Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai “pengecut” kerana menggunakan wajahnya untuk poster kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Poster yang dikongsi Nga di laman X semalam menunjukkan visual dengan wajah Rosmah dan menuding jari dengan teks yang memberi amaran, "If you don't come back, I'll be back" (Jika anda tidak pulang mengundi, saya akan kembali).
Visual itu dimuat naik bersama keterangan "Wow!", dipercayai bagi menggesa pengundi Johor untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.
Rosmah menyifatkan catatan itu sebagai propaganda murahan bertujuan menipu rakyat.
"Lebih memalukan, beliau (Nga) ialah seorang menteri persekutuan. Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi seperti budak pejabat parti yang terdesak mengejar undi.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar tersebut. Ini pembohongan jelas, berniat jahat dan dibuat untuk mengelirukan pengundi” katanya.
Rosmah juga menggesa Kementerian Komunikasi untuk mengambil tindakan terhadap Nga berhubung perkara itu.
"Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan kandungan palsu, adakah seorang menteri DAP kebal hanya kerana dia berada dalam kerajaan?
"Saya tidak akan berdiam diri. Politik boleh berlawan. Tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu guna gambar orang lain dan cipta fitnah murahan untuk menipu rakyat," tambahnya.
Pegawai khas Najib, Lutfi Azhar, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa catatan Facebook yang memaparkan kenyataan Rosmah adalah halaman rasminya dan ia telah aktif sejak sekian lama.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu Nga untuk mendapatkan komen.
Ini bukanlah kali pertama Nga terlibat dalam perbalahan dengan Rosmah, kerana dia sebelum ini disaman oleh isteri bekas perdana menteri itu, selain Najib sendiri pada 2015 atas catatan Facebooknya.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga mereka mencapai penyelesaian pada 2016, dengan Nga menarik balik komennya yang dibuat terhadap pasangan itu sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut.





