Seorang pengurus projek syarikat pembinaan hari ini direman bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM38,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan air luar bandar di Kelantan.
Perintah reman sehingga 10 Ogos terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret 1 Kota Bharu pagi tadi.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan.
Katanya siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan secara rundingan terus dari sebuah kementerian.
Sumber memaklumkan suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai selain melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadinya serta beberapa akaun pihak ketiga.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.





