31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kerajaan rugi RM28.8j akibat lewat ganti kenderaan konsesi

    Shopee Sale

    PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kerajaan menanggung pembaziran sebanyak RM28.79 juta susulan kelewatan penggantian kenderaan di bawah perjanjian konsesi Kementerian Kewangan (MOF), menyebabkan ribuan kenderaan yang tamat tempoh pajakan terus digunakan.

    Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kelewatan itu memaksa kerajaan meneruskan pajakan sebanyak 5,323 buah kenderaan melebihi tempoh asal antara 48 hingga 60 bulan, sekali gus meningkatkan kos sewaan dan penyelenggaraan.

    Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana kenderaan baru gagal dibekalkan mengikut jadual oleh syarikat konsesi iaitu Spanco Sdn Bhd (Spanco).

    "Kelewatan penggantian kenderaan menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih tinggi kerana perlu membayar kos penyelenggaraan yang lebih besar akibat penggunaan kenderaan konsesi yang tamat tempoh pajakan.

    "Kerajaan terpaksa membayar kos sewaan bulanan penuh berserta kos penyelenggaraan yang jauh lebih mahal berbanding jika kenderaan digantikan dengan kenderaan baru yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama yang jauh lebih rendah," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini, selepas penyata PAC dibentangkan.

    Selain itu Mas Ermieyati berkata, PAC turut mendapati kerajaan gagal mengenakan penalti atas kelewatan pembekalan kenderaan itu.

    Menurutnya, terdapat perbezaan ketara antara anggaran penalti asal yang dikira audit sebanyak RM54.51 juta dengan amaun yang disemak bersama kementerian dan agensi pengguna, iaitu RM18.7 juta bagi 27 kementerian, tidak termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    "Sebahagian kelewatan berpunca daripada faktor di pihak kerajaan sendiri, termasuk perubahan varian model kenderaan, kelewatan proses pentadbiran, pendaftaran nombor khas, pemasangan peralatan operasi serta insiden luar jangka seperti kebakaran kapal pengangkut kenderaan.

    MENARIK:  Sim setuju dedah gaji diterima eksekutif tertinggi agensi bawah Kesuma

    "Di bawah klausa perjanjian konsensi tersebut mengecualikan Spanco daripada dikenakan penalti," katanya.

    Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC mengadakan tiga prosiding antara 3 hingga 18 Nov lalu dengan memanggil wakil daripada MOF, KDN, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertahanan serta Spanco.

    PAC turut merumuskan terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak oleh MOF, khususnya pada fasa awal pelaksanaan perjanjian konsesi yang berkuat kuasa selama 15 tahun bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037.

    Menurut PAC lagi, kelemahan itu termasuk jurang komunikasi antara MOF dengan kementerian dan agensi pengguna, kekeliruan mengenai tempoh permulaan pengenaan penalti serta kegagalan mengedarkan dokumen kontrak kepada semua pihak berkaitan.

    "Keadaan ini menyebabkan kerajaan lewat mengutip penalti kelewatan pembekalan kenderaan yang bernilai jutaan ringgit daripada Spanco," katanya.

    Dalam perkembangan itu, PAC turut mendapati kelewatan pembekalan kenderaan rasmi jawatan tidak menjejaskan secara kritikal penyampaian perkhidmatan awam atau keselamatan negara.

    Namun Mas Ermieyanti berkata, kelewatan itu menyebabkan kementerian dan agensi terpaksa menyewa kenderaan komersial menggunakan peruntukan operasi masing-masing, sekali gus menambah beban kewangan.

    Sehubungan itu PAC turut mengemukakan lima syor kepada kerajaan bagi menambah baik pengurusan kenderaan konsesi yang lebih teratur.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah