Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mempertahankan keputusannya untuk mempertahankan kerusi Chennah pada pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menegaskan taktik digunakan pihak lawan perlu diambil kira ketika menilai prestasinya.
Loke, yang gagal mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat dengan kekalahan tipis 688 undi, menyifatkan persaingan berkenaan sebagai antara pertarungan pilihan raya paling getir pernah dihadapinya sepanjang 22 tahun bertanding.
“Saya telah bertanding dalam beberapa pilihan raya (dan) saya memenangi semua pilihan raya sebelum ini, tetapi kempen kali ini sangat sukar.
“Pertama sekali, serangan terhadap saya secara peribadi sepanjang kempen - terdapat banyak fitnah (dan) tuduhan tidak berasas, mengatakan saya mahu merampas kuasa daripada institusi Melayu, menjadi menteri besar, (dan) mengawal seluruh kerajaan negeri,” katanya.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat DAP selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) malam tadi, Loke menegaskan dakwaan sedemikian menjejaskan kempennya.
Bagaimanapun, dia menegaskan pencapaian keseluruhan DAP dalam pilihan raya itu bukan sesuatu yang kecil, terutama ketika berdepan serangan pihak lawan.
“(Tuduhan sedemikian) menimbulkan banyak sentimen negatif dalam kalangan penduduk kampung daripada masyarakat Melayu, dengan sebahagian mereka mendekati saya untuk mendapatkan penjelasan ketika saya berkempen.
“Saya melawan pembohongan dan tuduhan sedemikian - kami menghadapinya dan berjuang sampai ke saat akhir. Saya bangga untuk mengatakan kami masih memperoleh 47 peratus (undi), termasuk kira-kira 20 hingga 25 peratus undi Melayu.
“Tiada penyesalan dalam perjuangan. 'Biar mati berputih tulang, jangan putih mata',” kata Loke.
Pada PRN 1 Ogos lalu, BN dan Perikatan Nasional berjaya menyatukan undi Melayu serta memenangi 25 kerusi bagi memperoleh majoriti dua pertiga di negeri itu, manakala Pakatan Harapan (PH) sekadar meraih 11 kerusi.
BACA: Gelombang ‘perpaduan Melayu’ BN-PN: PH dalam bahaya
Daripada 11 kerusi dimenangi PH, DAP menyumbang jumlah terbesar dengan sembilan kerusi, diikuti PKR dengan dua kerusi. Amanah gagal memenangi mana-mana daripada sembilan kerusi disasarkannya.
Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari sebelum ini mengaitkan kekalahan gabungan itu dengan politik identiti dan retorik perkauman pada tahap “luar biasa” yang dimainkan pakatan BN-PN.
Serah baton kepimpinan NS
Pada sidang media malam tadi, Loke turut mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan, susulan kegagalan parti itu mempertahankan kerusi DUN Chennah dan Repah dalam pilihan raya berkenaan.
Dia berkata langkah itu juga bertujuan memberi laluan kepada barisan kepimpinan negeri yang baru.
Sambil menegaskan keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri, ahli parlimen Seremban berkenaan berkata tiada keperluan untuk rakan sejawatannya di DAP Johor, Teo Nie Ching mengikut jejak langkahnya selepas kemenangan besar BN pada PRN 11 Julai lalu.
Loke berkata Teo tidak bertanding pada PRN Johor dan menegaskan kepimpinan DAP di negeri itu kekal kukuh meskipun mengalami kekalahan dalam pilihan raya.
Lapan Adun PH - enam daripada DAP serta masing-masing seorang daripada PKR dan Amanah - membentuk blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi, berbanding 48 kerusi dikuasai BN.
[Baca berita asal]





