Setelah enam tahun menanti, keadilan akhirnya berpihak kepada Nik Hasmani Mohamed berhubung kematian anak lelakinya yang berusia 12 tahun.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Kelantan mendapati beberapa pihak bertanggung jawab atas kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria, yang terjatuh melalui lantai bas yang reput semasa rombongan sekolah pada 2019.
Hakim Rosli Yusoff kemudian memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM17,573 kepada Nik Hasmani, yang berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian, serta memutuskan bahawa mereka bertanggung jawab secara kolektif atas kematian Adam.
Dalam penghakimannya, Rosli berkata, pemandu bas, pemilik bas, guru besar sekolah dan pihak berkuasa pendidikan cuai dalam tragedi yang meragut nyawa anak Nik Hasmani.
Pada 4 Julai 2019, Adam merupakan antara 30 murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Kelantan, yang dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu.
Ketika itu, mereka dalam perjalanan untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019 di bawah Program latihan akademik Empower ECER anjuran Institut Pendidikan Neo (iNed), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Namun perjalanan itu berakhir dengan tragedi apabila Adam terjatuh melalui lantai bas yang reput lalu tercampak ke Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik. Dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut laporan media, dalam alasan penghakimannya bertarikh 9 Ogos, Rosli berkata kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.
"Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan.
"Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya," katanya.
Mahkamah turut mendapati pemilik bas, Mohamad Che Su, melanggar tanggungjawab berjaga-jaga dengan membenarkan murid menaiki bas yang mempunyai lantai reput dan rosak.
Selain pemilik, mahkamah turut mendapati guru besar ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid.
Mahkamah mendapati tiada guru pengiring disediakan, manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur oleh pihak penganjur juga tidak hadir.
Hakim berkata walaupun program itu tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, ia diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan membabitkan murid SK Tok Bok.
Sehubungan itu, JPN dan kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara vikarius terhadap kecuaian guru besar berkenaan.
Mahkamah turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab selepas didapati gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian, walaupun seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan.
Plaintif sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), namun kedua-dua tuntutan itu ditolak mahkamah.
Mohd Rosli turut menyatakan simpati kepada keluarga mangsa atas tragedi dan kehilangan yang dialami.
Bagaimanapun, dia berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau menentukan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.





