Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata kerjasama antara PAS dan BN di Johor diwujudkan atas pertimbangan untuk mengelakkan perpecahan kuasa politik umat Islam serta mempertahankan kestabilan negeri.
Abdul Hadi berkata, perbezaan yang pernah wujud antara kedua-dua parti itu perlu diketepikan demi mencapai matlamat lebih besar, iaitu memastikan kepimpinan negeri terus berada di landasan yang betul.
"Kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu Islam perlu terus diperkukuhkan bagi memelihara kedudukan Islam di samping menjamin keadilan serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
"Atas pertimbangan tersebut, kerjasama antara PAS dan Barisan Nasional di Johor dibentuk bagi mengelakkan perpecahan kuasa politik umat Islam," katanya dalam kenyataan media.

Pada PRN kali ini PAS meletakkan calon di 11 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor.
Sebelum ini Abdul Hadi menegaskan PAS menyertai PRN Johor bukan untuk mendapatkan kuasa sebaliknya mahu menjadi pembangkang sekali gus penasihat kerajaan BN.
Langkah itu, katanya, dibuat demi memastikan Johor kekal ditadbir oleh Melayu Islam.
Bagaimanapun, Abdul Hadi pada 9 Julai lalu berkata PAS bersedia membantu BN Johor membentuk kerajaan negeri jika keadaan memerlukan.
Berikutan itu, Menteri Besar Sementara Johor, Onn Hafiz Ghazi menegaskan PAS tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika dia kembali dilantik semula ke jawatan itu.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menyeru rakyat Johor supaya menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, setiap undi bukan sahaja menentukan wakil rakyat, malah menjadi sebahagian daripada usaha mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
"Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk kepada seluruh pengundi untuk membuat pilihan yang terbaik serta mengurniakan kejayaan kepada calon-calon yang berjuang demi agama, rakyat dan masa depan Johor," katanya.





