ULASAN | Keresahan rakyat terhadap isu Rohingya kebelakang ini amat difahami dan berasas. Rakyat menjadi saksi kepada pelbagai insiden yang melibatkan segelintir warga Rohingya.
Apa sahaja yang mereka tidak dikaitkan? Daripada aktiviti jenayah, pergaduhan, pencerobohan kawasan, penempatan haram sehinggalah tingkah laku jengkel yang menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat setempat.
Video tular mengenai penempatan haram di Sungai Tekali, Hulu Langat baru-baru ini hanyalah satu daripada banyak contoh yang mengukuhkan persepsi negatif masyarakat.
Berpijak pada realiti tersebut, tidak wajar sekiranya kebimbangan rakyat diketepikan atau dipandang ringan. Kebimbangan tersebut adalah nyata. Kemarahan tersebut juga adalah sesuai pada tempatnya.
Namun pada masa yang sama, kebimbangan yang berasas tidak seharusnya dibiarkan berkembang sehingga dikuasai oleh emosi dan menenggelamkan pertimbangan yang rasional.
Malangnya, terdapat pihak yang mula menyasarkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, seolah-olah beliau seorang sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap keseluruhan isu Rohingya.
Lebih membimbangkan, kenyataan beliau turut dimanipulasi dan dipetik di luar konteks sehingga mencetuskan persepsi yang tidak tepat serta menyemarakkan lagi kemarahan awam.
Suka atau tidak, hakikatnya isu ini merupakan isu warisan yang gagal diselesaikan secara tuntas sejak sekian lama. Malah, kerajaan BN yang menerajui negara sejak awal kemunculan krisis ini sehingga tahun 2018, iaitu selama lebih tiga dekad, juga tidak berjaya menemukan penyelesaian yang muktamad.
Saifuddin pula hanya mula memegang portfolio Menteri Dalam Negeri pada Disember 2022. Sehingga Jun 2026, tempoh pentadbirannya baru menjangkau sekitar tiga tahun enam bulan. Dalam konteks sebuah isu yang telah berlarutan selama lebih 30 tahun, tempoh tersebut sebenarnya masih terlalu singkat.

Justeru, apakah yang mampu diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh sedemikian? Adakah munasabah untuk mengharapkan satu masalah yang berakar umbi selama beberapa dekad dapat diselesaikan dengan sempurna hanya dalam tempoh tiga tahun setengah?
Bercakap berdasarkan emosi sememangnya mudah. Mengeluarkan kenyataan keras jauh lebih mudah. Apatah lagi untuk berdiri di atas pentas dan melaungkan slogan seperti "halau semua Rohingya". Sesiapa sahaja boleh mengemukakan cadangan yang kedengaran tegas dan memuaskan kemarahan orang ramai.
Namun apabila seseorang berada dalam kerajaan, tanggungjawabnya jauh lebih besar daripada menghasilkan gelombang populis. Setiap keputusan perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan yang saling berkait, termasuk keselamatan negara, implikasi diplomatik, keperluan ekonomi, pematuhan undang-undang serta tanggungjawab kemanusiaan.
Kerajaan tidak boleh kejam
Boleh sahaja kerajaan menghalau semua warga Rohingya secara agresif. Atau boleh juga kerajaan bertindak membantai warga-warga pelarian ini. Namun, apakah kita sekejam Israel laknatullah? Adakah kita perlu bertindak secara terburu-buru sehingga mengorbankan reputasi Malaysia sebagai negara yang selama ini dihormati kerana pendekatan kemanusiaannya?
Apakah tindakan seperti ini mampu menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat?
Kita perlu sentiasa berhati-hati daripada terjerumus ke dalam peranangkap xenofobia. Kita boleh membenci jenayah tanpa membenci seluruh manusia. Kita boleh menolak pelanggaran undang-undang tanpa menolak nilai kemanusiaan. Apabila kedua-dua perkara ini gagal dibezakan, masyarakat mula melihat keseluruhan kelompok sebagai ancaman hanya kerana perbuatan segelintir individu.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ahli psikologi Amerika, Gordon Allport, sejak tahun 1954 telah menjelaskan bahawa prasangka terhadap kelompok luar sering berpunca daripada kecenderungan manusia untuk membuat generalisasi terhadap keseluruhan kumpulan berdasarkan tindakan segelintir individu. Apabila kecenderungan ini berkembang tanpa kawalan, ia boleh berubah menjadi xenofobia, iaitu ketakutan atau kebencian terhadap kelompok yang dianggap asing.
Natijahnya, wujud kecenderungan untuk melihat keseluruhan kelompok sebagai ancaman hanya kerana perbuatan segelintir individu. Keadaan ini tentu sekali boleh mencetuskan tindakan ekstrem, diskriminasi dan ketegangan sosial yang akhirnya mengeruhkan lagi keadaan.
Maka, isu seperti ini perlu ditangani dengan penuh berhati-hati dan berdiri atas dasar keihsanan sebagaimana yang sering ditekankan Saifuddin. Adalah difahami bahawa kebimbangan rakyat terhadap keselamatan merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Namun pada masa yang sama, kita juga harus sedar bahawa penyelesaian yang dirangka tidak boleh dilaksanakan secara emotif atau prasangka semata-mata. Sebuah negara yang matang perlu membezakan antara ancaman sebenar dengan persepsi ancaman.
Jika garis pemisah ini gagal difahami, dasar yang dibentuk berisiko menjadi terlalu emosional, tidak konsisten dan sukar dilaksanakan. Lebih membimbangkan, tumpuan terhadap ancaman sebenar boleh terabai kerana perhatian diberikan kepada keseluruhan kelompok, bukannya individu yang benar-benar melanggar undang-undang.
Urus realiti secara berkesan
Hakikat yang perlu diterima ialah warga Rohingya yang berada di Malaysia tidak akan hilang hanya kerana wujud kemarahan terhadap mereka. Mereka sudah berada di sini. Sebahagian berada di bawah pemantauan pihak berkuasa, manakala sebahagian lagi sedang menunggu proses penempatan semula ke negara ketiga.
Oleh itu, persoalan yang lebih penting bukan sama ada masyarakat menerima atau menolak kehadiran mereka, tetapi bagaimana negara dapat mengurus realiti yang sedang berlaku secara berkesan.
Apakah Kementerian Dalam Negeri hanya berpeluk tubuh dan membiarkan warga Rohingya bermaharajalela di negara ini? Sudah tentu tidak. Kementerian Dalam Negeri sedang mengusahakan satu pendekatan yang lebih tersusun bagi menguruskan isu pelarian yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Antara langkah yang diperkenalkan ialah Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), iaitu satu mekanisme pendaftaran rasmi yang membolehkan identiti, latar belakang dan keberadaan pelarian direkodkan secara sistematik oleh kerajaan.
Malangnya, ramai yang mengkritik DPP tanpa memahami tujuan asal pelaksanaannya. DPP bukan instrumen pemberian kewarganegaraan, apatah lagi jalan pintas untuk menjadi rakyat Malaysia.
Sebaliknya, ia merupakan instrumen pengurusan dan kawalan yang membolehkan negara mengenal pasti, memantau dan mengurus populasi pelarian secara lebih berkesan berbanding keadaan sedia ada yang masih tidak tersusun.
Jika kita tidak mengetahui identiti mereka, bagaimana pemantauan dapat dilakukan? Jika lokasi mereka tidak dapat dikenal pasti, bagaimana undang-undang hendak dikuatkuasakan?
Tanpa rekod yang lengkap merangkumi identiti, data biometrik, pengecaman wajah, rakaman suara dan maklumat keberadaan mereka, keupayaan kerajaan untuk bertindak apabila berlaku pelanggaran undang-undang sudah tentu menjadi lebih terbatas.
Atas pertimbangan ke atas semua hal tersebut, jelas sekali DPP amatlah penting. Dokumen ini menyediakan mekanisme yang membolehkan kerajaan merekod, mengenal pasti dan memantau populasi pelarian secara lebih sistematik.
Dalam erti kata lain, DPP memberikan kerajaan apa yang selama ini dituntut oleh rakyat, iaitu tahap kawalan yang lebih jelas dan tersusun terhadap kelompok pelarian yang berada dalam negara.
Pada masa yang sama, DPP juga membuka ruang kepada pendekatan yang lebih pragmatik dalam menangani keperluan tenaga kerja negara. Secara faktanya, Malaysia masih bergantung kepada kemasukan pekerja asing untuk mengisi sektor tertentu sedangkan terdapat pelarian yang telah lama berada di negara ini, berada dalam lingkungan umur produktif, memiliki kemahiran tertentu dan boleh disaring melalui mekanisme yang ditetapkan kerajaan.

Masyarakat perlu memahami bahawa DPP diwujudkan atas pertimbangan tadbir urus dan kepentingan negara. Melalui mekanisme ini, kerajaan dapat mengurus isu pelarian dengan lebih berkesan sambil memastikan setiap individu yang berdaftar kekal berada di bawah pemantauan dan kawal selia pihak berkuasa.
Lebih penting, DPP tidak memberikan jaminan penempatan kekal kepada pelarian. Mekanisme ini mempunyai titik penamat yang jelas. Pelarian boleh dihantar pulang apabila keadaan di negara asal mengizinkan, ditempatkan semula ke negara ketiga melalui mekanisme antarabangsa atau diusir sekiranya melanggar undang-undang negara.
Justeru, DPP perlu difahami sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengenal pasti, memantau dan mengurus populasi pelarian secara lebih tersusun serta terkawal.
Tuduhan tidak adil
Dalam hal ini, dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri dalam isu Rohingya tidak menggambarkan keadaan sebenar dan merupakan satu tuduhan yang tidak adil. Apa yang sering tidak kelihatan dalam perbahasan awam ialah kerumitan yang mengiringi setiap keputusan berkaitan pelarian. Berbanding retorik yang mudah dilontarkan, kerajaan perlu mengurus pelbagai implikasi yang timbul daripada setiap tindakan yang diambil.
Pengalaman lalu menunjukkan bahawa pendekatan sedemikian bukanlah sesuatu yang asing dalam pentadbiran negara. Malaysia pernah mengurus krisis pelarian Vietnam sehingga ratusan ribu pelarian berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga melalui kerjasama antarabangsa.
Pengalaman tersebut membuktikan bahawa isu pelarian tidak dapat diselesaikan melalui kemarahan atau tindakan tergesa-gesa. Sebaliknya, ia memerlukan dasar yang jelas, kawalan yang berkesan dan diplomasi yang berterusan.
Maka, tradisi pengurusan pelarian secara berhemah ini wajar diteruskan pada hari ini. Kita tidak perlu bertindak terburu-buru sehingga menjejaskan reputasi Malaysia yang sekian lama dikenali sebagai negara yang mampu mengimbangi kepentingan nasional dan pertimbangan kemanusiaan dalam menangani krisis serantau.
Pada akhirnya, janganlah kerana marah, kita sanggup mengetepikan fakta. Janganlah kerana benci, kita sanggup menerima fitnah. Dan janganlah kerana emosi, kita gagal menilai sesuatu isu secara adil dan menyeluruh.
Berilah ruang kepada Kerajaan Madani dan Menteri Dalam Negeri untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Selepas lebih tiga dekad menjadi cabaran kepada negara, isu Rohingya menuntut lebih daripada sekadar reaksi spontan. Ia menuntut kesungguhan dan keberanian untuk melakukan perkara yang perlu, walaupun tidak sentiasa mudah atau popular.
ASHRAF HADI ialah Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia merangkap Ketua Biro Latihan dan Pengkaderan AMK Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinta mencerminkan pendirian Malaysiakini.





