PAS membidas tindakan tentera siber Bersatu yang melemparkan label parti "mullah" terhadap mereka, sebaliknya mendakwa parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) itu yang sebenarnya sedang mengamalkan politik sekatan dan kuku besi.
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar menegaskan realiti semasa menunjukkan Bersatu yang mempamerkan watak tersebut sehingga menjejaskan kekuatan blok pembangkang. Dia menarik perhatian kepada penyusutan ketara kerusi Parlimen Bersatu berbanding PAS yang kekal utuh dengan 43 kerusi.

"Kalau seorang individu boleh menyebabkan parti sendiri hilang kekuatan Parlimen, memecat sana sini, menggugurkan ketua bahagian dan menghukum pimpinan hanya kerana tidak sealiran dengan kehendak Presiden, itu bukan disiplin parti.
"Itu politik kuku besi. Itulah 'mullah' yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysiakini semalam, menyiarkan laporan mengenai rasa kurang senang Bersatu – yang berkongsi wadah dengan PAS dalam PN – terhadap sikap berseteru ditunjukkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terkait hubungan semasa mereka.
Pada Jumaat lalu Abdul Hadi menyatakan rasa kurang sabar PAS terhadap Bersatu berhubung beberapa isu termasuk jatuhnya Adun mereka dari jawatan Menteri Besar Perlis pada 25 Dis tahun lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu juga menyebut kegagalan PN menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, sebagai satu lagi sebab mengapa Bersatu tidak menunjukkan semangat setia kawan yang sepatutnya.
Bersatu pula memberitahu mereka memandang serius kenyataan dikeluarkan ahli politik yang menjadi presiden PAS paling lama itu dan membincangkannya dalam mesyuarat biro politik mereka.
Seorang sumber Bersatu pula memberitahu Malaysiakini, PN tidak mengamalkan sistem pentadbiran “mullah” sebaliknya menyelesaikan sesuatu isu berbangkit secara konsensus.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang membuat kenyataan berhubung langkah PN di sebalik kedudukanya tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menjelaskan bahawa PAS mengamalkan sistem syura di mana sebarang keputusan besar parti wajib melalui proses mesyuarat, Jawatankuasa PAS Pusat, dan Majlis Syura Ulama, bukannya mengikut telunjuk individu.
Dia turut mendakwa wujud budaya "mesyuarat dalam mesyuarat" oleh Bersatu yang cuba memaksakan kehendak mereka dalam gabungan PN, selain menggunakan politik dendam serta tindakan disiplin sewenang-wenangnya terhadap ahli sendiri.
"Bersatu membawa budaya pecat-memecat dalam parti sendiri, kemudian cuba mengimport budaya itu ke dalam Perikatan Nasional. Bila PAS tidak tunduk, PAS pula dituduh bermasalah. Ini bukan semangat setiakawan, ini politik dominasi," katanya lagi.

Mohamed Sukri turut menyamakan pendekatan Bersatu itu dengan modus operanandi Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya sering mencipta krisis lalu menyalahkan pihak lain, sambil mempersoalkan sama ada parti itu kini sedang berlatih untuk kembali menyertai PH.





