26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Lenyap sekelip mata’: Orang Asli demo bantah rumah diranap syarikat sawit

    Shopee Sale

    Apabila Orang Asli Suku Jakun, Zul Mamad meninggalkan kampungnya berhampiran Pekan, Pahang, pada pagi 4 Mei, tiada apa-apa yang menunjukkan hari itu akan berakhir berbeza dari hari-hari sebelum itu.

    Namun, apabila dia pulang, rumahnya dan enam lagi rumah milik Orang Asli sudah menjadi timbunan runtuhan - dirobohkan sebuah syarikat yang meranapkan kediaman mereka bagi projek perladangan.

    “Enam rumah dan sebuah balai adat musnah sekelip mata… Apabila kami pulang, yang tinggal hanya kemusnahan dan kehilangan,” kata Zul, yang juga jurucakap Kampung Sungai Baru.

    Zul menceritakan nasib yang menimpanya ketika demonstrasi pada hari ini di luar premis Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya, yang menyelia hal ehwal komuniti itu.

    Dihadiri kira-kira 2,000 orang, mereka antara lain menuntut pengiktirafan lebih besar terhadap tuntutan ke atas tanah warisan mereka, atau disebut sebagai tanah adat Orang Asli.

    Satu lagi tuntutan ialah tanah adat Orang Asli diwartakan menurut prinsip common law, bukannya Akta Orang Asli 1954.

    Peserta protes hadir berpakaian tradisional manakala yang lain membawa plakad dengan slogan seperti “Hentikan Rampasan Tanah Adat” dan “Orang Asli Bukan Pendatang di Tanah Sendiri”.

    Kemudian, aktivis dan peguam menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai yang mewakili Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi.

    Masalah berpanjangan

    Pengalaman Zul dan sukunya menjadi contoh bagaimana tuntutan komuniti Orang Asli ke atas tanah warisan mereka, termasuk kawasan kediaman dan tempat mencari hasil hutan, terus diabaikan kerajaan.

    “Kami tidak menolak undang-undang. Apa yang kami persoalkan ialah di mana proses sewajarnya? Di mana suara kami dalam keputusan yang membawa kepada kemusnahan rumah kami,” soal Zul.

    Dia menegaskan, dalam kes kampungnya, komuniti itu tidak pernah diberikan notis sewajarnya sebelum perobohan dilakukan, selain tidak diberi peluang yang adil untuk membincangkan perkara itu, menyebabkan 20 penduduk kampung hilang tempat tinggal.

    MENARIK:  Sultan Selangor titah PBT kawal, banteras rumah ibadat tanpa izin

    BACA BERKAITAN:

    Syarikat sawit roboh rumah Orang Asli di tanah k'jaan Pahang


    Pada protes itu, seorang aktivis turut menegaskan pengalaman Zul sering berlaku dalam kalangan suku Orang Asli dan kehilangan kampung serta tanah warisan sedang memusnahkan cara hidup tradisional mereka.

    “Sejak sekian lama, berlaku pencerobohan dan rampasan tanah adat. Kami kehilangan tanah, sungai, hutan dan air,” kata pemimpin Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, Nur Syafiq Dendi Abdullah.

    “Identiti dan budaya kami semakin hilang sedikit demi sedikit kerana pembalakan, pembangunan dan pencerobohan.”

    Syafiq, yang juga pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Adat Pos Simpor di Gua Musang, Kelantan, menggesa kerajaan mengadakan rundingan terbuka dan telus dengan komuniti Orang Asli, serta mengambil langkah segera bagi menangani kebimbangan mereka.

    Peguam Rajesh Nagarajan, yang turut menyertai protes itu, menggesa ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) disingkirkan kerana gagal melindungi kepentingan komuniti berkenaan.

    “Walaupun namanya Jakoa, ia tidak melindungi kebajikan komuniti Orang Asli.

    “Sebaliknya, Jakoa menjadi antara agensi yang menindas Orang Asli. Apabila Orang Asli meminta bantuan, Jakoa tidak membantu mereka. Sebaliknya, ia cenderung memihak kepada pemaju dan kerajaan negeri,” dakwanya.

    Menyentuh desakan supaya tanah Orang Asli dilindungi bawah prinsip common law, peguam Sachpreetraj Singh berkata pengiktirafan sedemikian akan memberikan perlindungan yang lebih kukuh dan kekal kepada komuniti pribumi.

    Peguam Rajesh Nagarajan (kiri) dan Sachpreetraj Singh (kanan)

    “(Bentuk pengiktirafan ini) lebih kukuh, kerana ia berasaskan keputusan mahkamah dan tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya,” katanya.

    Sachpreetraj juga berkata aktivis mengharapkan kerajaan memenuhi tuntutan mereka dan menggesa rundingan segera diadakan antara kerajaan dengan wakil Orang Asli.

    “Jika kerajaan tidak mengambil tindakan, kami akan menganjurkan satu lagi demonstrasi - lebih besar dan lebih kuat,” tambahnya.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah