Polis sudah memulangkan komputer riba Malaysiakini yang dirampas mereka semasa menjalankan siasatan terhadap bekas ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.
Komputer riba itu dirampas oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 27 Jan lalu.
Keesokan harinya, Malaysiakini dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya pula untuk membolehkan pegawai agensi berkenaan mendapatkan butiran daripada sistem pengurusan kandungan (CMS) portal terbabit.
Polis menjalankan siasatan ke atas Khairy mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa memfitnah.
Tindakan berkenaan diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh Suraya Yaacob iaitu setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said.

Laporan itu dibuat berhubung laporan Malaysiakini yang memetik komen Khairy dalam program audio siarnya, Keluar Sekejap berhubung titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong terkait Najib Razak yang kini ditahan di Penjara Kajang.
Khairy yang juga bekas menteri itu mendakwa Azalina bersubahat dalam usaha menyembunyikan adendum tersebut.
Dalam laporan polisnya, Suraya mendakwa berita itu sebagai palsu dan mencemarkan nama baik Azalina.
Polis juga telah merakam kenyataan Khairy.





