Bekas pengerusi DAP Melaka Damian Yeo menyifatkan bekas lawannya dalam pilihan raya, Mohd Noor Helmy Abdul Halem sebagai “orang yang baik” dan menganggap Adun Umno itu berpotensi suatu hari nanti menjadi Ketua Menteri.
Yeo, yang tewas tipis kepada Mohd Noor bagi kerusi DUN berkenaan dengan kira-kira 200 undi pada Pilihan Raya Umum 2022, berkata dia berasa lega kerana dia tewas kepada seseorang yang amat dihormatinya.
“Politik kadangkala pelik. Dalam PRU 2022, saya kalah di Duyong dengan hanya kira-kira 200 undi. Tetapi apabila mengenang kembali, ikhlas saya katakan bahawa saya gembira kerana walaupun kalah, saya kalah kepada seorang yang baik.
“Helmy ialah seseorang yang saya percaya mempunyai potensi untuk suatu hari nanti memimpin Melaka sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam satu hantaran Facebook baru-baru ini.
Yeo menyifatkan Helmy sebagai individu yang disenangi rakyat, mudah didekati dan merendah diri, iaitu ciri-ciri yang menurutnya amat penting dalam perkhidmatan awam.
“Dan jika kita ketepikan politik serta warna parti, jika saya hanya seorang pengundi biasa yang menilai calon secara objektif, saya sendiri mungkin akan mengundinya,” tambahnya.
Yeo turut mengingatkan bahawa pilihan raya sememangnya akan menghasilkan pemenang dan yang kalah, namun khidmat kepada rakyat tidak seharusnya hanya berkisar soal memenangi pilihan raya.

“Ia juga sepatutnya mengenai mengiktiraf orang yang baik apabila kita melihatnya, walaupun mereka kebetulan berada di pihak yang berbeza,” katanya.
Yeo membuat kenyataan itu selepas bertemu Helmy di sebuah majlis perkahwinan di Melaka.
“Seronok dapat berjumpa lagi, YB. Ketepikan politik, persahabatan dan rasa saling menghormati tetap kekal,” kata Yeo.
Dalam responnya, Helmy berkata dia berterima kasih kepada Yeo atas pujian tersebut serta menghargai usahanya dalam membantu penduduk Duyong.
"Syukur saya dibantu oleh ramai orang termasuklah saudara sendiri.
"Ada perubahan di Duyong ni merupakan usaha saudara dahulu ketika mentadbir dan saya hanya menyambungnya sahaja. Semoga kerjasama antara kita dapat diteruskan lagi," katanya.
Suara rasional
Helmy sebelum ini turut dipuji kerana mengambil pendekatan lebih sederhana ketika kontroversi melibatkan bendera Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik pada tahun lalu.
Ketika sesetengah ahli politik, termasuk rakannya dalam DUN Melaka yang juga Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengambil pendirian tegas berhubung insiden tersebut, Helmy sebaliknya cuba mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana salah satu bendera itu boleh terbalik.

Dalam satu video yang dikongsikan di Facebook, Helmy memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kilang Texas Instruments di Melaka yang menunjukkan Jalur Gemilang yang pada asalnya dipasang dengan betul tercabut dan terbalik akibat tiupan angin kencang.
Dia turut berkongsi gambar sebuah lagi bendera yang terbalik selepas sebahagiannya tercabut daripada tiang.
Hantaran Helmy itu dibuat selepas gambar Jalur Gemilang yang terbalik di kilang berkenaan tular, sekali gus mencetuskan kontroversi lebih besar berhubung pemasangan bendera kebangsaan.
Pendekatan Helmy kemudiannya dipuji pemimpin DAP, dengan Ketua Pemuda PH dan DAP, Woo Kah Leong, menyifatkannya sebagai contoh politik yang matang.
Timbalan Speaker DUN Melaka ketika itu, Kerk Chee Yee, turut memuji Helmy dan berkata Akmal sepatutnya mencontohi pendekatan tersebut.
Akmal merupakan antara individu utama yang membangkitkan isu berkenaan, yang akhirnya membawa kepada perhimpunan di luar sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang, lokasi salah satu insiden kesilapan pemasangan bendera itu berlaku.
Akmal dan beberapa pihak lain turut menggunakan bahasa berunsur sentimen perkauman dalam kritikan mereka, memandangkan kedua-dua insiden tersebut melibatkan individu berbangsa Cina.





