Amerika Syarikat (AS) dan Iran kekal bersedia untuk menjalin kerjasama ketika dialog diteruskan, menurut Kementerian Luar Pakistan pada Khamis, sambil menggesa agar tidak membuat spekulasi mengenai kemungkinan pusingan kedua rundingan di Islamabad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Jurucakap Tahir Andrabi berkata butiran mengenai delegasi berpotensi AS dan Iran adalah “urusan dalaman pihak-pihak yang berkenaan,” lapor penyiar tempatan Geo TV.
Bercakap pada sidang media di Islamabad, Andrabi berkata program nuklear Iran merupakan antara isu yang dibincangkan dalam rundingan yang sedang berlangsung, yang disifatkannya sebagai “serius dan konstruktif.”

“Tiada kejayaan besar mahupun kegagalan,” katanya, sambil menjelaskan yang isu nuklear kekal sebagai topik utama.
Kenyataan itu dibuat ketika Pakistan meningkatkan usaha pengantaraan susulan rundingan selama 16 jam antara AS dan Iran pada hujung minggu lalu yang berakhir tanpa persetujuan.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif kini dalam lawatan serantau ke Arab Saudi, Qatar dan Turkiye, manakala Ketua Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir, sedang melawat Iran untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara itu.
Pakistan menjadi tuan rumah rundingan selepas berjaya mengusahakan gencatan senjata selama 14 hari antara AS dan Iran pada 8 April.
Andrabi turut mengecam serangan Israel di Lubnan, dengan menyatakan situasi di negara itu merupakan sebahagian daripada rundingan lebih luas dan proses keamanan serantau.
Beliau berkata “tanda penambahbaikan” dalam isu Israel dan Lubnan adalah sesuatu yang menggalakkan.
“Pengurangan ketegangan akan membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk dialog,” katanya.





