26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Siapa Syam Ghaz? Ketua J-Kom ‘cergas’ minggu pertama bertugas

    Shopee Sale

    Mohd Hisyamuddin Ghazali, lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, menjadi tokoh terbaru yang diberi tanggungjawab menerajui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), sebuah agensi yang menyaksikan pertukaran kepimpinan secara kerap dan terus menjadi perhatian berhubung perananannya dalam komunikasi kerajaan.

    Dilantik sebagai ketua pengarah pada 8 Jun, Hisyamuddin mengambil alih tugas daripada Ismail Yusop, yang perkhidmatannya ditamatkan lebih awal sebelum ditugaskan semula ke Jabatan Perdana Menteri.

    Dia segera bergerak pantas namun haluan yang diambil menimbulkan tanda tanya, termasuk persoalan mengenai bidang kuasa J-Kom.

    Dalam antara hantaran pertamanya, Hisyamuddin berkongsi bahawa dia telah mengajak kakitangan dari Selangor untuk “memantau” perniagaan yang dijalankan pelarian Rohingya di Selayang dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia telah “diselesaikan” dengan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

    Dia juga mengisytiharkan peranang terhadap “akaun palsu” di media sosial dan mendakwa pengalaman lalu menjadikannya “mudah” untuk mengesan pemilik akaun yang dituduh menyebarkan fitnah terhadapnya atau kerajaan.

    Pada minggu pertamanya, Hisyamuddin berkongsi jadual padat mesyuarat di Putrajaya, termasuk perbincangan dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Berbanding pendahulunya, gaya Hisyamuddin dilihat lebih agresif, bukan sahaja dalam mempertahankan dasar kerajaan, tetapi juga menyerang pihak yang dianggap sebagai pengkritik.

    Keadaan itu menyebabkan pemerhati segera menunjukkan beberapa kesilapan yang kadangkala mencuit hati serta kesalahan ejaan dalam hantarannya di media sosial, termasuk satu hantaran yang tersilap merujuk Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sebagai “Onn Jaafar” - datuknya yang sudah meninggal dunia.

    Aktivis era Allahyarham Nik Aziz

    Sebelum ini aktif terlibat dalam perbincangan dalam talian melalui hantaran atau komen di media sosial, Hisyamuddin sejak itu meningkatkan serangannya dengan mengeluarkan beberapa cabaran debat kepada pengkritik kerajaan.

    Tidak seperti ramai pegawai kanan kerajaan, lelaki berusia 44 tahun itu membina reputasinya bukan melalui perkhidmatan awam, tetapi menerusi bertahun-tahun penglibatan dalam aktivisme politik dan pengorganisasian parti.

    Akar politiknya bermula di Kelantan, tempat dia aktif dalam politik pembangkang ketika era mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan gabungan Pakatan Rakyat.

    Susulan perpecahan dalam PAS pada 2015, Hisyamuddin menyertai Amanah dan menjadi antara penggerak parti itu di Kelantan, sebuah negeri yang sekian lama dianggap kubu kuat PAS.

    Ketika itu, dia juga wajah yang biasa dilihat dalam kempen menuntut royalti minyak Kelantan dikembalikan.

    Penampilan sulungnya dalam pilihan raya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, apabila dia bertanding di kerusi DUN Apam Putra atas tiket Amanah.

    Walaupun tewas, Hisyamuddin dilantik sebagai ahli lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), sebuah agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang ketika itu diterajui timbalan presiden Amanah Allahyarham Salahuddin Ayub.

    MENARIK:  Konflik Iran-AS memuncak - Bangladesh import diesel Malaysia, Singapura, India

    Bekas pegawai Saifuddin

    Dia kemudian menyertai PKR dan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, namun sekali lagi gagal dalam usahanya memasuki Parlimen.

    Dalam kedua-dua pilihan raya itu, Hisyamuddin tidak memperoleh undi mencukupi menyebabkan wang pertaruhannya hangus.

    Walaupun sebahagian besarnya berada di luar perhatian nasional, Syam dikenali dalam lingkungan politik reformis sebagai penggerak akar umbi, ahli strategi kempen dan komunikator media sosial.

    Kebangkitannya dalam pentadbiran Madani berlaku melalui perananannya sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, antara pemimpin paling kanan dalam PKR.

    Pelantikan ke J-Kom kini meletakkan Hisyamuddin di kemudi sebuah agensi yang sering berada di tengah-tengah perdebatan politik.

    Ditubuhkan bagi menambah baik komunikasi antara kerajaan dan orang awam, J-Kom sering berdepan kritikan daripada parti pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil, yang mempersoalkan sama ada ia berfungsi sebagai agensi komunikasi kerajaan atau jentera mesej politik.

    Antara lain, Hisyamuddin membidas pempengaruh media sosial Eric See-To yang mempersoalkan peruntukan RM16.06 juta untuk J-Kom bawah pentadbiran Anwar, sedangkan didakwa berdiam diri terhadap peruntukan lebih tinggi kepada agensi pendahulunya bawah pentadbiran terdahulu.

    Kehadirannya juga berlaku ketika timbul persoalan lebih luas mengenai hala tuju agensi itu selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada hujung 2022.

    Syam yang menggantikan Ismail Yusop merupakan individu keeempat menerajui agensi berkenaan sejak pentadbiran kerajaan Madani mengambil alih Putrajaya.

    Ismail dilantik sebagai ketua pengarah Jkom pada Januari tahun lalu bagi menggantikan Mohd Khairuddin Othman.

    Mohd Khairuddin, yang juga Setiausaha PKR Selangor, mula menerajui Jkom pada 1 Mac 2023 selepas menggantikan Mohammad Agus Yusof, penyandang pertama jawatan itu di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

    Penyokong mungkin melihat latar belakang Syam dalam kempen politik dan komunikasi sebagai aset dalam persekitaran media yang semakin berpecah, khususnya ketika kerajaan berusaha mendekati pengundi muda dan mengemudi naratif media sosial yang bergerak pantas.

    Namun, pengkritik mungkin melihat penglibatannya yang lama dalam politik kepartian sebagai ujian terhadap keupayaan J-Kom menampilkan dirinya sebagai badan komunikasi awam yang profesional.

    Ketika mengambil alih antara jawatan komunikasi kerajaan yang paling menonjol, Syam berdepan cabaran untuk menentukan kepimpinannya sendiri serta perananan J-Kom pada saat kepercayaan awam terhadap komunikasi rasmi terus berada bawah penelitian.

    Buat masa ini, bekas aktivis pembangkang dari Kelantan itu telah melengkapkan perjalanan yang biasa dilihat dalam landskap politik Malaysia pasca-2018 - daripada mencabar kerajaan kepada menjadi sebahagian daripadanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah