Kekuatan Malaysia bukan terletak kepada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan negara menguruskan kepelbagaian secara adil dan saksama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama membuktikan masyarakat berbeza kepercayaan dan latar belakang mampu hidup bersama secara aman sambil terus berpegang teguh kepada kepercayaan serta pegangan masing-masing.
Perdana Menteri berkata meskipun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tetap sebuah negara majmuk yang mengamalkan nilai hormat-menghormati dan saling memahami dalam melaksanakan hak serta tanggungjawab sebagai warganegara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan kita melaksanakan hak serta tanggungjawab dengan penuh rasa hormat dan pertimbangan terhadap satu sama lain. Kita mahu memastikan setiap anggota masyarakat dan warganegara berasa selamat serta dilindungi secara saksama.
“Justeru, kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan menguruskan kepelbagaian secara adil dan saksama. Kita percaya semangat ini, jika terus dipertahan dan diamalkan secara konsisten mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia,” katanya.
Sementara itu, Anwar menggesa pemimpin agama supaya terus menggunakan kewibawaan dan pengaruh mereka untuk mempromosi keamanan dan keadilan kerana perananan golongan tersebut semakin penting ketika konflik global dan krisis kemanusiaan semakin meningkat.
Beliau menegaskan bahawa cabaran global yang semakin memuncak menuntut kepimpinan moral lebih berwibawa serta komitmen lebih tinggi terhadap nilai kemanusiaan dan prinsip etika.
Perdana Menteri menekankan bahawa perkembangan itu memperlihatkan betapa pentingnya perananan pemimpin agama dalam mempromosi kewarasan, toleransi dan tanggungjawab moral dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Multilateralisme kini digantikan oleh unilateralisme. Keamanan pula diganti dengan kecenderungan untuk meneruskan peperanangan tanpa henti. Sementara itu, nasib golongan miskin dan terpinggir sebahagian besarnya diabaikan.
“Peranan pemimpin agama kini lebih relevan berbanding sebelumnya kerana anda mewakili suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi, yang semakin berkurangan dalam dunia hari ini. Ada menyebutnya sebagai zaman pasca normal,” katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan bahawa agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan, ketenangan, kemakmuran dan perpaduan kini semakin dipolitikkan serta dimanipulasi untuk menimbulkan permusuhan.
“Agama sepatutnya mempromosi keamanan, namun kini digunakan untuk mencetuskan perpecahan. Ia sepatutnya memupuk toleransi dan keadilan, tetapi sebaliknya membenarkan keganasan serta ketidakadilan,” katanya.
Perdana Menteri turut menjadikan keganasan berterusan di Gaza dan Lubnan sebagai contoh kegagalan menegakkan nilai kemanusiaan dan keadilan, sambil menyatakan bahawa gencatan senjata sering dicabuli tidak lama selepas diumumkan.
Beliau berkata peperanangan melibatkan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap wanita dan kanak-kanak semakin dianggap sebagai sesuatu yang biasa, manakala generasi muda pula semakin terdedah kepada paparan keganasan, kemusnahan dan pencabulan maruah manusia.
“Gencatan senjata diumumkan, namun tidak dipatuhi sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya. Pengeboman pula berterusan walaupun rundingan sedang berjalan,” katanya.





