Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub mengkritik tindakan biro politik parti itu yang menuntut pihak lain mengamalkan prinsip musyawarah, sedangkan presidennya sendiri, Muhyiddin Yassin didakwa mempunyai rekod membuat keputusan secara bersendirian.
Menurut Yadzil, kritikan tersebut dibangkitkan berikutan tindakan pimpinan tertinggi parti yang didakwa sering membelakangkan semangat musyawarah dalam beberapa keputusan penting sebelum ini.

"Kelakar bila dengar Biro Politik Bersatu sibuk mengajar orang lain pasal musyawarah, sedangkan bos sendiri pun ada rekod 'buat keputusan sendiri'.
“Sejak bila Muhyiddin amalkan musyawarah?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Yadzil yang juga adalah bekas ketua pembangkang Melaka turut menyenaraikan beberapa keputusan yang didakwanya dibuat tanpa melalui proses rundingan.
Ia, termasuk pelantikan Jawatankuasa Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) serta pengumuman Muhyiddin sebagai calon 'Poster Boy' PN bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Selain itu, dia turut membangkitkan isu pelantikan menteri besar Perlis yang didakwa dihantar terus dengan mengetepikan Majlis Pimpinan Tertinggi PN.
Adun Bemban itu turut mempersoalkan sikap dwi-standard pimpinan parti berhubung titah institusi diraja.
"Paling melucukan alasan yang diberi adalah kerana menjunjung titah Raja Perlis. Tapi bila tang titah Yang di-Pertuan Agong untuk bentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, sampai sekarang disangkal.

“Itu pun dibuat tanpa musyawarah!" katanya lagi. Yadzil menyifatkan tindakan Bersatu itu umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul kerana sibuk menuntut musyawarah daripada pihak lain sedangkan diri sendiri tidak mengamalkannya.
Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai rasa kurang senang Bersatu – yang berkongsi wadah dengan PAS dalam PN – terhadap sikap berseteru ditunjukkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terkait hubungan semasa mereka.
Pada Jumaat lalu Abdul Hadi menyatakan rasa kurang sabar PAS terhadap Bersatu berhubung beberapa isu termasuk jatuhnya Adun mereka dari jawatan Menteri Besar Perlis pada 25 Dis tahun lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu juga menyebut kegagalan PN menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, sebagai satu lagi sebab mengapa Bersatu tidak menunjukkan semangat setia kawan yang sepatutnya.
Justeru Abdul Hadi berkata, PAS “akan mengajar” parti itu “satu per satu”.
Bersatu pula memberitahu mereka memandang serius kenyataan dikeluarkan ahli politik yang menjadi presiden PAS paling lama itu dan membincangkannya dalam mesyuarat biro politik mereka.
Seorang sumber Bersatu pula memberitahu Malaysiakini, PN tidak mengamalkan sistem pentadbiran “mullah” sebaliknya menyelesaikan sesuatu isu berbangkit secara konsensus.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang membuat kenyataan berhubung langkah PN di sebalik kedudukanya tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.

Untuk rekod, PN kini diketuai Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar selaku pengerusi, manakala Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sekadar timbalan pengerusi. Timbalan pengerusi yang lain ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan; serta Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.





