Selama bertahun-tahun, pertikaian antara Kedah dan Pulau Pinang banyak tertumpu pada isu air.
Kerajaan negeri Kedah berulang kali berhujah Pulau Pinang mendapat manfaat daripada air mentah yang berpunca dari Sungai Muda, tetapi membayar pulangan yang kecil.
Isu itu dari semasa ke semasa mencetuskan tajuk utama berita, pertikaman lidah politik dan desakan supaya pampasan dibayar, sebelum kembali hilang daripada perhatian umum.
Namun, apabila isu itu timbul semula dalam talian pada penghujung 2025, perbincangan di Facebook tidak lagi tertumpu pada air. Sebaliknya, pengguna kembali membangkitkan persoalan berusia berabad-abad.

Adakah Pulau Pinang secara sejarah milik Kedah? Adakah Francis Light memperoleh pulau itu secara sah pada 1786? Atau Pulau Pinang diambil daripada Kedah melalui manipulasi penjajah?
Analisis Malaysiakini dan platform kewartawanan data Newsgraphy mendapati pemilikan sejarah, kedaulatan dan identiti menjadi antara tema utama yang membentuk perbincangan dalam talian.
Di tengah-tengah perubahan itu muncul satu kandungan yang tidak disangka: Sebuah video diraja lama.
" data-video-id="7455630783600987410" style="max-width: 605px;min-width: 325px;">
Video itu sudah berusia beberapa bulan ketika mula menarik perhatian meluas dalam talian.
Ia memaparkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, tiba di Istana Kedah di George Town ketika lawatan diraja ke Pulau Pinang pada 30 Dis 2024. Video itu dimuat naik beberapa hari kemudian, pada 3 Jan 2025, oleh akaun TikTok rasmi keluarga diraja Kedah sebagai dokumentasi rutin lawatan tersebut.
Pada masa itu, video berkenaan tidak menarik perhatian besar.
Beberapa bulan kemudian, ia mula tersebar luas di Facebook ketika perdebatan politik baru mengenai hubungan sejarah Pulau Pinang dengan Kedah semakin mendapat momentum.

Capaian video itu semakin meluas selepas dikongsi semula oleh beberapa akaun Facebook berpengaruh, termasuk halaman Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
Namun, makna video itu sudah berubah. Ketika ia mula tersebar luas di Facebook, video tersebut tidak lagi dikongsi semata-mata sebagai rekod lawatan diraja.
Sebaliknya, pengguna meletakkan kapsyen baru yang mengubah sepenuhnya maksudnya:
“Kerajaan Kedah dan jajahan takluknya.”
“Sekali tuan tanah turun.”
“Sireh pulang ke gagang.”
Warganet menulis kapsyen yang menyokong naratif tuntutan pemilikan Kedah terhadap Pulau Pinang. Perdebatan sejarah itu juga sering dikaitkan dengan politik semasa.

Dalam beberapa hantaran yang dianalisis Malaysiakini dan Newsgraphy, sokongan terhadap tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang disertai kritikan terhadap ahli politik DAP, yang digambarkan sebagai menentang atau memperlekeh naratif tersebut.
Bagi memahami bagaimana naratif itu tersebar, Malaysiakini dan Newsgraphy menjejaki 452 perkongsian semula di Facebook yang dikaitkan dengan video itu antara November dan Disember 2025 ketika ia beredar di platform tersebut.
Dalam banyak hantaran yang diteliti, kewujudan Istana Kedah di George Town dikemukakan sebagai bukti bagi menyokong dakwaan pemilikan sejarah Kedah terhadap Pulau Pinang.
Sebelum penerbitan laporan ini, Malaysiakini menghubungi Sanusi berhubung dapatan yang dikenal pasti dalam siasatan ini, termasuk keputusan halamannya berkongsi semula video Sultan Kedah itu beberapa bulan selepas ia diterbitkan pada asalnya.

Antara soalan yang diajukan kepadanya termasuk sama ada dia melihat video itu relevan dengan tuntutan kerajaan negerinya ke atas Pulau Pinang, mesej yang mahu disampaikan melalui perkongsian semula tersebut, serta bagaimana dia melihat perananannya dalam menggalakkan perbincangan mengenai isu itu dalam talian.
Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima daripada Sanusi.
Episod itu menggambarkan bagaimana naratif politik dalam talian sering berkembang. Daripada bergantung pada bahan baru, kandungan sedia ada boleh digunakan semula, diberi bingkai makna baru dan diberikan tafsiran yang sama sekali berbeza apabila keadaan politik berubah.
Naratif kedaulatan mula terbentuk
Kemunculan semula video itu tidak berlaku secara terasing. Ia bertepatan dengan tempoh perhatian politik baru terhadap tuntutan lama kerajaan negeri Kedah ke atas Pulau Pinang.
Sepanjang 2025, Sanusi berulang kali mempersoalkan hubungan sejarah Pulau Pinang dengan Kedah dan secara terbuka membangkitkan kemungkinan membawa perkara itu melalui saluran perundangan.
Isu itu mendapat perhatian baru ketika pembentangan Belanjawan Kedah 2026 pada 10 Nov, apabila Sanusi sekali lagi menyentuh tuntutan sejarah Kedah ke atas Pulau Pinang. Ia kemudian timbul semula di Parlimen, apabila tafsiran berbeza mengenai sejarah Pulau Pinang dibahaskan.
Ketika perhatian politik semakin meningkat, aktiviti di Facebook turut bertambah rancak.
Set data pemantauan merekodkan peningkatan mendadak aktiviti antara pertengahan November dan awal Disember 2025, ketika isu itu mendapat perhatian politik.
Hujah sejarah yang sebelum ini banyak berlegar dalam kalangan akademik, warisan dan politik mula menjangkau khalayak lebih luas dalam talian.
Melalui hantaran yang dianalisis, beberapa tema berulang muncul:

Ketara munculnya tema-tema ini turut membantu menjelaskan mengapa hujah akademik tertentu kembali mendapat perhatian ketika perdebatan itu berlangsung.
Ketika pengguna Facebook mencari penjelasan sejarah bagi menyokong tuntutan politik semasa, tulisan Ahmad Murad Merican antara rujukan akademik yang paling kerap dipetik dalam hantaran yang dianalisis.
Beberapa tema berulang yang dikenal pasti dalam set data itu mencerminkan hujah yang dikemukakan profesor tersebut selama bertahun-tahun, termasuk idea sejarah Pulau Pinang tidak dapat dipisahkan daripada pengalaman sejarah Kedah dan naratif era penjajah telah membentuk pemahaman semasa terhadap masa lalu pulau itu.

Bagaimanapun, Murad yang juga pengarah Pusat Kajian Tamadun Melayu di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata perbincangan dalam talian tidak semestinya mencerminkan keseluruhan nuansa karyanya.
“Apa yang dipaparkan dalam talian tidak semestinya mencerminkan naratif yang saya bangunkan sejak dua dekad lalu,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga menolak apa yang digambarkannya sebagai tafsiran Eurosentrik dan kolonial terhadap sejarah Pulau Pinang. Pada pandangannya, 1786 bukan pemindahan wilayah yang sah.
“1786 ialah tahun rompakan dan rampasan pulau itu daripada Kedah,” katanya.
Pada masa sama, dia mengakui media sosial telah mengubah cara perdebatan sejarah berlangsung.
“Ia mempermudah dan pada masa sama memperluas wacana. Ia mewujudkan ruang kritikal dengan pelbagai perspektif,” katanya.
Kenapa naratif itu bergema?
Namun, sejarah semata-mata tidak menjelaskan mengapa naratif itu bergema begitu luas dalam talian.
Jika Murad membantu menjelaskan asas sejarah tuntutan itu, Pengarah Penyelidikan Iman Research Aziff Azuddin percaya daya tarikannya terletak pada sesuatu yang lebih mendalam; identiti, rasa terkilan dan janji untuk membetulkan apa yang dilihat sebagai kesalahan sejarah.
Aziff mengkaji politik identiti, kohesi sosial dan perananan naratif dalam membentuk sikap politik di Malaysia.

Dia berkata naratif yang berpusat pada kedaulatan, pemilikan dan rasa tidak puas hati berasaskan sejarah mendapat sambutan kuat kerana ia menawarkan kisah tentang kehilangan sejarah dan kemungkinan pembetulan.
“Ini elemen yang kuat untuk digerakkan kerana ia berakar daripada rasa terkilan terhadap sejarah,” tambahnya.
Bagi penyokong naratif itu, dia berkata kisah tersebut bukan sekadar mengenai apa yang berlaku pada 1786, ia mengenai kepercayaan satu kesalahan sejarah telah dilakukan dan masih boleh diperbetulkan.
“Ada sesuatu yang memperkasa secara politik apabila seseorang percaya dia mempunyai keupayaan untuk membetulkan haluan dan memperbetulkan apa yang pernah menjadi keputusan yang menguntungkan kuasa penjajah, bukannya orang Melayu dan kesultanan mereka.

“Jika ada aktor politik yang sanggup berjuang untuk memperbetulkan kesalahan sejarah itu, ia menjadi tumpuan yang sangat kuat,” katanya.
Aziff berhujah Sanusi tidak mencipta naratif tersebut. Sebaliknya, dia menguatkan satu set tuntutan sejarah dan rasa tidak puas hati yang sudah beredar selama bertahun-tahun dalam lingkungan akademik dan komuniti dalam talian.
“Sanusi terlibat dengan wacana sedia ada dan memberikannya platform politik yang lebih luas.”
Aziff berkata naratif seperti itu sangat berpengaruh pada masa persoalan dekolonisasi dan legasi pemerintahan penjajah kembali mendapat perhatian global.

Penyelidik itu juga percaya minat baru terhadap hubungan sejarah Kedah dengan Pulau Pinang mencerminkan kebangkitan minat yang lebih luas terhadap kerajaan dan identiti Melayu dalam sejarah.
Dia menunjukkan peningkatan populariti kerajaan-kerajaan lama seperti Patani dan Kataha - nama Sanskrit kuno bagi Kedah - dalam media hiburan kontemporari.
“Media hiburan memainkan perananan yang menarik dalam menghidupkan semula minat terhadap naratif sejarah ini,” katanya.
Namun, naratif tidak tersebar dengan sendirinya. Jika sejarah, kedaulatan dan identiti menyediakan mesej, rangkaian halaman Facebook, kumpulan dan akaun penguat membantu membawanya kepada khalayak lebih luas.
Dalam Bahagian 2, Malaysiakini akan meneliti bagaimana rangkaian itu beroperasi, siapa yang menguatkan naratif tersebut dan mengapa sesetengah bentuk kandungan jauh lebih berkesan berbanding yang lain dalam menarik penglibatan.
[Baca berita asal]





