Polis akan menjalankan analisis terhadap sampel kesan helaian al-Quran yang yang disyaki dibakar dalam kejadian Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Seremban, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kebakaran kecil di kawasan berkenaan dan mendapati terdapat beberapa helaian al-Quran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan lapang yang turut digunakan sebagai tempat meletakkan kenderaan.
"Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
"Satu sampel kesan helaian al-Quran yang terbakar diambil dan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu penduduk di Taman Bandar Senawang gempar apabila menemui longgokan al-Quran yang dipercayai dibakar di tepi padang bola taman berkenaan pada jam 8.40 pagi Sabtu lalu.
Dalam perkembangan itu, Bendahari Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Mohd Syafali Izwan Gamal Nasir dilaporkan berkata, pihaknya mengesyaki naskhah al-Quran yang dibakar itu diambil daripada surau mereka.
"Saya tak tahu apa motif individu yang mengambil al-Quran di surau ini dan kemudian membakarnya. Tindakan ini amat tidak wajar kerana kitab suci ini adalah panduan serta pegangan untuk orang Islam.
"Kenapa kitab yang menjadi pegangan orang Islam dibakar begitu saja. Saya harap akan jumpa siapa yang bertanggungjawab melakukan perbuatan ini.
"Benda ini boleh mencetuskan suasana tidak sihat dan jika orang Melayu yang ambil, untuk apa dia melakukan perbuatan itu," katanya dipetik BH Online, hari ini.
Menurut Mohd Syafali Izwan lagi, pihaknya mengesan kehilangan dua naskhah al-Quran daripada surau itu pada waktu Maghrib pada Rabu yang lalu.
"Kami kesan dua naskhah al-Quran hilang dan menjangkakan kemungkinan ada mana-mana ahli kariah yang meminjam tapi sangkaan itu tidak tepat selepas berkongsi maklumat dengan ahli jawatankuasa surau.
"Bagaimanapun pada Sabtu jam sekitar 8.40 pagi, kami kesan ada longgokan al-Quran dibakar di tepi padang bola. Ada penduduk yang terhidu bau kebakaran. Kami jangkakan kemungkinan aktiviti membakar kitab suci ini dilakukan selepas Subuh," katanya dipetik sebagai berkata.
Pihak pengurusan surau itu juga tambahnya, terdapat dua kanak-kanak Madrasah Tahfiz Khoirul Anam Surau Al-Insaniah taman itu dilaporkan melihat seorang lelaki memasuki surau pada Rabu lalu dan kemudian keluar bersama beg dibungkus dengan kain batik.
"Kami tidak mengesyaki apa-apa dengan kejadian itu. Usaha menyemak melalui kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan surau dan madrasah juga tidak nampak individu yang melakukannya," kata Mohd Syafali Izwan yang membuat laporan polis Sabtu lalu.





