Presiden AS Donald Trump berkata pada Ahad bahawa dia mengarahkan perundingnya agar tidak tergesa-gesa dalam mencapai sebarang perjanjian dengan Iran, ketika pentadbirannya meredakan harapan terhadap kejayaan besar yang bakal berlaku dalam peranang berusia tiga bulan itu yang diperkatakan sehari sebelum ini.
“Saya telah memaklumkan kepada wakil saya supaya tidak tergesa-gesa mencapai perjanjian kerana masa memihak kepada kita.
“Sekatan akan kekal dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, diperakui dan ditandatangani,” kata Trump dalam hantaran media sosial pada Ahad.
"Kedua-dua pihak mesti mengambil masa mereka dan menyelesaikannya dengan betul," tambah dia.

Tiada respons segera daripada kerajaan Iran. Namun agensi berita Tasnim, yang dikaitkan dengan Pengawal Revolusi Iran, berkata AS masih menghalang sebahagian daripada perjanjian berpotensi, termasuk tuntutan Tehran untuk pelepasan dana yang dibekukan.
Sehari sebelum ini, Trump berkata Washington dan Iran "sebahagian besarnya telah berunding" mengenai memorandum persefahaman bagi perjanjian damai yang akan membuka semula Selat Hormuz, yang sebelum konflik tersebut membawa satu perlima daripada penghantaran minyak global dan gas asli cecair.
Reuters melaporkan kedua-dua pihak kekal tidak sehaluan dalam beberapa isu rumit, seperti cita-cita nuklear Iran, peranang Israel di Lebanon dengan Hizbollah yang disokong Iran dan tuntutan Tehran untuk penarikan sekatan serta pelepasan puluhan bilion dolar hasil minyak Iran yang dibekukan di bank asing.
Butiran perjanjian
Sorang pegawai kanan pentadbiran Trump memberitahu wartawan bahawa perjanjian tidak akan ditandatangani pada Ahad, dengan menyatakan bahawa sistem Iran tidak bergerak cukup pantas. Namun dia menggariskan apa yang dikatakannya sebagai rangka kerja terkini mengenai apa yang sedang dirundingkan.
Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata Iran bersetuju "secara prinsip" untuk membuka Selat Hormuz, sebagai balasan kepada Amerika Syarikat menarik balik sekatan tentera lautnya, dan melupuskan uranium Iran yang diperkaya.

Katanya, AS memahami Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Mojtaba Khamenei menyokong rangka kerja luas perjanjian itu.
Tiada pengesahan segera daripada Iran atau penjelasan lanjut tentang maksud perjanjian "secara prinsip" tersebut.
Pegawai AS itu berkata Washington membayangkan untuk membuka semula selat terlebih dahulu dan menarik balik sekatan tentera laut AS. Merundingkan butiran langkah-langkah nuklear akan mengambil lebih banyak masa, katanya.
Dia menolak dakwaan bahawa Iran tidak menerima pelupusan stok uranium diperkaya yang disimpan. "Ia adalah persoalan tentang bagaimana," kata pegawai itu.
Sumber Iran memberitahu Reuters bahawa pada peringkat akan datang, "formula yang boleh dilaksanakan" boleh ditemui bagi menyelesaikan pertikaian mengenai stok uranium diperkaya tinggi miliknya, termasuk mencairkan bahan tersebut di bawah pengawasan badan pemantau nuklear PBB.

Iran lama menafikan tuduhan AS dan Israel bahawa ia mengejar senjata nuklear dan menyatakan ia mempunyai hak untuk memperkayakan uranium bagi tujuan awam, walaupun ketulenan yang dicapainya jauh melebihi apa yang diperlukan untuk penjanaan kuasa.
Perjanjian menarik pengkritik AS
Trump, yang penarafan kelulusannya terjejas akibat kesan peranang terhadap harga tenaga AS dan berdepan usaha kongres untuk menyekat kuasa peranangnya, berulang kali memperbesarkan prospek perjanjian untuk menamatkan konflik yang dimulakan oleh AS dan Israel pada 28 Feb. Gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan sejak awal April.
Ketika butiran mengenai perjanjian yang mungkin berlaku itu muncul pada hujung minggu, pengkritik termasuk bekas Setiausaha Negara Mike Pompeo dan ahli undang-undang Demokrat berhujah bahawa ia menawarkan sedikit sahaja perbezaan berbanding perjanjian nuklear Iran 2015 yang dirundingkan oleh bekas Presiden Barack Obama, yang mana Trump menarik diri daripadanya semasa penggal pertamanya.

Chris Van Hollen, seorang anggota parlimen Demokrat dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, berkata rangka kerja perjanjian yang dilaporkan itu tidak lebih daripada sekadar "status quo sebelum peranang" dengan Iran.
"Saya rasa ini satu kesilapan," kata Van Hollen dalam program Fox News Sunday.
"Apabila kamu sedang menggali lubang, kamu patut berhenti menggali, dan itu kedengaran seperti apa yang akhirnya kita lakukan."
Trump, yang turut berdepan kritikan daripada kumpulan konservatif yang agresif berhubung kesediaannya untuk bertolak ansur dengan Iran, membidas kembali.
"Jika saya membuat perjanjian dengan Iran, ia akan menjadi perjanjian yang baik dan wajar ... Jadi jangan dengar cakap orang yang kalah, yang kritikal tentang sesuatu yang mereka tidak tahu apa-apa," kata Trump dalam hantaran Truth Social pada Ahad.

Dalam satu lagi potensi batu penghalang, seorang penasihat tentera Iran kepada Khamenei berkata Tehran mempunyai hak undang-undang untuk menguruskan Selat Hormuz, walaupun tidak jelas sama ada itu bermaksud terus memutuskan kapal mana yang boleh melaluinya.
Pengawal Revolusi Iran berkata 33 kapal melepasi selat itu dalam tempoh 24 jam lalu selepas mendapat kebenaran daripada Tehran, masih jauh berkurangan daripada 140 kapal pada hari biasa sebelum peranang.
Sebarang perjanjian yang memperkukuh gencatan senjata rapuh semasa akan membawa kelegaan kepada pasaran tetapi tidak akan meredakan krisis tenaga global dengan serta-merta, yang meningkatkan kos bahan api, baja dan makanan.
Walaupun peranang tamat sekarang, aliran penuh melalui selat itu tidak akan kembali sebelum suku pertama atau kedua 2027, kata ketua Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi minggu lepas.
Pengeboman AS-Israel ke atas Iran mengorbankan ribuan orang di Iran sebelum ia digantung pada awal April.

Israel juga membunuh ribuan lagi dan menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal di Lebanon, yang dicerobohinya atas alasan memburu Hizbollah. Serangan Iran ke atas Israel dan negara-negara Teluk yang berjiran mengorbankan puluhan nyawa.





