Putra berpendapat kenyataan pemimpin PAS terkait keputusan DAP untuk kekal berada dalam kerajaan semalam sekadar menzahirkan kekecewaan mereka semata-mata, selain kelihatan seperti mendahului takdir.
Presiden Putra, Ibrahim Ali, berkata dia terbaca kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh pemimpin kanan PAS selepas persidangan khas DAP di Putrajaya berakhir semalam.
Ibrahim mendakwa kenyataan tersebut memperlihatkan kekecewaan PAS apabila harapan mereka untuk melihat DAP keluar kerajaan tidak kesampaian dan menganggap ia ada kaitan dengan keinginan untuk berkuasa.
"Pada masa yang sama (PAS) berusaha merujuk balik 'janda lama' iaitu Umno yang sudah sebantal dengan DAP dalam kerajaan Madani," katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, dipercayai Ibrahim merujuk kepada hantaran ringkas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, di media sosial semalam.
Dalam hantaran itu Ahmad Fadhli menulis: "DAP tidak akan keluar kerajaan hari ini (semalam). Hanya wayang opera sahaja. Rakyat yang akan keluarkan mereka."
Menurut Ibrahim, PAS tidak boleh terlalu yakin mampu memenangi PRU akan datang dengan kerjasama yang dijalin dengan BN ketika ini.
"Apakah pasti BN tidak bersama PKR semasa PRU ke-16 nanti?
"(Kerjasama semasa) PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan adalah strategi semasa jangka pendek (dan) sementara (apabila) Anwar Ibrahim memberi ruang tali hayat untuk Umno.
"Saya mahu percaya PRN Johor dan Negeri Sembilan adalah strategi Anwar dan Ahmad Zahid Hamidi. Tunggu dan tengok PRN ke-16 nanti," katanya lagi.

Pada masa sama, Ibrahim - yang pernah bertanding atas tiket PAS dan menang - menambah, tidak sampai tiga bulan PAS menerajui PN pelbagai masalah timbul dalam gabungan tersebut.
Bahkan dia menyamakan apa yang berlaku pada PN itu dengan drama komedi popular suatu masa dulu, The 3 Stooges, dan mempersoalkan keberkesanan mereka sebagai pembangkang yang berwibawa serta kemampuan menjadi kerajaan.
"Rakyat mula mempersoalkan (PAS) apabila melihat gelagat politik dalam PN. 'Sembelih' kawan setia untuk dapat janda lama," katanya menyindir dipercayai merujuk kepada bagaimana PAS melayan Bersatu akhir-akhir ini.
Meneruskan kecamannya, Ibrahim mendakwa rakyat kecewa apabila PAS membawa PN bekerjasama dengan BN yang pernah mereka musuhi dengan ketat sebelum ini.
"Justeru jangan ingat hasrat PN utk menguasai Putrajaya pada PRN ke-16 nanti akan mendapat sokongan rakyat.
"Rakyat mula sedar hipokrasi politik pemimpin PAS yang amat memeningkan," katanya.





