PAS berkata formula yang digunakan di Negeri Sembilan boleh dijadikan asas rundingan di antara PN dan BN dalam menghadapi PRN Melaka – yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kejayaan formula penyatuan ummah disumbangkan oleh jawatankuasa rundingan kedua-dua parti gabungan sebelum sebarang persetujuan diumumkan.
Pada masa sama, dia yang juga Timbalan Pengerusi PN mengingatkan, formula kerjasama perlu digerakkan atas dasar kesamarataan, selain tidak melihat kepada pembahagian kerusi di peringkat DUN semata-mata.
"Dalam prinsip kerjasama (antara parti) ia merentasi perbincangan untuk kerusi DUN dan parlimen kerana ia boleh juga membabitkan pertukaran kerusi di peringkat negeri.
"Sebarang rundingan perlu dilakukan atas prinsip keikhlasan dan kesamarataan bagi memastikan kerjasama yang dicapai memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa konsep parti lebih besar mendominasi parti lain.
“Jangan kita anggap kita ada abang besar atau adik kecil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Mujahid Siber PAS Pusat di Kompleks Al-Makmur Kerdau, dekat Temerloh, hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, PAS mengangap semua pihak adalah setara dan matlamat akhir rundingan ialah mencai penyelesaian yang tidak merugikan mana-mana pihak.
“Jangan ada pihak yang mengambil untung dan pihak lain pula rugi,” katanya lagi.
Masih terbuka nak bincang
Sebelum ini, BN menyatakan hasrat untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenanginya mereka dalam PRN terdahulu.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh, yang bertekad mengekalkan penguasaan BN di kerusi terbabit.
Terdapat 28 kerusi DUN bakal dipertandingan dalam PRN Melaka.
Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 3 Ogos lalu dilaporkan berkata, kerjasama antara parti itu dan BN seperti di Johor dan Negeri Sembilan, tidak semestinya berlaku di Melaka.
Namun, ahli parlimen Marang itu menjelaskan, perbincangan awal antara PN dan BN berkaitan agihan kerusi bagi PRN Melaka sudah dimulakan.
Katanya, beberapa siri perundingan awal dan akan berterusan terutama mengadakan pertemuan untuk mencari formula kerjasama yang dipersetujui bersama.
Menurut Tuan Ibrahim, jawatankuasa rundingan bersama sudah pernah berjaya menghasilkan persefahaman yang menguntungkan kedua-dua parti di Negeri Sembilan.
Dia juga menyatakan, sebarang pengumuman hanya dibuat selepas persetujuan ditandatangani.
"Untuk PRN Melaka, kita masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak atas dasar penyatuan ummah," katanya.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menegaskan, prinsip asas untuk kerjasama itu adalah merujuk kepada penyandang bagi kerusi DUN dan parlimen sedia ada akan mengekalkan kerusi mereka.





