Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, menolak dakwaan bahawa RM750 juta dana awam dibelanjakan untuk mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), dengan menyifatkan tuduhan itu tidak tepat dari segi fakta.
Mengulas kritikan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, terhadap program berkenaan, Rafizi berkata serangan itu tersasar dan bersandarkan maklumat yang tidak tepat.
“Saya boleh saman terus dan menang. Tapi takkanlah hidup kita ini kerja turun naik mahkamah bila ada orang yang secara berterusan menyerang kita,” katanya.
Ahli parlimen Pandan itu merujuk kenyataan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadapnya yang disampaikan sebagai “nasihat” kepada perdana menteri merangkap presiden parti, Anwar Ibrahim, agar “memilih dengan teliti” menteri ekonomi.

“Saya juga memohon maaf kepada presiden (Anwar), saya perlu menasihatkan satu perkara.
“Lain kali kalau nak pilih menteri ekonomi, kena pilih baik-baik.
"RM750 juta dipakai untuk vending machine nak jual nasi lemak," kata Ramanan menempelak Rafizi yang mahu menasihatkan kerajaan sekarang.
Ramanan juga mendakwa dalam keadaan ekonomi yang mencabar dana sebegitu tidak wajar digunakan untuk projek berkenaan.
Kenyataan Ramanan terhadap Rafizi di Kongres PKR Johor pada 5 April itu turut mencetuskan reaksi hangat daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Bertentangan dengan dakwaan Ramanan, Rafizi menjelaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilancarkan pada 2021, sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan sehingga 2025 bagi usaha pembasmian kemiskinan, dengan separuh daripadanya atau RM750 juta disalurkan kepada pelbagai inisiatif IPR.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata IPR merangkumi tiga komponen – Intan bagi pertanian berkumpulan, Insan bagi keusahawanan makanan dan Ikhsan bagi pekerja perkhidmatan.
“Pecahan peruntukan ialah sekitar 50 peratus kepada Intan kerana membuka tanah untuk menyediakan ladang-ladang pertanian moden menelan belanja berjuta ringgit setiap projek, 30 peratus kepada Insan iaitu sewaan RM700 setiap bulan bagi setiap mesin vending dan 20 peratus untuk Ikhsan.
"Tuduhan Ramanan bahawa RM750 juta untuk mesin vending itu sudah tentu mengarut,” katanya.

Mengenai komponen mesin layan diri di bawah Insan, Rafizi berkata kerajaan membayar RM700 sebulan bagi setiap peserta, dengan sasaran 4,900 peserta dalam tempoh tiga tahun, menjadikan jumlahnya RM82 juta.
“Tetapi RM82 juta ini akan terus memanfaatkan penerima akan datang kerana mesin itu telah ada disitu di lokasi-lokasi strategik yang menjana ribu ringgit sebulan. Ia sama seperti kerajaan membina kedai-kedai di seluruh negara tetapi pada harga yang lebih murah,” tambahnya.
Menurut Rafizi, program terdahulu gagal mencapai kestabilan pendapatan jangka panjang kerana penerima menanggung semua risiko perniagaan, yang sering membawa kepada kegagalan dan pembaziran dana awam.
“Akhirnya, puluhan ribu yang diberikan untuk memulakan perniagaan banyak berakhir dengan kegagalan dan duit rakyat hangus.

"Lima tahun kemudian, kerajaan akan umum lagi RM1.5 billion untuk bantu orang miskin,” katanya, sambil menyifatkan keadaan itu sebagai masalah biasa di mana dasar yang baik gagal akibat pelaksanaan yang tidak berkesan.
Bagi menangani perkara itu, dia berkata IPR dirangka dengan pendekatan berbeza, dengan fokus menjana pendapatan stabil berbanding sekadar mengagihkan bantuan.
Katanya, program itu mensyaratkan aset kekal milik kerajaan, mengehadkan penyertaan kepada dua tahun bagi setiap kohort, serta menetapkan sasaran sekurang-kurangnya RM2,000 pendapatan bulanan bagi peserta.
Tambahnya, peserta tidak menerima bantuan tunai secara langsung, sebaliknya memperoleh pendapatan melalui pengendalian aset milik kerajaan.

Rafizi turut berkata IPR menerima sambutan baik daripada orang ramai, sambil memberi amaran bahawa kritikan terhadap program itu boleh mencetuskan reaksi balas.
Dia juga menyatakan inisiatif tersebut mendapat pujian Anwar dan dimasukkan dalam ucapan dasar serta belanjawan utama, sambil menambah bahawa menyerangnya seolah-olah memperlekeh penilaian perdana menteri sendiri.
Rafizi turut mengakui dia menjangkakan kritikan berterusan, termasuk dari dalam kerajaan, berhubung pendiriannya mengenai tadbir urus dan isu berkaitan.
“Kalau pun nak burukkan nama saya sebagai menteri terpaling gagal, janganlah sampai nak benamkan sumbangan satu kementerian utama seperti Kementerian Ekonomi,” katanya.

Pada 10 April, Rafizi mendedahkan PKR telah menghantar surat tunjuk sebab kedua bertarikh 9 April, di mana lembaga disiplin parti menuduhnya melakukan beberapa pelanggaran yang didakwa mencemarkan nama Anwar dan parti.
Pengkritik Rafizi, sama ada dari dalam atau luar PKR, turut membalas kritikan berterusannya terhadap parti dengan menggesa siasatan serta siasatan rasmi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana awam melalui inisiatif mesin layan diri IPR.
[Baca berita asal]





