Amanah Johor menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu memperketat penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan yang menjadi tumpuan komuniti pelarian Rohingya.
Pengarah Komunikasi Amanah Johor, Mohd Faizul Salleh berkata, kerajaan negeri melalui PBT tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap isu berkenaan, khususnya ketika keberadaan komuniti pelarian itu semakin mendapat perhatian dan kebimbangan masyarakat.
“Beberapa kawasan yang menjadi tumpuan komuniti pelarian perlu dipantau secara bersepadu bagi memastikan tidak berlaku masalah sosial, eksploitasi tenaga kerja, kegiatan tanpa lesen atau pelanggaran undang-undang.
"Dalam masa yang sama, sebarang kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu, termasuk melibatkan perniagaan tanpa lesen, pemanduan tanpa lesen, perjudian atau kesalahan lain, hendaklah ditangani berdasarkan undang-undang dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan," ujarnya dalam kenyataan.
Mohd Faizul berkata, penguatkuasaan itu bagaimanapun perlu diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan supaya pengurusan komuniti pelarian dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
"Kerajaan Negeri perlu duduk semeja dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk agensi keselamatan dan pihak berkuasa berkaitan, bagi mendapatkan satu mekanisme pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan berkesan," katanya.
Dia turut mencadangkan kawasan penempatan atau pusat transit yang bersesuaian diwujudkan dengan kawalan serta pemantauan sewajarnya bagi mengelakkan penempatan tidak terkawal, khususnya di kawasan bandar dan perumahan rakyat.
Pada masa sama, Mohd Faizul menegaskan penguatkuasaan perlu mengambil kira kebajikan dan keselamatan komuniti pelarian.
"Pendekatan yang tegas tidak bermaksud berlaku zalim, sebaliknya penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara berperikemanusiaan, adil dan mengikut undang-undang," tegasnya.
Mohd Faizul berkata kerajaan negeri juga perlu memperkemas penyelarasan data bersama Kerajaan Persekutuan bagi mengenal pasti status setiap individu, terutama mereka yang tidak mempunyai dokumen sah atau melanggar peraturan.
"Amanah Johor menegaskan bahawa isu pelarian tidak boleh dijadikan bahan politik semata-mata. Kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang supaya keselamatan rakyat Johor terjamin, pada masa sama prinsip kemanusiaan dan undang-undang negara terus dihormati,"tegasnya.
Sehubungan itu, Amanah Johor menggesa tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan segera sebelum berlaku insiden lebih serius.
"Amanah Johor mendesak Kerajaan Negeri supaya tidak menunggu sehingga berlaku insiden yang lebih serius sebelum mengambil tindakan. Pencegahan, penguatkuasaan dan koordinasi antara agensi perlu dimulakan sekarang, bukannya selepas masalah menjadi lebih besar," tegasnya.
Isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat, terutama berkaitan jumlah mereka yang semakin besar, penempatan tidak terkawal serta isu penguatkuasaan undang-undang.
Kebimbangan itu turut berkait dengan laporan mengenai penglibatan individu dalam aktiviti jenayah, perniagaan tanpa lesen, penggunaan dokumen tidak sah, kesalahan lalu lintas serta masalah sosial di sesetengah kawasan.
Dalam masa sama, negara ini terus menjadi destinasi bagi pelarian dan pencari suaka. Menurut data UNHCR, Malaysia pada masa ini menempatkan lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar, termasuk kira-kira 126,000 pelarian Rohingya.





