PARLIMEN l Wakil rakyat pembangkang memilih untuk keluar sekali gus memboikot daripada Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas yang berlangsung, hari ini, ditolak.
Ketua Whip, Takiyuddin Hassan pada awalnya tampil membangkitkan Peraturan Mesyuarat agar sidang khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ditangguh susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sesi hari ini.

"Kami tidak mengikuti perbahasan ini di pihak pembangkang," kata Takiyuddin sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan RCI TH.
Namun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini walaupun tanpa kehadiran Anwar.
“Kita ada Timbalan Perdana Menteri (TPM) di sini, adakah anda nak downgrade kedudukan TPM? Beliau dan menteri-menteri di sini mewakili Kabinet.
“Kita juga ada dua sesi yang penting iaitu 5 Oktober ini adalah pembentangan Belanjawan 2027, itu boleh digunakan oleh setiap Ahli Yang Berhormat, mintalah apa pun dan dirujuk kepada persidangan hari ini,” katanya.
Dia kemudiannya mempersilakan mana-mana wakil rakyat pembangkang untuk keluar daripada dewan persidangan.
"alau sesiapa nak keluar, keluar, sesiapa nak tunggu sila tunggu, sebab rakyat sedang melihat anda," katanya selepas membuat keputusan supaya sidang diteruskan.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, perdana menteri memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas itu.
Anwar sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembezahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Dalam pada itu, Johari turut menegur tindakan pemimpin kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah tanpa rasa malu.
Katanya, tindakan itu amat memalukan terutama apabila Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai RCI TH ditonton secara siaran langsung oleh rakyat.
“Saya yakin kalau saya pergi ke bawah, minta IC (kad pengenalan) masing-masing, pastinya umur sudah lebih 50 tahun”.
Sebelum ini, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mempertahankan Dewan Rakyat bersidang hari ini walaupun tanpa kehadiran perdana menteri.

Katanya, kerajaan bekerja secara berkolektif maka rakan-rakan Kabinet yang hadir boleh menjawab persoalan yang dibangkitkan.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ada,” katanya.





