Timbalan Menteri Perpaduan Saraswathy Kandasamy telah membuat laporan polis terhadap rakan separtinya dalam PKR, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan.
Difahamkan, Saraswathy turut menyebut Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan bekas Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dalam aduannya, kerana didakwa bersubahat memfitnahnya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asmadi Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa dia menerima laporan pada 3:43 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malaysiakini telah menghubungi Saraswathy untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sebelum ini, Saraswathy menafikan dia berhutang RM200,000 dalam bentuk tunggakan cukai pendapatan selama 10 tahun, dengan menyebutnya sebagai berita palsu.
Malaysiakini telah melihat dokumen daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri yang memberikan Saraswathy "permit sementara" untuk ke luar negara bagi tujuan perubatan.
Terdapat juga pecahan cukai pendapatan tahunan, dari 2010 hingga 2020, yang dikatakan gagal diselesaikan oleh Saraswathy.
Ahli parlimen PKR itu berkata dia akan menyaman portal berita Tamil tempatan Makkal Osai kerana menyebarkan maklumat salah.





