31.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    CEO Perbadanan Stadium didakwa rasuah lebih RM1 juta

    Shopee Sale

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM1.45 juta berhubung tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bernilai RM8.7 juta.

    Iliyas Jamil, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mengikut pertuduhan pertama, Iliyas didakwa meminta rasuah bagi dirinya wang berjumlah RM1 juta daripada Yap Yeow Kuen, 60, di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 2, Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports Center (KLSC), Sri Petaling di Kuala Lumpur, pada 24 Feb lepas.

    Wang itu sebagai balasan kerana tertuduh bersetuju memilih syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd memenangi tender Projek Menaik Taraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil di Kuala Lumpur, bernilai RM8,733,197.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, Iliyas didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM450,000 daripada Yap sebagai upah untuk memilih Aerolux Power Constructions memenangi tender projek berkenaan.

    MENARIK:  Jumlah korban di Palestin cecah 31,726 orang

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PSM dan sebuah restoran di Sri Petaling, antara 25 Feb hingga 13 April lepas, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) yang memperuntukkan hukuman sama.

    Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

    Terdahulu, Noralis menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia mengambil kira status tertuduh dan keseriusan kesalahan tersebut.

    "Pihak kami juga mohon syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya.

    Mohd Yusmadi pula memohon jaminan antara RM50,000 hingga RM80,000 memandangkan anak guamnya masih muda dan mempunyai seorang anak masih bersekolah serta kini telah digantung tugas.

    Suzana membenarkan Iliyas diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Mahkamah juga menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah