Pemimpin Kelantan berpendapat masyarakat bukan Islam di negeri itu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan harian tanpa kedai judi selepas larangan pembukaan premis berkaitan pertaruhan dikenakan lebih 36 tahun lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, menegaskan betapa masyarakat Cina dan bukan Islam di negeri itu sudah tidak gemar dengan aktiviti judi.
Hal itu kerana, dakwanya, mereka mungkin akan berdepan dengan masalah domestik jika terlibat dengan kegiatan tersebut.
"Cina Kelantan sudah tidak minat berjudi di kedai, isteri marah," katanya dengan gaya berseloroh dalam respon ringkas kepada Malaysiakini, hari ini.
Adun Guchil itu berkata demikian ketika ditanya berhubung pandangan seorang pakar undang-undang yang menyatakan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung usaha kerajaan Kedah menghentikan operasi premis judi berlesen di negeri itu boleh memberi kesan meluas termasuk ke Kelantan.
Menurut Zulqarnain Lukman, keputusan mahkamah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu menetapkan bahawa kawal selia aktiviti perjudian tertakluk kepada Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 yang merupakan undang-undang Persekutuan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Zulqarnain berkata, hak negeri mengeluarkan lesen premis judi merupakan kuasa yang bersifat derivatif daripada kuasa Persekutuan.
“Yang ralatnya, atas tindakan Sanusi itu, kes berkenaan dibawa ke mahkamah dan ruling mahkamah itu akan terpakai di negeri Kelantan.
“Sekarang ini jika ada mana-mana orang bukan Islam ingin membuka kedai judi di Kelantan maka PBT (pihak berkuasa tempatan) Kelantan mahu tidak mahu mesti membenarkan premis judi dibuka di Kelantan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, kelmarin.
Kena toto, Magnum yang lain
Zulqarnain merujuk kepada tindakan kerajaan Kedah dan menteri besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, menghentikan pengeluaran lesen premis judi di negeri tersebut mulai 1 Jan 2023.
Bagaimanapun untuk rekod, kuasa mengeluarkan lesen perniagaan syarikat judi – atau dikenali juga sebagai agensi nombor ramalan – berada pada Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Keputusan Kedah itu membawa kepada situasi rumit apabila syarikat yang menjalankan aktiviti judi itu mendapat lesen untuk beroperasi, tetapi mereka terkekang oleh keperluan lesen premis yang dikeluarkan oleh PBT.
Dalam perkembangan sama, Adun Chempaka, Nik Baharum Nik Abdullah, berkata punca kepada keputusan kes negeri Kedah tidak sama dengan punca keputusan di Kelantan sebelum ini.
"Dalam kes spesifik di Kedah itu saya tidak bersetuju dengan pandangan rakan saya (Zulqarnain) bahawa ia akan memberi kesan kepada Kelantan. Setiap kes berdasarkan merit masing-masing," katanya.

Dia yang juga seorang pengamal undang-undang berkata Kelantan juga pernah dibawa ke mahkamah dalam kes melibatkan premis judi semasa Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar.
Ketika itu, katanya, Mahkamah Persekutuan berpihak kepada Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Nik Baharum dengan nada berseloroh juga mengatakan, ketika ini rakyat Kelantan sudah tidak kenal istilah Toto (syarikat nombor ramalan yang ada) melainkan 'toto' sebagai alas tidur, serta Magnum sebagai sejenis jenama ais krim.
"Tidak ada sebab untuk bawa budaya tidak elok kembali semula. Ya, tidak akan berlaku (jika PAS masih memerintah Kelantan)," katanya lagi.
Kaut untung atas mudarat
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi, berkata pihaknya berdukacitakan apabila terdapat segelintir umat Islam yang menyokong normalisasi judi dan memperlekehkan usaha negeri Kedah dalam mengekang aktiviti perjudian.
Katanya jika isu itu dibaca di atas neraca politik semata-mata, sudah tentu tindakan menutup premis judi bukanlah langkah yang menguntungkan PAS.
"Namun PAS memilih untuk melakukan perkara yang diyakini benar walaupun berisiko dari sudut politik.
"Ini kerana yang diperjuangkan PAS bukan soal undi semata-mata tetapi soal menyelamatkan masyarakat daripada satu aktiviti yang terbukti membawa kerosakan.
"Ada yang bertanya, mana nas yang suruh tutup kedai judi untuk bukan Islam? Jawapannya mudah. Nas yang menyebut tentang arak dan judi adalah merujuk kepada kesan mudarat.
"Semua ini diharamkan dan dikawal kerana kemudaratannya terbukti kepada manusia dan masyarakat. Mengaut keuntungan atas kemudaratan masyarakat adalah suatu yang merosakkan," katanya.

Sebagai rekod, kuasa mengeluarkan lesen perniagaan syarikat judi – atau dikenali juga sebagai agensi nombor ramalan – berada pada Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Keputusan Kedah itu membawa kepada situasi rumit apabila syarikat yang menjalankan aktiviti judi itu mendapat lesen untuk beroperasi, tetapi mereka terkekang oleh keperluan lesen premis yang dikeluarkan oleh PBT.
Sebagai respon, syarikat pengendali nombor ramalan membawa isu keabsahan perintah kerajaan Kedah ke Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mendapatkan kebenaran mencabar.
Pada Jun 2024 mahkamah memihak kepada syarikat terbabit – antara lain kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, selain berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Kerajaan Kedah kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan dan sekali lagi gagal. Antara hujah hakim ialah, kerajaan negeri tidak mengenakan perintah itu semata-mata kerana tidak bersetuju dengan kegiatan judi.
Kerajaan negeri kemudian melanjutkan usaha mereka ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapat kebenaran merayu ketetapan mahkamah tinggi. Bagaimanapun sekali lagi Kedah gagal.
Untuk rekod keputusan tersebut bukanlah bermaksud mahkamah mewajibkan kegiatan judi berjalan di Kedah sebaliknya hakim membuat ketetapan mengenai pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan pusat.





