Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh hari ini mengecam pembangkang khususnya PAS Selangor yang membangkitkan isu syarikat bir menyumbang kepada usaha mengumpul dana untuk sekolah.
Wong berkata tindakan itu memutarbelitkan fakta bagi menghasut emosi masyarakat Melayu.
Jelasnya syarikat kilang bir itu secara aktif mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak 30 tahun lalu, dengan ketara mengurangkan beban kerajaan dan menambah baik kemudahan sekolah.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30, dan saya sendiri menghadiri pelancaran ulang tahun ke-30. Selama bertahun-tahun, jumlah dana yang dikumpul telah melebihi RM400 juta, memberi manfaat kepada ramai pelajar," katanya.
Wong menyatakan bahawa PAS pada mulanya menyerang Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah kerana memegang cek replika dengan logo syarikat kilang bir itu dan kemudian menyerang keseluruhan acara mengumpul dana berkenaan dengan menghasut emosi perkauman.
Wong menyatakan bahawa kerajaan Madani telah berkuasa selama hampir dua tahun dan secara konsisten menyediakan pembiayaan kepada sekolah Cina.
Tahun ini, kerajaan menambah peruntukan untuk sekolah menengah Cina swasta kepada RM18.9 juta. Bagi sekolah rendah Cina, selain geran penyelenggaraan tahunan, kerajaan juga menyediakan tambahan RM62 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf tandas di 886 sekolah rendah Cina.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat swasta dan entiti yang menyokong pendidikan, seperti Chinese Education Charity Performance, yang telah membantu dalam menambah baik infrastruktur sekolah selama ini, membolehkan sekolah berkembang lebih jauh,” katanya.
Ahad lalu, acara amal anjuran sekolah itu mencetuskan kontroversi selepas didapati syarikat kilang bir merupakan salah seorang penderma.
Majlis itu dirasmikan oleh exco Selangor Ng Suee Lim.
Turut hadir Adun Sungai Pelek Lwi Kian Keong dan Aiman selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tiga hari lalu, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar mengkritik Aiman, dengan menyifatkan perkara itu memalukan.
Semalam, Aiman memohon maaf kepada mereka yang tersinggung selepas dia memegang cek replika berlogo syarikat kilang bir itu.
Bagaimanapun, Aiman menegaskan sebagai pemimpin, dia tidak boleh mengabaikan hak masyarakat lain.
Kementerian Pendidikan berkata ia sedang menyiasat dakwaan itu.
“Kementerian memandang serius perkara ini dan kami ingin mengingatkan pentadbir sekolah supaya mematuhi garis panduan sedia ada ketika menganjurkan program dan menerima sumbangan.
“Dan ini meliputi larangan menerima derma daripada keuntungan yang diperoleh melalui aktiviti perjudian, pengeluar rokok, pembuat minuman beralkohol dan seumpamanya kerana ia boleh membahayakan pelajar kita dari segi fizikal, intelek, rohani dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan.





