26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Dakwah kreatif: Masjid anjur tayangan Piala Dunia, ada jamuan, cabutan bertuah

    Shopee Sale

    Sebuah masjid di Subang Jaya, Selangor mengambil langkah kreatif sempena Piala Dunia 2026 dengan menganjurkan tayangan langsung perlawanan di skrin besar bagi menarik peminat bola sepak ke masjid.

    Inisiatif itu dilaksanakan oleh Masjid Al-Falah USJ 9 menerusi program “Jom Qiam & Layan Bola” yang menggabungkan tayangan langsung perlawanan Piala Dunia 2026, aktiviti qiamullail dan solat berjemaah.

    Pengerusinya, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata idea program itu tercetus selepas pihak pengurusan masjid melihat ramai peminat bola sepak sanggup berjaga sehingga lewat malam di kedai mamak atau restoran bagi mengikuti perlawanan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

    Menurutnya, situasi itu memberi ilham kepada pihak masjid untuk menyediakan alternatif yang lebih selesa, selain membuka ruang kepada orang ramai untuk mendekati aktiviti keagamaan.

    "Kami menyedari bahawa apabila berlangsungnya kejohanan bola sepak besar seperti ini, ramai akan keluar ke kedai mamak atau restoran sehingga lewat malam semata-mata untuk menonton perlawanan.

    "Jadi kami berfikir, daripada mereka berkumpul di tempat-tempat itu, lebih baik masjid menyediakan ruang yang selesa dan terkawal untuk mereka datang menonton bersama," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

    Piala Dunia Fifa 2026 kali ini berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

    Edisi tahun ini menampilkan 48 pasukan buat kali pertama dan melibatkan 104 perlawanan.

    Lebih enam juta tiket telah pun terjual, manakala enam bilion penonton di seluruh dunia dijangka menyaksikan kejohanan itu menerusi televisyen.

    Sementara itu, Syed Zainal berkata

    Tambahnya, idea berkenaan turut dipengaruhi sambutan menggalakkan yang diterima menerusi program qiamullail sepanjang Ramadan lalu.

    "Apabila kami melihat sambutan yang diterima pada bulan Ramadan, kami fikir mengapa tidak menggunakan pendekatan yang sama sempena Piala Dunia,

    "Sedikit sebanyak mereka dapat menonton bola sepak, beribadah dan mendengar dakwah dalam suasana yang santai. Pada masa sama, kami mahu mengubah persepsi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk solat semata-mata, tetapi juga pusat komuniti yang boleh menghimpunkan masyarakat," katanya.

    Menurut pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor itu, masjid akan menyediakan skrin besar, kerusi dan ruang duduk yang selesa di dewan makan masjid yang mampu menampung hampir 100 pengunjung.

    Menariknya, pihak masjid turut menyediakan makanan ringan serta minuman secara percuma kepada para pengunjung yang hadir.

    Program itu turut diselitkan dengan aktiviti qiamullail yang dijalankan secara santai tanpa sebarang paksaan kepada pengunjung.

    "Selepas tamat perlawanan, kami akan berhenti seketika dan memberi ruang kepada mereka yang mahu menyertai qiamullail serta ibadah lain,

    "Kami tidak memaksa sesiapa. Namun apabila mereka berada dalam suasana masjid dan melihat orang lain beribadah, mungkin sedikit sebanyak mereka akan terdorong untuk turut serta," katanya.

    Pengunjung yang hadir untuk perlawanan tengah malam boleh meneruskan aktiviti sehingga waktu Subuh sebelum pulang ke rumah.

    MENARIK:  Lebih 50 rumah terjejas akibat banjir kilat di Melaka

    Jersi bola sepak percuma jadi tarikan

    Bagi memeriahkan lagi program, pihak masjid turut menyediakan jersi bola sepak sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung.

    "Bagi setiap perlawanan, kami akan menyediakan sekurang-kurangnya satu jersi bola sepak sebagai hadiah kepada pengunjung yang menang dalam kuiz atau permainan lain. Kami mahu mewujudkan suasana yang menyeronokkan supaya lebih ramai berminat untuk hadir," katanya.

    Syed Zainal berkata program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk wanita dan pengunjung bukan Islam.

    "Jika ada wanita yang ingin hadir, kami akan menyediakan ruang yang sesuai dan berasingan. Orang bukan Islam turut dialu-alukan hadir cuma mereka perlu menghormati adab masjid bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik.

    "Itulah konsep yang kami bawa iaitu sambil menonton bola sepak, kita juga beribadah dan menyampaikan dakwah," katanya.

    Mahu ubah persepsi terhadap masjid

    Dari segi kos penganjuran, Syed Zainal berkata keseluruhan perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak masjid menggunakan dana hasil sumbangan para jemaah.

    Mengulas harapannya, dia berkata fokus utama program itu bukanlah jumlah kehadiran, sebaliknya usaha mendekatkan masyarakat khususnya golongan muda dengan masjid.

    "Kami tidak meletakkan sasaran angka tertentu. Apa yang kami harapkan ialah masyarakat menjadi lebih mesra dengan masjid dan melihat institusi ini daripada perspektif yang lebih luas.

    "Golongan muda biasanya tidak menjadikan masjid sebagai lokasi untuk berkumpul atau meluangkan masa. Jadi apabila kita menyediakan alternatif yang baik, mereka mempunyai pilihan yang lebih positif.

    "Apabila anak-anak berada di masjid, ibu bapa juga lebih tenang kerana mereka berada dalam persekitaran yang terkawal dan baik. Mudah-mudahan daripada situ timbul rasa cinta kepada masjid dan mereka akan terus datang pada masa akan datang," katanya.

    Program itu bermula awal pagi semalam sempena perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan pukul tiga pagi.

    Aktiviti sama diteruskan pada awal pagi Sabtu ketika perlawanan antara Kanada dan Bosnia, sebelum disusuli aksi Qatar menentang Switzerland pada awal pagi Ahad.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah