Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz hari ini mendakwa pelantikan Tunku Zain Al-’Abidin sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baru bercanggah dengan perlembagaan.
Melalui kenyataan di Facebook hari ini, aktivis itu - yang juga antara peguam bagi Undang Jelebu - mengemukakan hujahnya berdasarkan dakwaan tiada rundingan dengan pembesar-pembesar memerintah negeri seperti diperuntukkan bawah Perkara 26(a) Perlembagaan Negeri.
Peruntukan itu menyatakan Yang di-Pertuan Besar perlu terlebih dahulu berunding dengan pembesar-pembesar memerintah sebelum mengurniakan sebarang gelaran atau darjah kebesaran.
Khairul, yang dikenali sebagai Buzze Azam di media sosial, merujuk Perkara 34(1) dengan bersandarkan takrifan “ketua pemerintah” dalam bahagian kedua Perlembagaan Negeri sebagai merujuk kepada empat Undang Luak.

"Jika pun Undang Sungei Ujong dan Undang Rembau tidak di ambil kira oleh Yamtuan Besar N9, Baginda masih perlu berunding dengan Undang Jelebu, Undang Johol dan Tuanku Besar Tampin.
"Malangnya rundingan dengan Ruling Chief ini tidak di adakan sebelum Penganugerahan gelaran Tuanku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baru di buat," dakwanya.
Semakan Malaysiakini terhadap perlembagaan berkenaan mendapati Perkara 14 dan 15 bawah Bab Lima, bertajuk “Pembesar-pembesar Memerintah”, bukan sahaja membabitkan empat Undang Luak, tetapi juga Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar.
Khairul menambah, dari segi undang-undang, kegagalan mematuhi syarat berkenaan dalam pelantikan Tunku Zain boleh dicabar di mahkamah atau Dewan Keadilan dan Undang, iaitu majlis keadilan dan adat Melayu yang ditubuhkan bawah Perkara 16 Perlembagaan Negeri.
Krisis diraja negeri berlarutan
Negeri Sembilan kini berdepan pertikaian berpanjangan membabitkan institusi diraja negeri dan pemerintah adat.
Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memasyhurkan anak keduanya, Tunku Zain Al-’Abidin, sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baru bagi menggantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, yang dikatakan telah hilang hak terhadap gelaran warisan itu kerana cuba merampas kedudukan Yang di-Pertuan Besar baru-baru ini.
Pada 9 Jun, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali berkata majlis pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah negeri tidak sah kerana tidak diiktiraf bawah perlembagaan, undang-undang dan adat negeri.

Minggu lalu, majlis ringkas memasyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, selepas berlaku kekecohan antara polis dan para Undang.
Majlis istiadat itu, yang dipercayai pada awalnya dijadual berlangsung di pejabat Tunku Besar Tampin, diadakan di ruang sebuah hotel selepas polis didakwa menghalang Tunku Nadzaruddin meninggalkan premis berkenaan.
Polis juga dikatakan cuba membawa Tunku Nadzaruddin ke Kuala Lumpur sebelum istiadat pemasyhuran itu dapat berlangsung.
Kemudian, bekas menteri besar Negeri Sembilan Rais Yatim, yang juga sarjana adat perpatih - undang-undang adat Minangkabau - menegaskan, berdasarkan Perlembagaan Negeri, perananan yang diperlukan bagi istiadat pemasyhuran itu telah dipenuhi secukupnya.

Isu itu mendapat perhatian umum pada April, apabila empat Undang mengumumkan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah seterusnya, selepas pertikaian berhubung penyingkiran Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.
Undang Yang Empat juga mengisytiharkan persetujuan sebulat suara mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, selepas mereka memulakan siasatan terhadap baginda pada 5 Mac atas dakwaan pelanggaran tugas diraja.
Menteri Besar sementara Negeri Sembilan Aminuddin Harun memihak kepada Tuanku Muhriz dalam pertikaian dengan para Undang, sekali gus membawa kepada ketidaktentuan semasa berhubung institusi diraja negeri.
Perkara itu menyebabkan BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin pada April.
Bagaimanapun, usaha membentuk kerajaan baru gagal, menyebabkan naib presiden PKR itu mengetuai kerajaan minoriti sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 4 Jun.





