Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menggesa DAP menjadikan tindakan menangani krisis kos sara hidup sebagai syarat untuk parti itu terus berada dalam kerajaan.
“DAP harus menjadikan perkara ini sebagai syarat untuk kekal dalam kerajaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Lebih 4,200 perwakilan DAP akan mengundi pada 16 Ogos ini bagi menentukan sama ada parti itu patut kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal perkhidmatan semasa atau sebaliknya.
Setiausaha Penganjuran Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata proses pengundian tersebut akan diadakan sewaktu persidangan tahunan parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, Charles menegaskan kekalahan PH pada pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini sepatutnya menjadi amaran terakhir kepada kerajaan bahawa keadaan kewangan rakyat, bukannya retorik politik, mempengaruhi keputusan mereka ketika mengundi.
“Kebimbangan terhadap ekonomi membawa kesan politik,” katanya.
Sehubungan itu, dia berkata krisis kos sara hidup perlu dianggap sebagai satu keadaan kecemasan dan pasukan petugas berkenaan harus diberikan tempoh tiga bulan untuk mengemukakan pelan tindakan yang boleh diakses orang ramai.
Dia berkata kerajaan sering meminta rakyat menghargai angka pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan namun dapatan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), badan penyelidikan berkait Khazanah Nasional memberikan gambaran amat membimbangkan.

“Perkara ini sepatutnya membunyikan loceng amaran di Putrajaya.
“Sebaliknya, tahap kesegeraan yang ditunjukkan amat sedikit.
"Adakah Anwar Ibrahim sudah melihat laporan itu,” soalnya.
Charles turut menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi yang dianggotai ahli ekonomi, penggubal dasar, wakil masyarakat sivil, ahli perniagaan dan komuniti terkesan bagi menghasilkan pelan tindakan dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, rakyat Malaysia semakin sukar menjalani kehidupan yang selesa, sedangkan hutang isi rumah terus meningkat.
Menurut Charles lagi, krisis itu sedang menghimpit keluarga, meningkatkan hutang dan menjejaskan kualiti hidup, selain semakin memberi kesan terhadap kesejahteraan serta perkembangan kanak-kanak.
“Pertumbuhan ekonomi tidak membawa banyak makna apabila rakyat Malaysia biasa tidak mampu menjalani kehidupan yang selesa,” katanya.
Sementara itu, Charles turut meminta pihak yang memperjuangkan perpaduan Melayu dan Ketuanan Melayu yang meraikan kemenangan pilihan raya negeri lalu supaya mengemukakan penyelesaian terhadap krisis kos sara hidup.

Melalui hantaran di media sosial, dia secara khusus menandai akaun media sosial Umno dan PAS dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, permainan isu kaum dan agama serta tindakan menggambarkan DAP sebagai ancaman politik mungkin mampu meraih undi, tetapi tidak menyelesaikan beban kewangan rakyat.
“Semua itu tidak menyediakan makanan di atas meja, mengurangkan hutang isi rumah atau menjadikan kehidupan lebih mampu milik,” katanya.
Dia turut menggesa kerajaan dan pembangkang berhenti saling menuding jari, sebaliknya menunjukkan kepimpinan dengan melaksanakan penyelesaian yang berkekalan.

“Melindungi keluarga dan memulihkan keselamatan ekonomi mesti menjadi teras agenda politik Malaysia,” katanya.
Charles berkata usaha menangani masalah kos sara hidup bukan perkara yang terlalu rumit sehingga memerlukan penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun.
Katanya, kerajaan boleh mengkaji dasar yang telah dilaksanakan dengan berkesan di negara lain, menyesuaikannya dengan keadaan Malaysia dan mengambil tindakan.
“Jadi, apa yang menghalang mereka?” soalnya.





