Tiga nama disebut-sebut sebagai calon PKR untuk menggantikan penyandang S Kesavan di Parlimen Sungai Siput, Perak pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
Spekulasi itu bertiup kencang selepas Kesavan muncul dalam pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) oleh bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.
Sumber dalaman PKR yang ditemui Malaysiakini berkata, Kesavan kemungkinan besar akan bergerak bawah platform baru itu.
"Dia sudah satu kaki keluar. Kemungkinan akan tanding di bawah parti Bersama pada PRU nanti. Semua orang tahu.
“Yang jadi persoalan sekarang, siapa dari PKR yang akan lawan bekas kawan sendiri?" kata sumber tersebut yang enggan mendedahkan namanya.
Menurut sumber, Adun Batu Uban A Kumaresan, pegawai tugas-tugas khas (PTTK) kepada perdana menteri Anwar Ibrahim, Shanmugam Mookan dan ketua cabang Sungai Siput K Novinthen disebut-sebut bakal akan menggantikan Kesavan di kawasan campuran itu.
Sungai Siput mempunyai lebih 75,000 pengundi, dengan Cina sebanyak 36 peratus, Melayu (35 peratus), India (20 peratus) dan lain-lain (9 peratus).
Malaysiakini telah menghubungi pengarah bersama pilihan raya PKR Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah Anwar dan tetapi tiada balasan setakat ini.
Pada 17 Mei, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mengambil alih Bersama di Petaling Jaya dalam majlis yang dihadiri kira-kira 800 penyokong.
Selain Kesavan, yang lain ialah Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chuan Cheng (Petaling Jaya) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).
Malaysiakini telah menghubungi Kesavan untuk komen.
Kumaresan naik pangkat?
Kumaresan, 39, merupakan anak jati Batu Gajah, Perak. Dia berkhidmat sebagai Adun Batu Uban sejak PRU14. Dalam PRU15, dia menang selesa dengan majoriti besar 16,708 undi.
Kumaresan justeru dlihat sebagai calon potensi untuk “dinaikkan pangkat” dengan bertanding di kawasan parlimen.

"Semenjak kebelakangan ini, Kumaresan kerap membuat kenyataan mempertahankan kerajaan.
"Itu petanda dia sedang 'jual nama' di peringkat pusat.
"Sungai Siput adalah laluan semula jadi untuk Kumaresan naik ke parlimen. Batu Uban terlalu kecil untuk seseorang sepertinya," kata seorang pemimpin bahagian PKR Perak.
Ketika dihubungi, Kumaresan enggan mengulas.
Calon dari Putrajaya?
Selain itu, PTTK perdana menteri, Shanmugam turut dilihat calon sesuai mewakili PKR pada PRU akan datang susulan “akses terus ke Putrajaya”.
"Sebagai pegawai khas PM, projek pembangunan dan bantuan kerajaan pusat boleh diatur sekiranya dia menjadi calon.
"Tapi masalahnya, dia jarang turun ke Sg Siput. Setahu kami, dia hanya turun sekali ke kawasan itu," kata sumber yang sama.

Ketika dihubungi, Shanmugam enggan mengulasnya.
"Saya tidak mahu mendahului keputusan pucuk pimpinan. Sebarang keputusan mengenai pencalonan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.
"Sekiranya, pucuk pimpinan memberi amanat kepada saya, kemudian saya akan bertanding pada PRU16," katanya kepada Malaysiakini.
Sungai Siput secara tradisinya adalah kubu presiden MIC, terkenal dengan VT Sambanthan (1959-1974) dan S Samyvellu (1974-2008).
Pada PRU 2008, kerusi itu jatuh ke tangan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) Michael Jeyakumar yang menggunakan logo PKR.
Dia mempertahankan kerusinya pada PRU13 sebelum kalah kepada Kesavan dalam PRU selepas itu.
Pada PRU15, Kesavan mengekalkan kerusinya dalam persaingan tujuh penjuru dengan majoriti tipis 1,846 undi.
Sementara itu, nama ketiga–Novinthen–mempunyai reputasi dan hubungan baik dengan pimpinan PKR Perak.
“Dia dianggap orang kuat negeri," kata sumber PKR negeri
"Fakta paling ketara, pada pengundian parti Mei lalu, Novinthen mengalahkan Kesavan dalam perebutan jawatan ketua cabang.
"Ini isyarat jelas. Akar umbi di Sg Siput dah beri isyarat mereka mahu wajah baru," kata satu lagi sumber dari Perak.
Ketika dihubungi Novinthen memberitahu bahawa dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
"Maka, biar mereka membuat keputusan terbaik kepada pengundi Sg Siput dengan harapan kerusi ini akan kekal bersama PKR pada PRU akan datang," katanya.
Berdasarkan dokumen “Analisis Strategik PRU16” yang bocor kepada Malaysiakini, parlimen Sungai Siput dikategorikan sebagai Tier 2B (marginal) buat PKR.
"Maksudnya, PKR tidak lagi selesa di sana. Majoriti sedia ada kurang 2,000 undi.
Sumber melihat PKR boleh hilang kerusi itu jika Kesavan bertanding mewakili Bersama, dalam persaingan yang turut juga melibatkan MIC.





