Beberapa ahli politik mempersoalkan pengundian tarikh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang di Johor dan Negeri Sembilan, khususnya keputusan badan itu untuk mengadakannya secara berasingan.
Ia susulan pengumuman SPR bahawa pilihan raya berkenaan akan diadakan dengan jarak tiga minggu, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos, berikutan kekangan logistik yang menghalangnya daripada diadakan serentak.
Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata penjelasan SPR itu “tidak masuk akal” dan “mengarut”, serta seluruh suruhanjaya itu wajar meletakkan jawatan jika tidak mampu mengadakan pilihan raya serentak bagi dua negeri yang membubarkan Dewan Undangan Negeri hanya berselang tiga hari.
“Jika SPR tidak mampu mengendalikan pilihan raya serentak bagi hanya dua negeri, apa akan berlaku ketika pilihan raya umum?

“Memandangkan pilihan raya parlimen dan negeri pernah diadakan serentak sebelum ini, mengapa Johor dan Negeri Sembilan, yang membubarkan DUN hanya berselang tiga hari, tidak boleh dijadualkan mengundi pada hari sama?
“SPR mesti menjelaskan dengan terang kepada rakyat, apakah kriteria objektif yang digunakan untuk membuat keputusan ini. Adakah ia disebabkan pertimbangan pentadbiran, isu logistik, atau ada sebab lain di sebalik tabir? Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” katanya pada kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPR menetapkan 11 Julai sebagai tarikh pengundian untuk PRN Johor yang akan datang manakala Negeri Sembilan pula menyusul pada 1 Ogos.
Pengerusi SPR Ramlan Harun menjelaskan pilihan raya itu tidak dapat diadakan serentak kerana mengambil kira pertimbangan logistik, latihan petugas pilihan raya dan tahap kesiapsiagaan operasi.
PRN serentak kurangkan kos
"Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut (snap election), keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.
"Kita selesaikan (PRN) Johor terlebih dahulu, kemudian kita bawa semua pasukan (dari Johor) untuk membantu Negeri Sembilan.
"Kalau buat (PRN) serentak, persiapan memang tidak sempat,” katanya seperti dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Naib Presiden Muda Leben Siddarth (gambar atas) berkata walaupun perkara itu mungkin menjelaskan mengapa pengundian bagi Negeri Sembilan diadakan kemudian, ia tidak menjelaskan mengapa tarikh pilihan raya Johor tidak boleh diselaraskan sewajarnya.
“Jika matlamatnya untuk memastikan persediaan mencukupi, maka melanjutkan tempoh bagi Johor untuk satu tempoh singkat akan mencapai hasil yang sama, di samping membolehkan kedua-dua pilihan raya dijalankan serentak,” katanya pada satu kenyataan.
Dia menegaskan pilihan raya serentak akan mengurangkan kos, memudahkan logistik, mengurangkan tekanan terhadap petugas dan sukarelawan pilihan raya, mewujudkan medan persaingan yang lebih setara, meminimumkan pengaruh keputusan satu pilihan raya terhadap pilihan raya lain, serta membolehkan parti, calon, pemerhati dan media menumpukan sumber dengan lebih berkesan.
“Apabila sebuah negeri mengundi lebih awal dari negeri lain, keputusannya pasti membentuk naratif politik, liputan media, sentimen pengundi dan strategi kempen. Momentum daripada satu pilihan raya boleh mempengaruhi pilihan raya lain.

“Sebab itu ramai mempersoalkan sama ada keputusan memisahkan tarikh pengundian dibuat semata-mata atas pertimbangan pentadbiran atau pertimbangan politik turut diambil kira,” katanya.
Sementara itu, Nga turut menyoal keputusan mengadakan pilihan raya pada Sabtu, dengan berkata ia boleh menghalang pengundi peranantau pulang mengundi.
Katanya, sebagai contoh seramai 450,000 pengundi Malaysia bekerja di Singapura.
“Namun, mereka sengaja memilih untuk menetapkan hari pengundian pada Sabtu, sehingga menimbulkan syak jika pengaturan ini sebenarnya cubaan terselindung untuk menghalang pengundi peranantau pulang menunaikan hak demokratik mereka.

“Dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, SPR menetapkan hari pengundian pada Ahad bagi memudahkan pengundi peranantau pulang menunaikan tanggungjawab sivik mereka dan meningkatkan peratusan keluar mengundi.
“Sekarang mereka melakukan perkara yang sebaliknya; apakah motif tersembunyi di sebalik tindakan ini,” soalnya.
[Baca berita asal]





