boleh masuk dan keluar, jadi selat itu sebenarnya terbuka sekarang.
"Kami tidak membenarkan mereka menuju ke Iran, tetapi ia terbuka kepada pihak lain,” katanya.
Trump mengakui Iran masih boleh cuba mengganggu laluan perkapalan, termasuk dengan meletakkan periuk api dari semasa ke semasa, namun mendakwa pasukan AS telah membersihkan periuk api di seluruh selat berkenaan.
“Kami telah membersihkan periuk api di seluruh selat itu... Kami mengawal selat itu 100 peratus.
"Bolehkah mereka mencetuskan masalah? Ya, tetapi mereka tidak mempunyai wang,” katanya.





