Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan ahli perniagaan Aliff Syukri Kamaruzaman untuk menangguhkan permohonan maafnya kepada veteran politik Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam kes saman berhubung hutang pelaburan bernilai RM30 juta.
Peguam Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Aliff Syukri selaku pemohon memaklumkan perkara itu selepas prosiding penggantungan pelaksanaan penghakiman di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Mahmud berkata mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi perintah permohonan maaf dan perintah menghapuskan terbitan seperti arahan dalam penghakiman Hakim Roslan pada 29 April lepas sehingga pelupusan rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan.
"Mahkamah juga membenarkan cadangan defendan agar ganti rugi sebanyak RM250,000 oleh Aliff Syukri dibayar kepada peguam Abdul Kadir selaku akaun pemegang amanah sementara menunggu pelupusan rayuan kes ini di Mahkamah Rayuan," katanya.
Menurut peguam, mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Aliff Syukri untuk menangguhkan pelaksanaan perintah supaya tidak menerbitkan sebarang siaran yang mempunyai kesan sama atau serupa yang memfitnah Abdul Kadir.
Pada 29 April lepas, Hakim Roslan memerintahkan Aliff Syukri membayar RM250,000 kepada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Aliff Syukri sebagai defendan.
Mahkamah turut mengarahkan Aliff Syukri membayar kos RM50,000 kepada Abdul Kadir serta beliau dilarang menerbitkan atau menyebabkan diterbitkan perkara diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan sama selain diperintah menghapuskan fitnah bertulis daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penghakiman.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 Sept 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 Nov 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji diberikan plaintif kepadanya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri.





